Tatkala menyusuri Jalan Tunku Abdul Rahman semalam, kami jadi terpinga-pinga. Kelihatan gawat pula bila melihatkan polis berlegar-legar di merata-rata. Sofi dan Mat, kata mereka, mahu membeli kitab di Pustaka Mukmin. Namun, lain pula jadinya petang semalam.
Sayup-sayup di Dataran Merdeka, kelihatan berbondong-bondong sekumpulan berbaju putih sedang berarak maju ke Masjid Negara. Kami bersoal sesama sendiri, kehairanan. Hajat awal kami terbantut. Masing-masing sepakat untuk tahu apa yang berlaku di sana.
"Aku tok smaye lohor gi nih," King mengadu kepada kami. Alang-alang terlajak, kami nekad untuk singgah di Masjid Negara. Dari kejauhan, masih kelihatan kelompok kecil yang berarak. Memang ada maklumat yang kami terima sebelum ini berkenaan rapat umum yang dirancang oleh pihak tertentu semalam. Namun, tak pula kami menyangka waktunya. Telahan kami, acara tersebut sebelah pagi.
Melintasi Bangunan Sultan Abdul Samad, kami berjalan dan kadang-kadang berpapasan dengan kumpulan polis. Beberapa trak polis berwarna merah turut melalui jalan-jalan sekitar itu. Cuak juga kalau-kalau terperangkap dalam sekatan polis nanti. Kami mengambil langkah selamat, mengekori dua tiga pelancong luar dan berjalan beriringan dengan mereka di pinggiran jalan.
Jaga-jaga, AUKU sedang membayangi kita, Mat berseloroh. Kami membalas, perlembagaan sudah memberi jaminan. Kebebasan untuk bergerak itu hak asasi rakyat. Kalau AUKU bertindak, itu sudah dikira ultra vires. Kami langsung dienjut tawa besar. Macam baguss. Haha.
Menghampiri Masjid Negara, kelihatan ramai yang berbaju putih memenuhi perkarangan masjid. Jam menunjukkan waktu 3 petang. Sepanduk membantah PPSMI ada digantung dan ditampal di mana-mana. Kami mengambil keputusan untuk berehat di luar masjid sahaja. Dua daripada kami masuk untuk solat Zohor.
Lima belas minit kemudian, semakin ramai khalayak memenuhi luar masjid. Kedengaran loceng jentera merah polis dari arah hadapan. Keadaan semakin tak menentu. Kami memerhatikan sahaja apa yang berlaku. Bimbang mula menyelinap sebaik memerhatikan ada yang berani dan agresif berdepan dengan polis dan bersuara lantang.
Suasana jadi bingit dan riuh. Tak semena-mena, semburan air daripada 'water cannon' menghala kepada mereka yang berkumpul di jalanan. Masing-masing lari bertempiaran. Keadaan jadi kalut lalu kami mengambil keputusan untuk berada di dalam masjid. Tidak keruan jadinya apabila semua menelungkup muka dengan kain dan menggenyeh-genyeh mata pedih.
Kami yang berada di dalam turut terkena percikan air yang kuat ditujukan ke arah masjid. Saat itu bingung jadinya memikirkan tindakan luar kawalan pihak berkuasa. Mengapa masjid turut menjadi sasaran? Siapa sasaran mereka? Pendemonstrasi yang berada di luar, ataupun orang awam yang berada di masjid seperti kami?
Mata kami perit menahan kepedihan. Hidung jadi berair. Muka dan kulit lengan terasa panas pijar. Mulut terasa loya dan menyengat. Seorang lelaki memberikan kami sebungkus garam. Ujarnya, untuk meredakan rasa kesan air yang berasid tersebut.
Belum sempat keadaan kembali tenang, tembakan gas pemedih mata pula ditujukan ke arah orang ramai. Kelongsong peluru gas ada yang tercampak ke dalam masjid membuatkan keadaan menjadi tambah kalut. Kali ini, asap gas tersebar di udara dengan kesan lebih teruk. Beberapa orang ada yang dipapah kerana pitam. Mereka yang berada dalam masjid tersentak apabila jam dinding masjid pecah terkena peluru sesat dari luar.
Kami sempat berkongsi air mineral dengan beberapa orang pemuda yang kebetulan berada di sisi. Rasa pedih mencucuk-cucuk dan dada menjadi sesak. Tempat wudhuk dipenuhi orang ramai yang batuk-batuk dan muntah-muntah. Mereka seboleh-boleh cuba menghilangkan rasa yang cukup memeritkan tekak. Inilah pertama kali kami terperangkap dalam situasi yang tak terjangka sebegitu.
Di belakang luar masjid, seorang wartawan wanita berbangsa Cina kelihatan menangis teresak-esak, barangkali menahan perit tertelan gas pemedih mata. Kasihan melihat keadaannya, kami lalu menghampirinya dan memberikan bantuan air dan segumpal garam yang masih berbaki. Turut kelihatan di bawah pokok-pokok pinggiran masjid, beberapa orang lelaki tua dan wanita beserta anak kecil duduk melepas rasak dan lelah dengan riak wajah lesu.
Keadaan di luar beransur-ansur terkawal selepas setengah jam provokasi antara kumpulan pembantah dan pihak berkuasa. Kami menunggu keadaan kembali tenang sebelum bubar. Akhirnya, kami tidak jadi untuk kembali ke kedai buku, sebaliknya terus berangkat pulang. Beberapa pimpinan dari pihak tertentu sedang memberi ucapan kepada orang ramai di hadapan masjid.
Suatu perkara yang membingungkan bermain-main dalam kepala kami. Masjid kini seperti tidak lagi menjadi tempat yang aman, seperti apa yang kami saksikan. Sebagai orang Islam, tidak kira apa jua sekalipun, masjid sepatutnya dihormati. Kecewa, sedih dan kesal, menyusup dalam-dalam ke sanubari bila mengingatkan kembali tindakan provokatif yang tidak cerdik itu.
p/s: Menyitir kata-kata pejuang bahasa, SN A Samad Said,"Sampai begini sekali layanan untuk menyelamatkan bahasa." Baca di Blog sasterawan muda, Faisal Tehrani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan