aku datang untuk mengebumikan hatiku
bukan di sisi jasadmu
tapi dalam pelajaran cintamu
aku datang, aku datang
kau yang mengundang...*
Begitu Rumi mendidik hati para penikmat Cinta. Beliau menuang pelajaran makrifat ke dalam hati pelajarnya. Lalu tertumpah dan melebar, meresap dalam-dalam. Lubuk hati jadi dingin, dan rindu pun berputik.
Bagi sesiapa yang mengagumi Cinta, Mathnawi bukanlah suatu yang asing. Apatah lagi bagi yang sudah khayal dan mabuk dengan cinta, sudah pasti jiwanya merayu-rayu untuk dicumbui dengan elusan kata puisi yang mampu menguntum kasih yang menebal.
Kata orang, sifat perempuan itu jiwanya halus. Rahsia hati mereka dalam tak berdasar, luas tak bertepi. Justeru, harus ada kesantuan dan cermat budi dalam melayani tingkah pekerti mereka.
Teladani sahaja Rasulullah SAW, betapa tertib Baginda memesrai wanita sehinggakan gadis sekecil Aisyah r.anha begitu terpikat dengan perilaku Baginda yang begitu menawan.
Itulah indahnya Islam. Mengajar cara hidup yang berseni, bukannya mengingkari naluri manusia untuk hidup dengan keindahan dan keelokan. Ia benar-benar mendidik, terutama lelaki yang sifatnya keegoan melatari, sedang perempuan sering bergulat dengan emosi dan perasaan.
Mahu bercinta, itu adalah fitrah. Perkemaskan dan perkuatkan hati. Tuhan mengurniakan naluri agar hidup kita lebih bererti. Kita akan belajar menilai kehidupan, belajar menikmati perasaan, belajar menekuni hikmah, belajar memahami misi perjuangan.
Tidak harus kita kesampingkan detak naluri yang ada dalam hati. Beriringan, bisikkan pada sukma apa yang kita hasratkan. Jadikan itu munajat yang paling tulus kita dengan Tuhan. Munajat agar Cinta kita sentiasa dipandu, dan berarah tuju.
Senyumlah pada sukma yang mengusik. Moga-moga istikharah ini menganugerah kemanisan yang menggembirakan.
Salam maulidur Rasul. Solawat.
*Puisi daripada cerpen 'Kucing Montel di Masjid Biru' karya Faisal Tehrani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan