Selesai berkhidmat

Segala puji bagi Allah di atas limpahan rahmat-Nya yang telah menyempurnakan urusan hamba-Nya. Aku bersyukur kerana sepanjang melalui latihan selama dua bulan ini, tiada sebarang kesulitan dan kepayahan besar yang menimpa diri. Bahkan, getir sukar yang dirasa bukan bebanan, sebaliknya serasa suatu nikmat yang dikurniakan. Maha Bijaksana Engkau merencanakan perjalanan hidupku.


Pengalaman. Perkenalan. Perjuangan. Pengetahuan. Segala apa yang diperoleh memang berjejal-jejal dalam benak kepala. Cukup banyak kenangan yang ingin diluahkan, ingin dikisahkan. Pastinya jika ada baik, maka ada buruknya. Di situ ada suka, duka mesti turut di sisi. Dalam senang, akan terselit susah dan payah bersama.

Jika diizinkan Allah, aku akan cuba sedaya yang boleh berkisah tentang apa ada pada PLKN bila tiba masanya.

Malam ini, saat aku menulis di sini, benak sekali sekala tercium gambaran untuk esok hari. Keputusan SPM akan diumumkan. Untung rugi persekolahan aku selama 11 tahun akan diketahui. Paling penting, itu bakal jadi penentu langkahku ke tapak seterusnya, penentu perjalanan masa depanku.

Redha. itu resepi terbaik untuk berdepan dengan kemungkinan hari esok.

Sama-sama doakan adanya sinar kejayaan untuk semua. Semoga kemenangan yang dikecap mendekatkan lagi kita kepada Maha Pemberi Al-'Aliim. Ameen.

Tiada ulasan: