Debaran Kes Lina Joy

Oleh : Sekretariat ABIM Pusat

Pejabat Mahkamah Persekutuan, Istana Keadilan (Palace of Justice) telah memaklumkan kepada peguam terlibat dengan kes Azlina Jailani bahawa kes tersebut telah ditetapkan untuk keputusan pada hari Rabu 30 Mei 2007 (ESOK).

Pengesahan perkara ini juga telah disahkan oleh Saudara Zainul Rijal Talhah, Presiden Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Menurut beliau “Pihak peguam yang mengendalikan kes ini telah memaklumkan tarikh tersebut telah ditetapkan oleh mahkamah pada hari ini untuk penetapan pendengaran kes pada hari Rabu depan.”

Saudara Yusri Mohammad, Presiden ABIM dan Pengerusi penyelaras PEMBELA iaitu gabungan seramai lebih 80 NGO Islam turut mengesahkan perkara yang sama. Beliau turut dimaklumkan oleh barisan peguam terlibat behubung dengan penetapan tarikh keputusan tersebut.

Tindakan

Beliau berkata, "Dalam situasi sekarang saya menganjurkan agar umat Islam seluruh Malaysia menganjurkan solat hajat dan memohon ke hadrat Ilahi agar kes tersebut tidak memihak kepada keputusan yang boleh menggugat kedaulatan Islam."

Apabila ditanya tentang tindakan PEMBELA selepas ini, beliau memaklumkan bahawa dalam masa terdekat satu mesyuarat NGO-NGO Islam akan dipanggil segera untuk membincang hal ini.

Keputusan yang dinanti

Keputusan kes ini merupakan satu yang ditunggu-tunggu oleh banyak pihak kerana keputusannya bakal memberikan kesan besar kepada status kedaulatan Islam, interpretasi undang-undang berhubung dengan kedudukan Mahkamah Syariah dan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beberapa orang peguam ketika dihubungi memaklumkan keputusan kes ini amat penting kerana beberapa kes-kes melibatkan peruntukan Perkara 121(1A) dan Perkara 11 Perlembagaan ditangguhkan untuk perbicaraan bagi melihat perkembangan keputusan kes ini.

Perkembangan terkini kes Azlina Jailani boleh diikuti di laman : http://www.myislamnetwork.net/portal

Pesona Advencer


Komentar seorang sahabat :

"Satu pemahaman jiwa yang selari antara dua jisim yang berbeza. Menarik juga.
Novel ini perlu penghayatan yang tepat, agar tidak menyeleweng."


Sungguh, dia betul-betul teliti dalam pembacaan. Masakan tidak, di sampingnya beberapa kitab tasawuf dan tafsir sebagai rujuk silang. Bahkan, diusulkan pula kepada gurunya minta ditahkikkan. Cukup berhalus dalam menyelusuri inti naskhah ini. Suatu yang patut aku contohi.

Katanya, ini untuk meraikan pemergianku nanti. Haha terasa lelucon bunyinya. Apapun, terima kasih sahabat. Benar, sastera Islam yang benar-benar bagus dihasilkan oleh mereka yang ahli dalam lapangan ilmu berkaitan.

Sahabat, aku menagih karyamu. Apakah kalau tidak silap, Cinta Surabaya? Haha.

Terima Kasih Cikgu


"Tahniah. Saya baru pulang dari Kem PLKN. Ke mana pun pergi jangan lupa Allah dan seni penulisan kreatif."

Mesej ringkas ini aku terima daripada
Cikgu Alias. Beliau merupakan guru pembimbing bagi kumpulan Lancang Kuning dalam Program Penghayatan Sastera dan Budaya ketika aku berPLKN dahulu. Ternyata, ingatan cikgu masih tegar terhadap anak didiknya.

Meski sekadar tiga hari, banyak perkara baru yang diperoleh bila berbicara dengannya. Terutama berkait dengan selok-belok dunia penulisan. Malah, pengalaman menarik beliau ketika bertugas sebagai wartawan akhbar turut dikongsikan.

Walaupun kumpulan kita tewas, tapi sebenarnya cikgu telah berjaya mendekatkan kami dengan keindahan seni budaya bangsa dan ketinggian nilai sastera Melayu. Terima kasih cikgu.

