Pelihara potensi diri

Saat ini adalah tempoh para penuntut di universiti-universiti berdepan dengan peperiksaan akhir. Rutin di hujung semester, semua akan kesibukan menelaah buku dan mengulang-ulang nota sebelum menginjak tiba ke dewan peperiksaan.

Hampir lima tahun mendiam di bumi Nilai, sebagai pelajar kerdil di pusat pengajian di sini meski hampir tiada langsung dalam benak fikiran aku untuk bergelar penuntut jurusan undang-undang sebelum ini. Aku cuba mengingat-ingat kembali, bagaimana terjadi sehingga menatijahkan keadaan aku seperti sekarang. Segala pesan Abah, harapan tinggi emak dan inspirasi yang terzahir oleh adik, abang dan dua kakak mendorong kekuatan untuk terus kekal dalam pengajian ini.

Bersama teman-teman seperjuangan kampus menghirup udara kebebasan akademik

Begitu hebat percaturan Allah. Kita sebagai hamba tersangat dangkal berbanding pengetahuan-Nya yang maha luas. Kita mungkin sahaja boleh berangan dan mengimpikan sesuatu, tetapi tidak semua yang kita harapkan akan berlaku. Mungkin kita akan mengeluh sekarang, tetapi esok pasti kita akan mengucap syukur dan mengukir senyum, tanpa kita hiraukan jerih payah sebelum ini yang terus luput dari benak fikiran.

Allah sebaik-baik perancang. Allah jua sebaik-baik tempat bergantung.

Aku positif dan cuba bersikap adil dalam menerima cabaran tatkala menempuh dunia pengajian sekarang ini. Dunia kampus sememangnya kaku, melainkan kita sendiri yang mengolah dan membina persekitaran yang diinginkan.

Pengalaman mampu mematangkan fikiran dan tindakan

Universiti, tidak lebih daripada medan uji kaji. Dunia varsiti tidak lari dari rencam suasana yang menyulitkan. Medan uji kaji ini hanya berkitar selama empat hingga enam tahun. Terserah kepada diri kita sendiri untuk mencetuskan suasana yang membina peribadi dan menjana pengalaman kita sendiri.

Secara peribadi, aku mendoakan yang terbaik dalam peperiksaan kali ini. Baki tiga semester yang perlu dilunaskan, aku bersyukur dikurniakan anugerah pengetahuan dan hadiah persahabatan yang cukup besar manfaatnya pada diri. Belajar dengan penghayatan akan membuatkan diri kita 'hidup', dan jauh dari benak yang ternyata palsu dengan hafalan dan kongkongan jeriji menara gading.

Apapun, jauh lebih besar aku mendoakan yang lebih baik dalam perancangan yang akan diteruskan untuk beberapa tahun mendatang. Sahabat dan teman sekeliling hadir membantu dan menyokong sesekali, hasrat yang ingin dikecap.

Ingatan terpenting yang perlu aku pasakkan, setiap kita dianugerahkan potensi tersendiri. Allah tidak pernah mensia-siakan hamba-Nya. Maka, jika kalian menyedari kebaikan apa yang wujud dalam diri serta bermanfaat pada diri kalian, maka peliharalah potensi tersebut. Fokus dan bentukkanlah ia dengan tindakan yang menguntungkan diri dan Islam.

Semoga usaha kita semua dipermudahkan. Paling penting, semoga apa yang dirancang mendapat redha Allah dan memberi manfaat kepada orang lain. Sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling memberi manfaat kepada orang di sekelilingnya.



p/s: Merindui detik-detik 'larut' dalam pengembaraan jiwa, lima tahun lalu. Ingin kembali dengan jiwa yang lebih besar!

Mulakan 2012 dengan fitrah


Petang santak ke malam, kumpulan kecil anak muda duduk berehat-rehat di pinggiran beranda Masjid Jamek. Sebetulnya mereka datang bersama-sama dengan teman-teman dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan berpaksi Islami, menyertai kumpulan ahli jawatankuasa masjid mengimarahkan aktiviti yang diadakan khas bersempena tahun baru.


