Menanti semilir Ramadan




Manusia kalau tak diuji, akan cepat lupa.

Mudah berbangga-bangga dengan kelebihan yang ada. Cepat merasa bagusnya diri, baiknya kami. Hakikatnya, Allah jua yang menganugerah segala, untuk dinikmati buat sementara.

Sekali diberi dugaan, maka barulah bingkas jiwa untuk kembali tersedar, menangis dengan hati sebu. Meminta merayu-rayu mohon dosa-dosa yang terbeban itu berlalu.

Manusia, memang perlu duji. Jika tidak, hati cepat mati. Khayal dengan alam sendiri.
Entah benar entah tidak, diri sendiri tidak pasti. 

Sebab itu Allah kurniakan taubat.

Tuhan tahu, hamba-Nya yang mana leka berbuat, dan hamba-Nya yang mana mahu mendekat. Diberi peluang untuk kembali meraup nikmat, meski hati berbalam-balam hitam gelap zulumat.

Tuhan campakkan cahaya, biar hati benderang dengan kasih tak terbandingkan.
Tuhan teduhkan hati yang panas gersang, agar kembali redup dengan lindungan iman.
Biar manusia sedar, apa-apa juga kebaikan, datang daripada lubuk hati yang dalam.

Hati yang merasa erti hidup dengan ihsan.
Hati yang mengenal hakikat penciptaan.

Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku. Semata-mata.


Sejauh ini sudah ku kenal kebesaran-Mu

Sedekat ini sudah ku rasai kewujudan-Mu

-FT (2005)

Berdoalah, mohonlah moga-moga dikurnia kesempatan masa untuk disapa semilir angin Ramadan yang mententeramkan. Persiapkan diri dengan muhasabah, taubat dan puasa. Bulan seribu kebaikan yang tersimpan, pasti mengundang kerinduan dan kenikmatan taabud yang berpanjangan.

Selamat meraikan kedatangan Ramadan.

2 ulasan:

anis berkata...

assalamualaikum.
maaf, juz nak mnx pendapat, kalau ada seorang budak tanya 'knapa manusia dilahirkan?' & budak tu xnak jwapan 'utk mengabdikan diri kpd Allah'. so, ape jwapan yg lbh baik nk diberi?
wassalam.

ermafatiha berkata...

Benarlah. Jika tidak diuji, bukan sahaja khayal dgn alam sendiri malah lena dgn dosa.

"Wallahuyuridu an yatuba alaikum"..


Allah mahu membersihkan kita dari dosa dgn menerima taubat.

Salam Ramadhan Mubarak.