Kepada semua pendidik, khasnya guru-guru aku (walaupun kalian tak membaca apa yang aku tulis ni), SELAMAT HARI GURU !



p/s: Gambar hiasan - persembahan Kumpulan Anak Merdeka, johan Program Penghayatan Sastera dan Budaya MSHC.

Dakwah Xifu


Xifu and The Algebra. Aku mengenali kumpulan ini ketika bertandang ke KLIBF minggu lalu. Bagaimana? Ceritanya begini. Agak lenguh juga katih aku bila seharian berkitaran ke sana sini. Makanya, duduk bersandar pada kerusi empuk yang tersedia memang cukup berkesan untuk merehatkan badan yang sedia keletaian.

Sambil melepas lelah dan membelek-belek buku yang dibeli, sempat aku ikuti beberapa acara pentas yang berjalan sejak pagi. Sebagai selingan ketika sesi kendalian pihak Saba Islamic Media, diadakan persembahan yang menampilkan sebuah kumpulan yang mencuri perhatian aku. Macam pernah dengar...

Kalau tak silap aku, dahulu Akh AJ - bekas naqib aku di SHAMS - pernah berperihal tentang kumpulan ini seputar bicara menyentuh topik uslub dakwah masa kini. Dia mengambil contoh seorang Cina Muslim yang berdakwah kepada khalayak dengan cara yang kreatif. Bunyi ceritanya menarik sekali; dia melagukan hadis Nabi s.a.w. sambil bermain gitar!

Telahan aku, pendakwah yang dimaksudkan cumalah seorang penghibur jalanan. Seorang yang mungkin biasa dilihat daripada kalangan orang kebanyakan di Kuala Lumpur. Namun, sangkaan itu meleset sama sekali. Beliau berhasil aku kenali secara tak langsung di sana.

Pendakwah tersebut dikenali sebagai Xifu Nasir atau nama sebenarnya, Ustaz Abdul Nasir Abdul Wahab merupakan seorang pensyarah di UIAM. Bakat kurniaan Allah cuba digunakan sebaik mungkin untuk berperanan sebagai da'ei dengan pendekatan tersendiri.

Bersumberkan risikan aku ke laman sawang berkaitan, kedapatan banyak hadis-hadis Nabi s.a.w. yang dilagukan Xifu. Rentak melodi yang cukup damai dan enak didengari. Tapi tidaklah dengan bunga tarannum macam mengaji Al-Quran. Ala-ala nasyid jugaklah..



Uslub dakwah yang rasa-rasa aku berkesan untuk sampai kepada kelompok sasar dakwah. Malahan, memudahkan orang ramai menghafal hadis. Cara begini juga dilihat berupaya membawa mesej murni dalam Islam kepada khalayak lebih meluas, termasuklah yang bukan Islam.

Persembahan itu bukanlah Xifu, sebaliknya anak didiknya kalau tak silap aku. Dalam gambar di atas tu, seorang penasyid yang juga bekas pelajar UIA lulusan Undang-undang, saudara Muadz manakala seorang lagi dengan gaya rambut panjang sedang duduk dengan gitar itu, bekas rocker dulu-dulu namanya Amir. Memang menangkaplah mesej lagu yang disampaikan. Layaan...

Aku rasa, kalau pelajar UIA mungkin sudah biasa mendengarkan nama beliau. Yalah, pensyarah yang mengajar hadis dengan cara tersendiri mestilah akan dikenali. Lagu-lagu hadis Xifu ni pun sudah mesra didengari oleh pelajar di sana. Bukan aku yang cakap, tapi kakak aku yang khabarkan begitu kepada aku.


Album terbaru beliau bergandingan dengan Algebra, sekumpulan penyanyi dan ustaz termasuklah Ustaz Mazlee Malik, penulis dan aktivis terkenal. Kemunculan album ini dijangka berhasil untuk membuatkan lagu-lagu hadis bikinan beliau dikomersialkan lagi untuk manfaat perkembangan dakwah cara berseni.

