Letih pula jadinya bila isu-isu teknikal sebegini berlarutan. Segala kerja yang sedia ada tergendala. Memang betul-betul menguji. Aku menelefon sahabat aku yang masih dalam uzlah untuk meminta nasihat. Mujurlah saranan beliau membuka sedikit harapan. Jika tidak, makin kusut fikiran untuk mencari penyelesaian. Apapun, masalah ini tidak perlu dikesalkan.
Hujung minggu ini peperiksaan akhir bagi semester pendek. Esoknya pula, kehadiran pelajar-pelajar baharu sarjana muda akan memenuhi kolej, sekali gus melatari kemeriahan suasana dan menambah rencah landskap kampus tidak lama lagi.
Semester baharu bakal bermula tidak kurang dua minggu lagi. Dua semester lepas yang agak melelahkan. Pun demikian, banyak aku timba pengalaman dan pengajaran hidup sebagai mahasiswa. Keputusan peperiksaan? Segala puji bagi Tuhan, masih pada tahap yang baik meski sedikit penurunan yang diperoleh merencatkan semangat untuk seketika.
Aku mula berkira-kira untuk semester hadapan. Beberapa amanah yang mesti dibereskan akan diatur dengan baik. Hambatan waktu dan pelbagai kekangan lain perlu dihadapi mengikut keperluan. Pengalaman lalu membantu untuk membaiki kesilapan dan kekurangan yang ada.
Hampir lima tahun aku menulis blog. Sedikit demi sedikit, minda beransur mengopak pemikiran. Manifestasi keilmuan dan pengetahuan secara literal antara nilai muhasabah yang berjaya dirungkaikan daripada setiap penulisan. Bermula dengan terikut-ikut, kemudian menyubur minat lalu membugar mekar dan terus mencambahkan kematangan dalam pemikiran sejajar dengan usia.
Seorang penulis akan bankrap jika tidak memperkayakan pembacaan. Begitu pesan Ustaz Hasrizal dalam satu siri kuliah beliau. Kematangan dalam inti penulisan akan dilihat pada sejauh mana seseorang penulis berjaya membawa gagasan akar budinya yang diterjemahkan melalui penulisan mempengaruhi sikap manusia yang membacanya.
Saat ini, aku cuba kendurkan minat untuk menulis blog. Dorongan membaca yang sebelum ini suam-suam kuku, kini terasa hangat kembali. Bagi aku, tiada guna jika menulis tetapi kekal di takuk lama. Penulisan yang hidup adalah penulisan yang bertunjangkan akidah, bersulamkan pedoman dan berhasil mentunaskan harapan serta iltizam kepada pembaca.
Jika penulis kaya falsafah seperti Faisal Tehrani mempunyai musim membacanya tersendiri, aku kira wajar juga untuk sekalian penuntut ilmu, kader dakwah dan mahasiswa yang tegar untuk mengencarkan ruh ilmu dalam diri, memperuntukkan ruang waktu khusus untuk bersunyi-sunyi dan ralit bercumbu-cumbuan dengan mutiara-mutiara kitab dan buku yang pelbagai. Meratah melahap mengekah dalam ulitan mesra sebegitu pasti menghadirkan kepuasan yang menakjubkan. Dan pasti akan lebih berharga bila saling berkongsian sesama kita.
Tuntas untuk aku maklumkan, aku mahu berehat. Semester baharu, perancangan juga perlu diperbaharu. Semoga kita semua dipermudahkan urusan pemburuan Cinta indah dalam menilai hakikat kehidupan.
p/s: Letih sebenarnya. Jalan keluar terbaik; 'tidur'kan blog.