Samseng jalanan, istilah yang baharu ditukarkan menggantikan mat rempit. Gejala dalam masyarakat yang tidak berkesudahan dan seakan tak berpenghujung. Ramainya dari kalangan remaja, ditambah dengan pelapis sedari kanak-kanak, memungkinkan andaian bahawa gejala ini kini sudah menjadi budaya yang tidak sihat dalam masyarakat.
Samseng jalanan akan tetap wujud walau bagaimana cara sekalipun yang dilakukan. Bahkan, terkadang timbul kebosanan bila mendengar bual bicara yang hanya berpanjang lebar dengan masalah, tanpa kurang mengamati persoalan sebenar yang perlu dirungkaikan.
Mengapa mat-mat rempit yang kini bermartabat samseng tetap tegar dalam rempitnya mereka?
Suatu yang perlu difikirkan, berapa ramai di kalangan kita yang sanggup untuk hadir meraikan mereka. Maksud di sini, meraikan jiwa-jiwa mereka. Menghargai fitrah mereka pada hakikatnya. Punca masalah bukan kerana ibu bapa, bukan pengaruh rakan sebaya, bukan faktor kerajaan atau media.
Letak duduk masalah, pada pandangan peribadi, adalah kerana kurangnya jiwa belas yang ingin berakraban dengan jiwa kacau mereka. Mereka sangat perlu dikasihani. Pandangan ini berdasarkan pengalaman. Bila kembali mengenangkan adanya rakan yang pernah bahu-membahu dengan kita terjebak dalam masalah ini, ia suatu yang cukup menghibakan.
Mereka mahu suara hati didengar, tapi tak ramai mahu peduli. Jiwa yang miskin dari sapaan yang meredupkan. Mereka gersang dari bisikan yang meruntuni perasaan. Terkontang-kanting mereka mencari arah, tatkala letih dan lelah diasak fahaman sesat dan pemodenan manusiawi.
Sebab itu, mereka kekal dengan hati yang memberontak. Dek tiada yang membantu memesrai hati-hati mereka, maka teruslah lemas dan rakus dipandu gelojak diri. Mereka pura-pura menemui kebebasan, pura-pura dalam bersedap-sedap dengan dunia mereka. Namun hakikatnya jiwa mereka belum terbebas.
Mat rempit hanyalah sebahagian daripada masyarakat yang dipinggirkan. Sering dipersalahkan, tanpa ada pihak yang cuba meletakkan diri untuk sejenak memahami kehendak mereka. Memang malang nasib mereka, tidak ramai yang sudi membuka jendela hati mereka yang kebingungan untuk disapa cahaya yang tenteram.
Mat rempit tetap hamba Allah yang punyai hati yang perlu disantuni dengan kasih sayang. Jika Allah yang Maha pengasih sangat kasihkan hamba-Nya, kita pula bagaimana?
Sampai bila-bila mereka teraba-raba dalam memburu kebebasan, keseronokan dan kelazatan, sedangkan hati mereka tidak dituntuni untuk meneroka rahsia kebahagiaan jiwa yang hakiki.
"Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh di jalan-Ku, ia akan dibuka jalan(ilham) baginya, sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik." (Al-Ankaabut: 69)
Kepada sahabat-sahabat yang mempunyai kelapangan waktu, bolehlah jenguk kaca televisyen pada Selasa malam 16 Jun nanti. Suara Siswa membincangkan topik 'Samseng Jalanan: Cara Siswa Tangani'. Kupasan yang santai namun membina dari panelis kalangan pimpinan mahasiswa. Jangan ketinggalan.
p/s: Mabruk 'ala ustaz Najib Taha, atas hujah bernas yang berhasil memaparkan 'izzah kepada Islam, langsung kepada khalayak umum.
1 ulasan:
Ya, mabruk ala ust najib! Mmg terbaik. Tengokla sp PA (yg mls) dia..hehe
Catat Ulasan