Dana Ilmu

Kira-kira tiga bulan lepas, aku berkesempatan menyertai satu diskusi strategik berkaitan pengurusan kewangan peribadi. Diskusi yang dikendalikan oleh Tuan Mior Isfandy, seorang perunding kewangan Islam. Sesi itu turut dihadiri beberapa teman kampus aku yang lain.

Perkongsian pada malam tersebut berkisar tentang model AboutNumbers. Tuan Mior memperkenalkannya sebagai satu model pengurusan kewangan yang mengikut aturan yang dianjurkan Islam.

Model tersebut pada hemat aku adalah satu model pengurusan kewangan yang ideal bagi para graduan yang baharu memasuki alam kerjaya, atau bagi anak muda yang sudah berkarier dan pendapatan sendiri.

Menurut model ini, dengan berasaskan formasi pembahagian 5:3:2, seseorang mampu menyusun aliran tunai bulanan mereka secara teratur tanpa meminggirkan aspek sedekah atau infak yang ditetapkan sebanyak dua bahagian.

Model ini mempunyai tiga fasa utama, dengan sesi pengenalan pada malam tersebut, Tuan Mior hanya berkongsikan dua fasa sahaja yang berkadaran dengan tahap ekonomi kebanyakan daripada kami.

Untuk gambaran ringkas berkenaan model tersebut, disertakan infografik oleh seorang sahabat, Daing Fadzil yang turut sama dalam diskusi pada malam tersebut.


Sebelum berakhir sesi tersebut, Tuan Mior Isfandy sempat menyarankan model tersebut dipraktikkan terlebih dahulu bagi melihat sejauh mana keberkesanannya membantu mengurus kewangan.

Beliau turut mengalu-alukan sebarang idea untuk mengembangkan lagi model ini menjadi lebih strategik, dengan matlamat mencapai bebas kewangan dapat dicapai meskipun kita berpendapatan biasa sahaja.

Model untuk pelajar di kampus?

Sewaktu sesi perkongsian berlangsung, aku tergerak untuk bertanyakan sesuatu. Adakah model ini sesuai dipraktikkan oleh para pelajar/siswa di kampus?

Secara konsepnya, aku bersetuju untuk dipraktikkan kepada pelajar, dengan syarat sedikit pengubahsuaian pada kadar pembahagian domain.

Jika dilihat situasi masa kini, kebanyakan pelajar atau mahasiswa agak tempang dalam mengurus kewangan sendiri. Misalnya, budaya berhutang menjadi perkara biasa bagi pelajar meskipun belum bekerjaya. Itu belum termasuk hutang mendatang yang sudah pasti akan ditanggung pelajar seperti hutang PTPTN.

Begitu juga masalah kebocoran wang akibat kesilapan dalam berbelanja. Oleh sebab itu, kesedaran untuk mengurus kewangan peribadi perlu didedahkan kepada pelajar.

Pada aku, model AboutNumbers sebenarnya boleh diaplikasikan kepada pelajar. Memang kekangan utama adalah pelajar tidak mempunyai sumber pendapatan tetap. Sebaliknya, sumber kewangan pelajar selalunya diberikan sekali dalam satu tempoh semester.

Pun begitu, ia tetap boleh disesuaikan mengikut kadar dan 'nature' pelajar itu sendiri.

Satu cadangan adalah dengan mengurangkan salah satu berikut:

- bahagian Perbelanjaan (expenses) daripada 50% kepada 40% sahaja; atau
- bahagian Tabungan (saving) daripada 30% kepada 20% sahaja.

Manakala Satu bahagian (10%) lagi yang berbaki digunakan untuk Dana Ilmu.

Dana Ilmu : Pengetahuan adalah Kuasa

Kecerdikan kewangan tidak datang secara tiba-tiba. Apatah lagi untuk mengekalkan momentum pengurusan yang sentiasa berdepan dengan sebarang kemungkinan pada masa depan.

Salah satu aset yang perlu dibajai sedari awal adalah Ilmu.

Dunia kampus dilingkungi budaya keilmuan. Hidupkan dan bugarkan budaya sebegitu dengan memperluas ruang lingkup kepada ilmu pengurusan kewangan.

