Mekar Cinta : Al-Mustofa


Tuhanku!
Selawat dan salam yang sentiasa berkekalan,
ke atas kekasih-Mu sebaik-baik makhluk seluruhnya.

Wahai semulia-mulia makhluk!
Siapa lagi yang menjadi pedoman padaku selainmu,
Di saat aku mencari penyelesaian
dari kejadian yang umum.

Wahai nafsu!
jangan berterusan kau berada dalam kesilapan
yang makin membesar,
Sesungguhnya dosa-dosa besar itu berada
di dalam pengampunan yang sangat luas,

Ya Allah!
Jadikanlah harapanku ini sesuatu
yang tidak ditolak olehmu,
Dan jadikan perhitunganku nanti tiada bebanan,
Berlembutlah dengan hambamu ini
di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya kesabaran itu adalah senjata,
Apabila dugaan-Mu datang bertubi-tubi.

ya Allah!
Dengan berkat Al-Musthofa,
Sampaikanlah segala matlamat kami,
Dan ampunilah dosa yang lalu,
Wahai yang memiliki kemuliaan yang amat luas.


- Syeikh Muhammad Al Busairi

Sejenak : hiburan Islam

Nyanyian asal daripada kumpulan The Zikr. Gandingan InTeam dan Nazrey tidak pula menjejaskan lagu ini, bahkan lebih mantap persembahannya. Antara nasyid yang paling aku gemari kerana liriknya, bagus untuk dihayati...


p/s : Tiada lagi kasih-berkasih. InTeam kini jauh lebih 'segar' berbanding dahulu. Tahniah!

Kunci kejayaan



“Setiap hari saya mengulang kaji pelajaran dan masa selebihnya menghafaz al-Quran.“Ibu bapa dan guru sering menasihatkan saya menghafaz al-Quran kerana memudahkan ingatan terhadap pelajaran.”
- Siti Fatimah Mukhtar, pelajar Sekolah Agama Mahaad Muhammadi (P) Kelantan
(SPM 17 1A, 1 2A)


"Sentiasa berdoa, mengamalkan solat sunat serta berqiamullail bersama rakan menjadi formula pencetus kejayaan. Amalan itu membantu saya sentiasa tenang sepanjang peperiksaan itu berlangsung."
- Syed Danial Syed Ahmad, pelajar Sekolah Sultan Alam Shah (SSAS)
(SPM 12 1A)


"Banyakkan berdoa, jaga sembahyang, beri tumpuan dalam kelas dan mempunyai motivasi diri."
- Nur Idanis Abu Saamah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Molek Melaka
(SPM 10 1A)


“Bagi menerima ilmu dengan berkesan kita memerlukan ketenangan jiwa dan fikiran dan semua itu boleh diperoleh dengan membaca ayat suci al-Quran."
- Nurulhanis Ibrahim, pelajar Sekolah Agama Maahad Johor
(STAM Mumtaz Syafi 10 1A)


“Usaha yang bersungguh-sungguh saja tidak menjamin kejayaan kita sekiranya tiada keberkatan. Oleh itu, lebih baik sebelum memulakan majlis ilmu kita memohon keberkatan iaitu dengan membaca ayat suci (al-Fatihah)."
Juga meyakini kejayaan diperolehnya banyak dipengaruhi kesungguhan mengatasi kegagalan ketika peperiksaan percubaan dan amalan membaca al-Quran untuk mendapatkan keberkatan.
- Mohd Nabhan Md Noor, Sekolah Agama Maahad Johor
(STAM 10 1A)


Khulasoh : Jagalah hubungan dengan Allah taala sebaik mungkin. Kunci utama segala pintu kejayaan dunia dan akhirat. Sungguh, Allah itu maha Kaya lagi maha Pengasih.

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan."

Resah langkah

Keputusan SPM 2006 sudah diumumkan pada Isnin 12 Mac lalu. Sekalung tahniah kepada sahabat-sahabat serata negara yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang, khususnya rakan-rakan sepersekolahan di SHAMS.

Bagi yang kurang cemerlang, tidak perlu bersedih dura kerana kalian sudah memberikan prestasi sehabis baik, dan semestinya Allah taala telah pun menentukan yang terbaik kepada diri masing-masing.

Rasanya, tempoh seminggu ini masing-masing pasti menjadi begitu sibuk mengisi pelbagai borang, sama ada dalam talian atau secara manual. Tidak kurang ada yang cuba memohon biasiswa dan tajaan pengajian daripada pihak-pihak tertentu, ada yang cuba meninjau-ninjau peluang ke luar negara dan juga ada yang mencari-cari memilih jurusan yang sesuai dan diminati.

Tak dinafikan aku sendiri begitu rusuh memikirkan tapakku seterusnya. Dengan keputusan yang cukup aku puas hati(meski tak terjangka), aku masih buntu memilih bidang paling sesuai. Bimbang juga kalau-kalau tersilap langkah, pasti menyesal tak sudah. Antara minat, cita-cita, peluang kerjaya - serasa sukar untuk memutuskannya walaupun tidak sepayah mana.

Hanya petunjuk Tuhan diharap tiba membantu gundah hati ini. Mohon pertolongan-Mu ya Allah...

Selesai berkhidmat

Segala puji bagi Allah di atas limpahan rahmat-Nya yang telah menyempurnakan urusan hamba-Nya. Aku bersyukur kerana sepanjang melalui latihan selama dua bulan ini, tiada sebarang kesulitan dan kepayahan besar yang menimpa diri. Bahkan, getir sukar yang dirasa bukan bebanan, sebaliknya serasa suatu nikmat yang dikurniakan. Maha Bijaksana Engkau merencanakan perjalanan hidupku.


Pengalaman. Perkenalan. Perjuangan. Pengetahuan. Segala apa yang diperoleh memang berjejal-jejal dalam benak kepala. Cukup banyak kenangan yang ingin diluahkan, ingin dikisahkan. Pastinya jika ada baik, maka ada buruknya. Di situ ada suka, duka mesti turut di sisi. Dalam senang, akan terselit susah dan payah bersama.

Jika diizinkan Allah, aku akan cuba sedaya yang boleh berkisah tentang apa ada pada PLKN bila tiba masanya.

Malam ini, saat aku menulis di sini, benak sekali sekala tercium gambaran untuk esok hari. Keputusan SPM akan diumumkan. Untung rugi persekolahan aku selama 11 tahun akan diketahui. Paling penting, itu bakal jadi penentu langkahku ke tapak seterusnya, penentu perjalanan masa depanku.

Redha. itu resepi terbaik untuk berdepan dengan kemungkinan hari esok.

Sama-sama doakan adanya sinar kejayaan untuk semua. Semoga kemenangan yang dikecap mendekatkan lagi kita kepada Maha Pemberi Al-'Aliim. Ameen.