Saranan aku, cuba-cubalah sahabat mendapatkan file MP3 lagu-lagu Xifu ni. Cukup bagus untuk kita jika mahu menghayati hadis Nabi dengan cara mendengar lagu. Semua hadis diambil daripada kumpulan yang sahih belaka, termasuklah hadith 40 Imam Nawawi.

Kalau sebelum ini kita jarang-jarang atau tidak pernah sekali pun menghafal hadis, maka ada bagusnya kita berusaha ke arah itu. Sambil menyelam minum air....

Adat Persahabatan

Tahniah aku ucapkan kepada semua rakan-rakan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya, sama ada ke matrikulasi atau IPTA. Juga kepada rakan-rakan bertuah yang layak dan terpilih menjadi perantau ilmu di negara orang.

Sekadar nasihat daripada diri yang fakir; pastikan Allah menjadi matlamat utama. Dan bugarkan selalu tarbiyah dalam diri. Semoga kalian terus kekal 'mantop' dalam perjuangan masing-masing dan selamat segala hendaknya. Ameen...

"Anak Cina memasang lukah,
Lukah dipasang di kayu jati,
Sayang sahabat tidak berpisah,
Ibarat rambut bersimpul mati."

Mesra ukhuwwah terjalin padu, jangan lupakan daku !


# Penghargaan kepada tuan rumah, Muhammad Talhah(bakal doktor insyaAllah) dan keluarga, atas layanan istimewa serta santapan malam barbeku yang begitu enak lagi mengenyangkan. Juga sejambak kasih dihulur kerana berhasil menghimpunkan 'geng lama' yang menggamatkan!

Berpesta buku

Sepanjang hari menyusuri lautan buku yang menggamit, memang berbaloi. Pedulikan sindiran orang. Kalau sudah minat, semua pun boleh jadi. Buku Memperkaya Minda - Teras Mentaliti Kelas Pertama, merujuk tema KLIBF. Makanya, pada pendapat aku tak wajarlah untuk dikatakan itu satu pembaziran masa dan wang.

Berpusu-pusu orang masuk tak putus-putus. Sejak awal pagi lagi, ramai betul yang berkunjung. Maklumlah, cuti hujung minggu hari Sabtu. Bersesak-sesak hinggakan ada juga yang keciciran anak. Pesanan : Jangan ulangi kisah Yin di sana.

Kepuasan benar-benar terasa. Hampir semua gerai di setiap ceruk ruang dewan dijelajahi. Limpahan buku-buku kiri dan kanan hampir membuatkan aku 'lemas'. Menjamah dan meratah rona inti penulisan dan persuratan yang terbit merumba, tak lari dari agenda para penikmat buku.

Ramai juga penulis tempatan yang turut sama di sana. berpapasan dengan penulis muda, Nimoiz TY di gerai sedang mempromosi buku beliau. Suatu ketika, kelihatan kelibat Zaid Akhtar santai melangkah gesit ke suatu arah. Juga novelis terkenal Noor Suraya sedikit sibuk meladeni peminat beliau. Tak ketinggalan...

Alang-alang berjejak langkah di sana, biarlah pulang dengan dapatan yang lumayan. "Anda ada pilihan untuk membelanjakan RM40 untuk jadi pandai, ataupun simpan sahaja RM40 itu untuk jadi bodoh". Terkesan dengan kata-kata A Samad Said itu, aku berhasil memborong semua yang mengujakan ini.

Bila Tuhan Berbicara - Faisal Tehrani
Pudarnya Pesona Cleopatra - Habiburrahman El Shirazy
Impian Palestin - Randa Ghazy
Nashaihul Ibad..Menjadi Santun dan Bijak - Imam Nawawi al-Bantani
Buku Kaedah Mudah dan Cepat Menghafaz Al-Quran - Abu Mazaya al-Hafiz
Milenia Muslim
E-Majalah Spotbit - CD percuma
VCD Laungan Yang Tidak Akan Lenyap - dapat percuma sambil menderma

Dan kini, tiba masanya untuk aku berlazat-lazat dengan semua itu !

p/s: Keputusan UPU yang tak ku sangka-sangka. Menanti petunjuk dari Tuhan.