Memetik kata-kata Tuan Hadfizi Othman, Fasilitator Pembelajaran Profesional dan seorang usahawan, kita memerlukan baja cerdik untuk terus subur setiap hari.

Inilah rahsia mereka yang berjaya dalam pengurusan kewangan. Mereka tidak jemu belajar. Mereka tidak serik berguru. Mereka tidak malu diasuh dan ditegur. Paling penting, mereka tidak lokek dan berkira dengan ilmu.

Pelaburan yang terbaik adalah pelaburan masa dan ilmu, menurut Robet Kiyosaki.

Justeru, bagi yang masih dalam fasa pengajian, di awal karier dan masih bujang, boleh diperuntukkan sedikit daripada sumber kewangan untuk melabur secara strategik ke saluran-saluran yang boleh memanfaatkan diri.

Peruntukkan 10% untuk menghadiri seminar, memperkaya bahan-bahan bacaan bermutu dari toko-toko buku, menyertai bengkel intensif yang membina motivasi kendiri, menyertai latihan berkala bagi menggilap potensi sedia ada atau digunakan untuk mendanai kos bertemu dengan mentor atau guru dalam lapangan yang kita sasarkan.

Harus diingat, Dana Ilmu ini mempunyai kuasa gandaan (leverage), dan ia mampu merawat 'sakit-sakit' kronik yang menghalang dan melambatkan proses bina diri. Semua jangkaan yang bermasalah mungkin boleh berlaku.

Jika tiada pengetahuan untuk mempersiapkan diri, bagaimana mungkin kita hendak berhadapan dengan semua itu?

Kembali kepada pokok asal persoalan. Adakah AboutNumbers boleh diaplikasikan kepada pelajar di kampus?
Aku melihat model 5:2:2:1 mungkin ideal bagi pelajar di kampus.

Ia tidak akan membebankan pelajar.
Tidak perlu menjejaskan bahagian perbelanjaan dan bahagian infak.
Ia mendidik pelajar untuk bersederhana.
Ia juga akan melatih diri untuk berjiwa usahawan dan business-minded.

Apapun model yang kita ingin laksanakan, kunci paling penting adalah disiplin dan konsistensi.

Sekadar mencetuskan pengembangan idea untuk manfaat bersama.

Teruskan bereksperimen!

Manisnya keberkatan rezeki



Ini kisah penjaja kecil yang beriman.

Kelibatnya seringkali terlihat di sekitar Nilai pada waktu petang. Dengan hanya menunggang motosikal tua beserta kotak berisi makanan, Pak Cik Malindo akan berhenti di tempat-tempat tumpuan menjual pelbagai jenis makanan seperti nasi goreng, nasi minyak dan kuih-muih.

Saban hari, beliau akan dikerumuni pelajar-pelajar dan pekerja kilang yang baru pulang. Kelibatnya sahaja sudah cukup menggembirakan mereka yang sering membeli dengannya. Makanannya murah dan sedap.

Kebiasaannya, selepas solat Asar di masjid, Pak Cik Malindo akan beredar dan mula menjaja di luar kolej-kolej kediaman dan asrama kilang berdekatan.

Raut wajah tua sentiasa terukir senyum manis. Bahasa budinya yang berhemah tidak lekang di bibir. Semua yang datang membeli akan dipanggil 'Anak' atau 'Nak'. Layanan mesra sebegitu menyebabkan kehadirannya sentiasa dinanti.

Suatu yang menarik tentang peniaga ini adalah sifatnya yang begitu menghargai setiap rezeki yang diperoleh.

Pak Cik Malindo tidak berkira soal harga. Misalnya. dengan harga RM2, sebungkus nasi goreng akan diberi beserta kuih. Jika kuantiti makanan dibeli lebih banyak, sebungkus kuih-muih akan diberi secara percuma. Betapa dia tidak meletakkan nilaian rezeki pada hasil jualan, tapi pada kepuasannya menghargai pembeli.

Tatkala menerima wang daripada pembeli, dia akan mencium duit tersebut dan berterima kasih dengan nada yang merendah diri. Kadang-kala, dia sempat menitipkan pesan nasihat ringkas yang menyentuh hati pembeli.

Di samping cukup menjaga waktu solat, sifat qanaah cukup terzahir apabila dia tidak kisah berniaga meskipun hanya dengan bermotosikal. Kecekalan berniaga dalam usia lewat 50-an menyerlahkan kesederhanaan dan kecekalannya berniaga.

Sejak berada di pusat asasi Tamhidi, Pak Cik Malindo yang lebih kami gelarkan 'Pak Cik Nak' ini sudah biasa kelihatan pada waktu petang. Kini 2013 kelibatnya masih memesrai khalayak pembeli yang senang berurusniaga dengannya.

Berkat berniaga selama ini, Pak Cik Malindo dikhabarkan akan pergi menunaikan umrah bersama isterinya tidak lama lagi.

Barangkali ini kisah biasa tentang orang biasa. Namun, rahsia Tuhan siapa yang tahu. Jaminan Allah untuk memuliakan orang yang menghargai nikmat dan tidak lupa untuk bersyukur dengan setiap kurniaan-Nya.

Benarlah firman Tuhan, sedikit sahaja hamba-Nya yang bersyukur.

Solawat.


*Kredit gambar: Umair El-Iskandari Al-Jauhari

Makalah sukma

Sang pencinta
aku datang untuk mengebumikan hatiku
bukan di sisi jasadmu
tapi dalam pelajaran cintamu
aku datang, aku datang
kau yang mengundang...*

Begitu Rumi mendidik hati para penikmat Cinta. Beliau menuang pelajaran makrifat ke dalam hati pelajarnya. Lalu tertumpah dan melebar, meresap dalam-dalam. Lubuk hati jadi dingin, dan rindu pun berputik.

Bagi sesiapa yang mengagumi Cinta, Mathnawi bukanlah suatu yang asing. Apatah lagi bagi yang sudah khayal dan mabuk dengan cinta, sudah pasti jiwanya merayu-rayu untuk dicumbui dengan elusan kata puisi yang mampu menguntum kasih yang menebal.

Kata orang, sifat perempuan itu jiwanya halus. Rahsia hati mereka dalam tak berdasar, luas tak bertepi. Justeru, harus ada kesantuan dan cermat budi dalam melayani tingkah pekerti mereka.

Teladani sahaja Rasulullah SAW, betapa tertib Baginda memesrai wanita sehinggakan gadis sekecil Aisyah r.anha begitu terpikat dengan perilaku Baginda yang begitu menawan.

Itulah indahnya Islam. Mengajar cara hidup yang berseni, bukannya mengingkari naluri manusia untuk hidup dengan keindahan dan keelokan. Ia benar-benar mendidik, terutama lelaki yang sifatnya keegoan melatari, sedang perempuan sering bergulat dengan emosi dan perasaan.

Mahu bercinta, itu adalah fitrah. Perkemaskan dan perkuatkan hati. Tuhan mengurniakan naluri agar hidup kita lebih bererti. Kita akan belajar menilai kehidupan, belajar menikmati perasaan, belajar menekuni hikmah, belajar memahami misi perjuangan.

Tidak harus kita kesampingkan detak naluri yang ada dalam hati. Beriringan, bisikkan pada sukma apa yang kita hasratkan. Jadikan itu munajat yang paling tulus kita dengan Tuhan. Munajat agar Cinta kita sentiasa dipandu, dan berarah tuju.

Senyumlah pada sukma yang mengusik. Moga-moga istikharah ini menganugerah kemanisan yang menggembirakan.

Salam maulidur Rasul. Solawat.


*Puisi daripada cerpen 'Kucing Montel di Masjid Biru' karya Faisal Tehrani

Ber'mahaguru' di KL

Semalam berkesempatan menghadiri seminar anjuran Lensa Malaya dan SkillsMalaysia. Seminar HSLR Mahaguru yang terhad kepada 100 orang sahaja tersebut julung-julung kali diadakan khusus untuk penggemar DSLR dan penggiat videografi di Malaysia.

Program bertempat di Balai Seni Lukis Negara, Jalan Tun Razak (bersebelahan Istana Budaya). Secara keseluruhan, seminar ini begitu mengujakan khalayak yang hadir dan sememangnya dinanti-nantikan oleh ramai pengkarya filem dan sinematografi.

Sebilangan hadirin dari Brunei, Sarawak dan Singapura turut sama turun ke seminar ini. Pada hemat aku, tarikan utama sudah pasti terletak kepada kekuatan 3 'mahaguru' terkemuka yang ditampilkan dalam seminar kali ini.

Aku hanya hadir sebagai penikmat seni visual kreatif dan pembikin video amatur. Suatu kepuasan bagi kita tatkala pendedahan selok-belok proses asas pembikinan sebuah filem pendek dikongsikan, selain mencungkil rahsia dan nilai seni yang ditonjolkan oleh 'otai' dalam bidang kreatif ini.

Untuk berkarya atau berkecimpung secara serius, memang belum layak dan mampu untuk ke arah itu. Belajar, belajar dan belajar.

Mahaguru-mahaguru HDSLR

Rosli Mohamad - pengasas CST Production, produksi paling popular dalam pembikinan video perkahwinan. Menjadi pilihan bagi kebanyakan selebriti, orang ternama dan artis tanah air. Dari strategi pemasaran, CST ternyata antara grup produksi yang terkehadapan kerana sering menjadi tumpuan media.

Fauzee Nasir - antara nama besar yang terawal di Malaysia menonjol dalam senimatografi kreatif. Produksi Manggis.tv banyak menghasilkan hasil filem yang cukup mahal nilainya. Tidak menghairankan, beliau pernah menjadi pengarah kreatif di sebalik tabir bersama nama-nama besar seperti Yasmin Ahmad dan Kabir Bhatia. Kebanyakan klien beliau terdiri daripada VVIP dan ahli korporat ternama Malaysia.

Azeem - pengarah muda dari CandydSyndrome Inc. Anak didik Saiful Nang yang berjaya mengukir nama dalam pembikinan beberapa filem pendek yang penuh estetika dan kreatif. Diberi kepercayaan oleh Saiful Nang untuk mengarah pelbagai video korporat dan filem pendek tempatan. Antara bakat besar yang cukup menyerlah di kalangan penggiat filem pendek tanah air.

Ternyata, banyak hasil perkongsian yang diperoleh sepanjang satu hari. Meski agak umum dan tidak begitu teknikal penyampaian mereka, beberapa tips dan strategi asas dalam penghasilan senimatografi menggunakan DSLR aku rasa berjaya dikongsikan dengan baik. Bukan senang untuk mereka berkumpul dan bersama-sama berkongsikan ilmu dan pengalaman dalam bidang kepakaran mereka.

Salah satu perkata yang boleh dibanggakan tentang mereka adalah keupayaan anak muda Melayu yang gigih mencipta keunikan dalam industri kreatif. Mereka ternyata mampu membuktikan kualiti anak tempatan setanding dengan karya-karya luar, bahkan turut menjadi rujukan oleh penggiat seni luar.

Sedikit nota-nota catatan daripada seminar semalam (bagi rakan-rakan yang ada bertanyakan) untuk dikongsi bersama,

Slot bersama Bro. Rosli (CST Production)

1) Kerja videografi memerlukan group/team yang baik. Pengalaman pertama beliau 'shoot' hanya dengan menggunakan D90. Kemudian beralih ke 500D pada tahun 2008, sebelum mengangkat 5D Mark II.

2) DSLR Canon sememangnya diakui sebagai kamera untuk HD Video yang sangat bagus. Namun tak bermakna untuk hasilkan video yang baik memerlukan kamera yang canggih. Pertama adalah kreativiti. Kedua barulah kamera.
- bermakna, gilaplah idea dan kemahiran terlebih dahulu. Asas dalam seni kreatif dalam pembikinan video perlu dibina. Buktinya, beliau pernah membikin video perkahwinan 100% shoot menggunakan iPhone 4s dan video tersebut menjadi 'viral' di YouTube.

Q: Main video sebab minat atau duit?
A: buatlah kerana minat, kemudian imbuhan akan datang dengan sendiri.

Q: Tips dalam bisnes CST?
A: Binalah kelainan dalam videografi. Untuk buat bisnes dalam industri, perlu jadi nombor 1. Kalau tak mampu jadi nombor 1, tinggalkan bisnes tersebut dan Biar orang lain buat. Tujuan? Sebagai dorongan kepada kita untuk jadi lebih maju. Maka, carilah keunikan dan ikut 'trend' semasa.

Paling penting, kena tetapkn konsep dan trademark yg kita nak bina untuk karya kita, kerna perkara itu yang akan dijelaskan kepada klien. Contoh, produksi Kudegraphy terkenal dengan slow n dramatic style. Sedangkan CST lebih cenderung kepada konsep mood rancak.

Q: CST hanya buat video untuk 5 minit?
A: Konsep 5 minit bayar RM5000 adalah biasa. Orang sudah tidak minta video yang panjang durasi (1-2 jam). Tidak ada istilah kenangan untuk video sebegitu, kecuali memang benar-benar jadi kenangan untuk selamanya disimpan dalam almari. Lebih baik 5 minit tapi cukup bermakna untuk ditonton selalu.

Q: Perlu storyboard untuk wedding photoshoot?
A: tidak semestinya. Apa yang penting adalah, sudah ada 'treatment' dalam kepala fikiran kita. Contoh, kita sudah ada idea dan 'pre-visualize' moment apa yang kita nak hasilkan, nak dapatkan expression shot yang macam mana dll.

Fauzee Nasir (Manggis.tv)

1) Passion is important. Beliau akui, berdasarkan pengalaman beliau sendiri, sebelum ini ramai orang memperlekehnya apabila mula menghasilkan video wedding. Bergraduat daripada UK tapi memilih untuk menceburkan diri secara serius dalam bidang ini. Asasnya, keinginan yang tinggi, minat mendalam, dan kreativiti.

2) Beberapa tips penting bagi seorang videografer:
  - Marriage is not about a couple, but others must be covered too.
  - Get to know your client. They are the star not you.
  - Build a story, not just a sequence of random beauty shot. Pre-visualise and be prepared systematically
  - Choose the right equipment / gear at the right time
  - Use Rule of three. Basic 3 shots (wide - mid - close up) with video length minimum shot not less than 10 sec. For every scene in every shot, shoot in several samples in order to ease editing process.
  - Use Soundbites. Use it to make the occasion to be real in visual.
  - Understand basic thing about story: WORD - sentence - PARAGRAPH
  - Editing (Pace: fast @ slow; linear or timeshifting; 8 life span of a shot. How long? How short? You determine your own work.

3) DOs &  DONT's for videography

- STRATEGY : proper planning - strategies with the itineray. Plan and ask it from your client. Have a good communication between crews. As a leader in your group, you should think fast execute task very well.
- equipment/Gear list. sniffing the location - Check out the space
where's your position (dont ruin people's event)
- Light condition
- preps your lens - white balance: better pakai kelvin (2000>)
- dont use auto n preset
- check color profile
-duplicate color profile to team members
- bawa cf/sd cards
- use only reliable cf to protect data
-battery spare
ATTIRE: dress smartly. Baju melayu, suit blazer, polo shirt, slack, cargo. No jeans in the event wedding. You will consider as disrespect to other's event.


4) Why compete when you can complement?
Contoh video ini yang dihasilkan oleh Manggis Production dengan kerjasama beberapa produksi lain, termasuk CST Gayat Helicam.




Azeem (candydsndrome)

- dalam penghasilan filem pendek, kena kerjasama semua krew.
- Brainstorm : panggil smua geng dan staf untuk kembangkan ide n konsep
- Basic: Treatment - script - storyboard

Sesi kritik video pada sebelah petang juga menarik. 3 video terpilih di kalangan peserta seminar dipertontonkan dan dikritik secara telus oleh 4 panel - Rosli, Fauzee, Azeem dan Saiful Nang sendiri.

Banyak kekurangan dalam video diberi saranan dari sudut sinematografi dan suntingan.

Harus diingat, kekuatan video bukan sahaja terletak pada visual, bahkan audio juga sangat penting. Jadi, pemilihan lagu atau muzik yang bersesuaian dengan footage video perlu dititikberatkan dari awal sebelum penggambaran lagi.

Aku berpuas hati untuk seminar ini, sekurang-kurangnya ini mungkin antara yang termuat untuk mengisi memori warna-warni pengalaman di awal tahun 2013.

Semoga tahun ini terus mengukir ceria pada jiwa. Terima kasih mahaguru!

P/s: selamat bercuti semester untuk kawan-kawan ku. Manfaatkan masa untuk ummah!

*Kredit gambar: CST Production, Saiful Nang & Waksikal