Sejak tengah hari, pengunjung erot-erotan memasuki pintu utama yang terbuka sebelah. Ada yang hadir menunaikan solat, ada yang ingin mendapatkan juadah makan malam percuma dan ada juga yang semata-mata mahu mengikuti pengisian yang diadakan di pentas hadapan masjid.

Sebelah petang tadi, kumpulan tersebut sedikit teruja tatkala mengekori rakan-rakan yang mengadakan persembahan muzik jalanan. Beberapa orang yang lalu-lalang di sekitar berhenti dan merakam gambar. Sebilangan kecil pula berhenti dan bertanyakan itu dan ini. Sesekali dua tiga pemuda berselang-seli tampil penuh semangat memberi sedikit pesan dan nasihat secara santai. Beberapa lagu berunsur ketuhanan dan kemanusiaan didendangkan sebelum bubar untuk solat Maghrib.

Di sekitar itu, kelihatan sekumpulan gadis berkerudung labuh kelihatan lincah ke sana sini meski berpenampilan muslimah, membawa belon berwarna-warni. Ujar mereka bila ditanya, untuk dihadiahkan kepada orang awam. Kempen cintakan solat dengan pendekatan yang ringan dan sebegitu mudah, sememangnya memberi pengaruh dan tarikan tersendiri.

Sebelah malam, sejumlah besar kumpulan anak muda berkumpul di ruang legar luar masjid. Taklimat disampaikan dengan beberapa misi serta pendekatan yang ingin dijalankan pada lewat tengah malam itu. Pelbagai gaya dan watak anak muda berjaya disekalikan demi melaksanakan matlamat yang sama; islah nafsak wad'u ghairak.


Dalam riuh kesibukan manusia yang membanjiri segenap ruang Dataran Merdeka, kumpulan anak muda ini bertebaran membenam ke dalam lautan khalayak. Berpapasan dengan anak-anak muda yang sebaya khayal dengan kecintaan pada kemeriahan hiburan dunia, terbit sedikit perasaan sedih dan malu. Begitu nasib masyarakat di Malaysia.

Doa wehdah yang dilaung, bacaan selawat dialun dan lontaran kata-kata semangat memecah bingit yang bercampur-baur dengan muzik rancak dan percikan bunga api di ruang udara. Kelompok besar anak muda yang berkumpul di hadapan menara jam menarik minat orang awam yang terpinga-pinga dan tertanya-tanya akan tujuan kumpulan besar anak muda itu berkumpul.

Kumpulan itu terus kekal dalam kumpulan besar, dengan erat mengukuh ribat sesama mereka. Tujuan mereka jelas, memberi mesej kepada masyarakat bahawa anak muda tersebut sayangkan Malaysia. anak muda sayang akan Allah dan Rasul. Kumpulan anak muda itu justeru mengambil inisiatif dan kata sepakat untuk turun menzahirkan sikap dan hasrat mereka.

Betapa rakyat Malaysia harus disedarkan akan kesederhanaan. Paling penting, rasa syukur itu perlu mengatasi segala bentuk tindakan dalam apa jua sambutan yang diraikan.

Meski dianggap kecil dan remeh usaha tersebut. di kalangan masyarakat, sekurangnya-kurangnya kumpulan anak muda tersebut diraikan oleh kaum ibu dan anak-anak muda yang seakan-akan mengerti dan senada dengan pendirian mereka. Mereka tertarik dan turut serta. Terbit riak wajah terharu dan sebak bila sesekali laungan takbir bergema di Dataran Merdeka yang masih belum 'merdeka' dari taklukan hedonis dan cucuhan maksiat.

Dengan rendah hati dan penuh harap, semoga usaha sebegini diberkati dan dapat diteruskan.

Barangkali mereka, kumpulan anak muda, berfikir, Tuhan tidak akan bertanya kepada mereka apa yang mereka telah peroleh selama ini dengan menganut Islam. Tetapi Allah pasti akan bertanya kepada mereka, apa yang mereka telah sumbangkan sebagai Muslim kepada agama Islam itu sendiri.

Mulakan Tahun Baru 2012 dengan fitrah seorang Muslim; ber-Iman dan ber-Ihsan.