Retorika Kebebasan Akhbar di Malaysia


Freedom of the press is said to ensure satisfaction of society’s need for a maximum flow of information and opinion and the individual’s right to self-fulfillment. Freedom of the press is also a promoter and protector of rights.

Semalam sempat aku membelek-belek akhbar alternatif terbaru dengan tujuan ingin mendapatkan beberapa laporan isu semasa yang tak diketemui dalam akhbar arus perdana.

Sesudah arahan penggantungan akhbar tersebut ditarik balik oleh PM awal bulan lalu, rakyat secara umum menarik nafas lega tanda berpuas hati dengan tidak terus menafikan hak rakyat mendapatkan ketelusan berita dan informasi daripada sebarang akhbar sebagai lidah rasmi masyarakat.

Hari ini 3 Mei 2009. Segala puji bagi Allah, masih lagi Dia kasihkan hamba-Nya dengan meminjamkan udara segar dan jantung yang baik kepada kita untuk terus bernafas dalam helaan zikir kepada-Nya tidak putus-putus. Puji-pujian hanya milik Allah.

Barangkali majoriti masyarakat di negara ini tidak ramai yang mengetahui ada apa di sebalik hari ini. Pada tahun 1993, 3 Mei secara rasmi telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) sebagai Hari Kebebasan Akhbar Sedunia.

Kebebasan dalam arena kewartawanan dan akhbar merupakan asas demokrasi yang sangat penting. Bahkan, dalam konteks Malaysia, pengisytiharan tersebut dilihat sebagai manifestasi kebebasan media adalah hak rakyat sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pelbagai persoalan akan timbul apabila kita melontarkan isu kebebasan akhbar di negara kita. bermacam-macam komentar, sindiran, bantahan dan rungutan akan kedengaran bukan sahaja dari masyarakat luar, malahan tak dinafikan kebangkitan suara itu juga lahir dari kalangan wartawan dan penulis yang giat dalam arena persuratan negara.

Sesetengah daripada kita akan memandang isu sebegini sebagai salah satu rencam dalam dunia politik. Memandangkan pihak pemerintah semasa memonopoli akhbar perdana hampir keseluruhan, maka tidak menghairankan kebanyakan akhbar tempatan tidak bebas untuk menyampaikan berita.

Masih wujud ketirisan dalam menayangkan erti sebuah berita kebenaran. Juga boleh dikatakan hampir semua akhbar utama tempatan terbelenggu dengan sahsiah politik yang melibatkan suatu pihak sahaja. Mungkin ada yang berpendapat, itu memang menjadi lumrah dalam kondisi negara yang mengamalkan demokrasi. Media arus perdana akan berpihak dan berdasar kepada kerajaan, hatta jika bertukar parti yang memerintah sekalipun.

Meskipun demikian, kebebasan akhbar tidak sekadar berlegar dalam hal-hal dasar yang melibatkan kerajaan. Apabila laporan-laporan akhbar mula berperanan sebagai proksi kerajaan menghentam pihak alternatif dan memburuk-burukkan tanpa sebarang ruang untuk menjelaskan bagi pihak yang terjejas, itu sudah boleh dianggap pencemaran dalam etika kewartawanan.

Bagaimana rakyat tidak jelak menatap berita yang tak bersumber kepada nilai keadilan. Penjelasan yang diharapkan oleh rakyat akhirnya diputar belit mengikut aliran siapa yang berkuasa. Akhirnya, minda masyarakat mula dipasak dengan fahaman, media arus perdana lebih banyak dusta daripada benar. Atau, yang betul cuma dua, keputusan bola sepak dan keputusan nombor ekor haram.

Menyentuh sejarah perjuangan kebebasan akhbar di tanah air, semua yang prihatin dan rajin menyoroti sejarah pasti akan terkenang akan peristiwa 'Mogok Utusan' pada 1961. Dunia kewartananan tak akan lupa untuk merakam kepada khalayak bagaimana perjuangan sekumpulan wartawan yang tegar dalam mempertahankan 'kesucian' akhbar Utusan ketika itu.

Tokoh-tokoh kewartawanan seperti Said Zahari, Samani Said, Usman Awang, Abu Zaki Fadzil antara wira-wira yang tidak diendahkan dalam tragedi yang tidak diketengahkan kepada umum. Peristiwa tersebut menjadi satu nota penting tentang kebebasan akhbar dan kongkongan politik ke atas wartawan.

Mereka digelar wira tak didendang; bertingkah berpencak selama hampir 100 hari dalam perjuangan menyelamatkan akhbar lidah rakyat dari dicemari jejak kotor mainan politik diketuai Ibrahim Fikri. Mogok Utusan membuatkan beberapa tokoh nasionalis berhaluan kiri tersingkir dari Utusan Melayu.

Ada yang ditahan ISA, ada yang dipenjarakan, dan ada yang dibuang negeri. Semuanya bertitik tolak pada semangat mereka mempertahankan kebebasan media dan berita. Utusan Melayu yang dahulunya medan membangkit semangat, menuntut kemerdekaan, menggalakkan idealisme dan memperkasakan sastera Melayu, akhirnya terkulai di bawah henyakan pemimpin parti politik.

Adalah dikatakan bahawa pihak politik berkepentingan masih menguasai akhbar-akhbar utama sehingga hari ini. Jelas di sini setelah Mogok Utusan tersebut, berlakunya 'peralihan kuasa' daripada status Utusan sebagai lidah rasmi rakyat kepada lidah rasmi parti politik pemerintah.

Situasi sebegini sememangnya adalah situasi yang tidak menyenangkan masyarakat secara umumnya. Hal ini didorong faktor tiadanya keterbukaan dalam menyampaikan suatu informasi yang akhirnya mengakibatkan kepelbagaian hujah dalam membicarakan isu. Ada pihak yang pro dan ada yang kontra. Kesudahannya, berlakulah perpecahan dalam masyarakat.

Sepatutnya media akhbar berani dalam melapor berita, bukan dihadkan penyampaian mereka. Polisi yang digunakan oleh pihak tertentu dalam mengekang penularan laporan berita yang lengkap dan diakui kesahihannya oleh masyarakat mesti dihapuskan. Berita di dalam akhbar untuk dilaporkan, bukan untuk memperbodohkan orang yang membacanya. Sampai bila isu ini terus berterusan?

Apalah guna meraikan hari kebebasan akhbar berkobar-kobar tetapi realitinya, tak seindah yang dibayangkan. Akhbar adalah wadah yang perlu bebas dan telus dalam melaksanakan tugas memahamkan masyarakat. Jangan biarkan akhbar menjadi picisan ringan dengan laporan berjejal-jejal dusta dan laporan yang bid'ah. Mengutip pandangan Henry Grunwald, editor Time Inc. :

"Pemerintah yang terpilih secara demokratis dan patuh sekalipun, dapat dengan mudah menjadi pemerintah yang korup bila kekuasaannya tidak diawasi oleh akhbar yang bebas."


p/s: Ketahuilah, membaca laman-laman akhbar dalam internet lebih selamat penerimaannya dan lebih menyelamatkan wang saku harian anda. Selamat Hari Kebebasan Akhbar Sedunia.

Isu agama anak : Mahasiswa suarakan bantahan


Tahniah diucapkan kepada solidariti persatuan mahasiswa atas tindakan mengemukakan memorandum dalam membantah keputusan kabinet menetapkan agama asal anak mengikut agama asal ibu dan bapa semasa perkahwinan.

Suatu langkah agresif dan matang ke arah membuktikan bahawa kelompok mahasiswa sentiasa responsif, lebih-lebih pula apabila melibatkan isu yang menyentuh kesucian agama Islam di negara kita.

Kes Mohd Rizuan merupakan satu lagi kes yang perlu diberi perhatian serius memandangkan sudah ada campur tangan pihak tertentu untuk melemahkan kedudukan Islam di Malaysia. Lebih mendukacitakan, golongan perosak tersebut sudah pun menguasai tampuk kepimpinan negara kita yang tercinta ini.

Maka, berjaga-jagalah wahai anak muda!

p/s: Saranan buat diri sendiri dan sahabat-sahabat, perbanyakkan kajian dan perincian analitikal terhadap isu-isu semasa. Pengetahuan tidak tertumpu di bilik kuliah semata-mata. Justeru, tegarkan diri untuk menyuluh pemahaman ilmu dengan sudut pandang yang lebih luas.

Bacalah, nescaya kau bakal menguasai dunia


Seorang pemimpin agung Barat dahulu pernah berkata,"Sesiapa yang menguasai buku, akan menguasai dunia." Bererti, seseorang yang mengamalkan apa yang dibaca, berpotensi untuk 'menakluki' dunia.

Sejarah mencatatkan, bahawa ada beberapa buah kuasa besar dahulu yang bangkit meluas takluk dunia bukan sekadar melalui penguasaan militari semata-mata. Sebaliknya, ia turut diakari dengan pengukuhan dalam ilmu pengetahuan yang seluas mungkin.

Negara Jepun sebagai misalan, enam puluh tahun lalu sudah pun membuktikan suatu perkara yang pada asalnya tidak diendahkan oleh kuasa lain sebelum ini namun cukup berkesan kepada kebangkitan bangsa mereka.

Sebaik kehancuran Hiroshima dan Nagasaki yang memporak-porandakan sosiopolitik secara keseluruhan, Jepun bingkas keluar dari kemunduran, tidak mahu berdiam diri sahaja. Mereka memandang terus ke hadapan dan segala peristiwa hitam disimpan dalam lipatan memori.

Mereka bangkit membangunkan kembali negara dari titik kosong. Dalam serba kekurangan sumber asas, mereka perlahan-lahan membina tangga kemajuan satu persatu. Secara berterusan mereka melaung-laung suara semangat agar bertahan, survival mereka yang bermula puluhan tahun lampau akhirnya meletakkan Jepun kini menjadi antara negara yang termaju di dunia.

Perlu diketahui, suatu fakta berkaitan momentum negara matahari terbit itu adalah kebangkitan mereka dicetuskan oleh semangat membaca. Dinyatakan, ribuan buku dari luar negara telah didatangkan ke Jepun. Para ahli bahasa dan sastera giat kemudian menterjemahkan buku-buku ilmiah ke bahasa ibunda mereka sebelum dilanjutkan ke sekolah-sekolah dan masyarakat umum. Setiap ahli masyarakat diseru menghidupkan budaya membaca di mana-mana.

Begitulah kepandaian orang Jepun. Mereka menelaah pengalaman dan mencari ruang untuk membaiki kesilapan. Cukup hanya sekali mereka jatuh. Tiada istilah kegagalan kedua bagi mereka. Apa yang jelas, mereka membangun dengan cara tersusun, bukan agresif melulu. Mereka akan memastikan diri mereka dilengkapi dengan informasi dan pengetahun terbaik untuk mencatur perkembangan bangsa mereka.

Jika dahulu, masyarakat Barat memandang sinis dan mengejek mereka sebagai bangsa bermata sepet. Sekarang kelancangan kata itu sudah tidak kedengaran. Sebaliknya rasa hormat dan kagum mula terzahir. Jepun telah membuktikan, salah satu cara untuk menguasai dunia adalah melalui jalan membaca.

Barat yang pongah akhirnya terlongo melihat kepesatan teknologi yang dibina oleh Jepun. Mereka langsung mengakui, Jepun berjaya mencipta sumber daya manusia yang unggul.

Bagaimana pula dengan kita, umat Islam akhir zaman?

Mengunjungi Pesta Buku semalam, cukup melapangkan minda. Seronok melihatkan telatah warga pengunjung yang ribuan jumlahnya bermesra-mesraan dengan pelbagai jenis buku yang berderet dan tersusun rapi di kiri dan kanan. Suasana yang cukup merangsangkan dan membakar semangat.

Bersama Hariri Daud di gerai PTS

Hati diam-diam berbisik, alangkah bagus kalau setiap dari kalangan mereka ini membaca, memahami dan mencerna, lantas mereka mengamalkan sekurang-kurangnya 10 buah buku bermanfaat yang ada di sini. Sudah tentu Melayu Islam antara bangsa yang dinobat sebagai bangsa termaju yang mampu menggugat dunia akhir zaman. Malangnya, kita masih lagi merangkak ke arah itu.

Kunjungan kali ini tidak membosankan. Tidak seperti tahun-tahun sudah, aku cenderung untuk pergi sendirian. Kali ini aku menyahut seruan Nabi, iaitu tiga waktu disaran untuk berjemaah; ketika solat, ketika berjalan atau berpergian, dan ketika makan. Mudah-mudahan kunjungan kali ini dipenuhi barakah, dengan izin-Nya.

Berkumpulan dengan sahabat-sahabat pengulit buku yang setia, kami rakus menerpa ke setiap ruang yang menyajikan santapan segar untuk disuguh minda. Tatkala berlegar-legar, acap kali kami berpapasan dengan beberapa pensyarah Usim yang difahami datang satu bas untuk turun ke pesta buku kali ini.

Menyaksi ragam sahabat terkadang membenih inspirasi. Leman si pujangga Melayu yang rajin berfalsafah, sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan bacaan bernaratifkan budaya dan sejarah bangsa. Sesekali dia lesap entah ke mana, kemudiannya kelihatan tertancap di balik rak menekuni inti bacaan yang digemari. Hasilnya, Sulalatus Salatin dan beberapa buku pemikiran berjaya disambar. Tahniah aku ucapkan.

Abdullah atau Pak Lah (sekarang kami memanggilnya Cheng Ho), sedari awal begitu teruja mahu mengulit buku berkenaan tokoh yang menjadi sanjungan. Kemilau dua buah kitab yang menjadi buruan akhirnya berjaya ditemui. Bob pula, sudah dapat ditebak, dalam kesibukan berkelintar sendirian, novel karya penulis seberang tetap kekal dalam dakapan.

Fazareez dan Bari tidak terkecuali. Asalnya sekadar mengekori, akhirnya turut menambah koleksi kitab di bilik masing-masing. Kunjungan kami tidak memakan masa yang lama. Sekitar jam tiga petang, kami beransur pulang dengan raut wajah kepuasan.

Kami sempat berlelucon, menyindir sesama kami buku yang dibeli akan berhabuk tak berbelek. Usikan itu, meski sekadar berbicara lucu, sebetulnya menjemput hikmah yang halus. Kesemua mula menanam azam, semoga disiplin dan tekun makin meningkat dalam misi bergulatan dengan lembar buku yang dibeli.

Sebelum melangkah keluar, kedengaran rakaman bacaan Al-Quran yang menenangkan mengiringi kami pulang. Semangat Iqra' lekas hadir mencumbui benak. Masing-masing mengulum senyum, meraikan nikmat Tuhan Al-'Alim.


p/s: Kunjungan kali ini, meski sekejap, mencapai matlamat awal. Kini menunggu waktu senggang untuk tenteram dalam ulitan karya-karya Usman Awang yang mengasyikkan. Tidak dilupa, bibit permulaan untuk menelusuri getaran pemikiran Hamka. Terima kasih Tuhan!

'Markah kasihan': Dakwaan yang mencemarkan

Minggu ini minggu yang menggemparkan. Tatkala semua mahasiwa/i tekun dalam mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan akhir semester, timbulnya isu yang menerjah ketenangan warga USIM di sini. Isu yang menjadi paparan muka hadapan sebuah akbar harian jelas menjejaskan reputasi USIM sebagai institut pengajian tinggi awam.

Ramai yang sedia maklum tentang isu 'markah kasihan' ini. Bahkan, topik tersebut mula menjadi bahan bualan hangat di kalangan mahasiswa/i di kampus. Tidak kira FSU atau fakulti-fakulti lain, semua di kalangan kami di sini merasakan tempias laporan yang menjengkelkan itu. Sedikit sebanyak kesannya cukup dirasai oleh kami sebagai penuntut ilmu di sini.


Aku tidak mahu mengulas panjang berkenaan siapa bekas pensyarah yang mengeluarkan dakwaan melulu dalam akhbar tersebut. Isunya cukup peribadi untuk dinyatakan di sini. Barangkali pensyarah yang menamakan dirinya Nor itu mempunyai niat tertentu, terutamanya dalam menzahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap pihak tertentu. Malangnya, tindakannya itu jelas di luar batas; ibarat menyimbah minyak ke dalam api.

Kami warga mahasiswa di sini sepakat dalam menempelak tindakan yang tidak jujur sebegitu. Dengan mengeluarkan kenyataan umum yang hanya berasaskan dakwaan sebelah pihak, jelas menampakkan suatu kebobrokan sikap Nor yang tidak menggambarkan budaya seorang pendidik yang sebenar.


Secara peribadi, aku bersetuju dan senada dengan kenyataan Naib Canselor dalam sidang media semalam. Pagi tadi juga, suatu majlis penjelasan diadakan di FSU berkenaan isu ini. Menurut NC, beliau berasa cukup kesal terhadap dakwaan yang berunsur fitnah tersebut kerana ia sangat serius dan tidak berasas sama sekali.

Menurut hemah aku secara ringkas, isu ini secara langsung memberi impak besar dalam beberapa perkara:

1. Sebagai universiti baru berbanding IPT-IPT lain, dakwaan tersebut boleh menghilang dan menghakiskan keyakinan masyarakat kepada USIM yang sudah mula mengukuhkan penubuhannya.

2. Mencemarkan integriti pensyarah-pensyarah di universiti ini, seolah-olah mencetus tanggapan awal bahawa budaya yang tidak beretika itu sudah menjadi amalan di kalangan warga akademik.

3. Menjejaskan imej bekas graduan yang sudah bekerja dan bakal graduan yang akan memasuki pasaran kerjaya di luar nanti.

4. Memberi kesan negatif kepada reputasi universiti kerana institusi pengajian tinggi awam ini dalam proses pemilihan dan pengambilan pelajar baru untuk sesi hadapan, terutamanya lepasan SPM yang bakal melanjutkan pengajian bermula Mei nanti.

5. Merendah-rendahkan Fakulti Syariah dan Undang-undang yang kini dalam usaha mendapatkan pengiktirafan Badan Kelayakan Profesion Guaman dan Majlis Peguam Malaysia, bagi kursus Undang-undang. (Boleh layari laman Malaysian Bar. Isu ini kini dalam perhatian dan mungkin menjejaskan kelayakan kursus Undang-undang di USIM).

6. Membawa gambaran negatif kepada prestasi mahasiswa/i yang cemerlang dalam pengajian, dengan tanggapan bahawa kecemerlangan yang diperoleh bukanlah prestasi sebenar mahasiswa/i tersebut sebaliknya atas belas ehsan pensyarah.

Apapun, dari sudut lain yang boleh aku nyatakan, banyak hikmah yang boleh diambil dalam hal ini. Fokus yang perlu ditumpukan sekarang adalah, nilai keilmuan yang sebenar. Ilmu bukan terletak kepada markah yang diberi dalam ujian atau peperiksaan. Ia mungkin melambangkan prestasi dan kebolehan seseorang, tetapi ia bukan pengukur mutlak tahap keintelektualan seseorang mahasiwa.

Suatu yang perlu diambil ihtimam oleh mahasiswa/i USIM sendiri dalam isu ini, ia barangkali suatu bentuk cabaran yang mesti diterima secara positif. Ya, kita menafikan dakwaan yang berniat buruk sebegitu. Secara rasional juga, mana mungkin majoriti pelajar yang berada di semester enam dan tujuh tidak pandai mengarang esei, apatah lagi menghadam subjek perundangan.

Kita berlapang dada dan tidak mahu dipanjang-panjangkan lagi isu ini. Paling utama, cabaran yang mesti disahut oleh mahasiswa/i USIM adalah, membuktikan kemahiran dan kebolehan yang dimiliki serta penggarapan yang optima dari sudut pembudayaan ilmu.

Kita tidak mahu menjadi kelompok yang hanya pandai melatah, tetapi akal fikiran kita dangkal dalam usaha mengubah keadaan. Memetik kata-kata seorang pensyarah luar jurusan undang-undang dari sebuah blog, respon beliau berkenaan budaya pelajar yang merayu markah kasihan:

"it’s not about marks only but how you appreciate when learning law subject. Just see how many people are being cheated because they’re not understand their rights. See your paper and how you write, present and argue there. Then, you'll see that’s the benefit you’ve learned from this subject. At last, you’ll see life is not entirely fair and somehow disrimination is around you. So be prepare of knowledge and understand why you need to learn this subject."


p/s: Meski sibuk dengan periksa, ramai juga blogger dari USIM yang agresif menyentuh isu tersebut. Terbukti, kalian benar-benar cinta akan institusi ilmu kita ini. Dan ketahuilah, markah bukan segala-galanya. Semua adalah pinjaman Tuhan semesta alam. Kepada-Nya kita patut kembali dan berserah. Kepada semua mahasiswa/i USIM, semoga berjaya dalam peperiksaan!