Gagasan Ittihad


Sesekali tertancap juga impian di benak kepala untuk melihat kesatuan ummah berjaya dicetuskan dengan suasana yang harmoni. Bersama-sama beberapa orang sahabat, kami begitu teruja berbagi-bagi pendapat dalam merencana suatu misi. Kami, secara kecil-kecilan, cuba untuk menghimpun daya yang ada dalam melaksanakan gagasan ittihad.

Gagasan itu secara konsep, kelihatan mudah untuk disuguh minda, tetapi hakikatnya agak sukar. Keterbatasan dan kekurangan dalam pelbagai sudut menimbulkan tanggapan ia terlalu jauh untuk direalisasikan. Barangkali ia tidak terhenti sebagai satu alasan. Sebaliknya itu cabaran hebat bagi kita untuk mematahkan kekangan seperti itu.

Secara ringkas, persoalan yang boleh dinaikkan dalam isu ini adalah, bagaimana untuk menyatukan ummat Islam pada zaman ini menjadi satu ummat yang perkasa?

Sunni, Syiah, Wahhabi, Salafi, Sufis, Ahbash, Fundamentalis-konservatif, Muslim moderat dan sebagainya, perlu mencermati gagasan ini secara beransur-ansur. Sudah letih kita menanggung asakan dan serangan dari luar oleh puak yang memusuhi Islam yang suci ini. Sampai bila agaknya sikap ananiyah yang menebal sebegini berterusan.

Aku tidak pandai meneroka dalam-dalam. Namun, cukup untuk aku ringkaskan, semua bermula daripada sikap. Kesederhanaan itu salah satu kunci. Lawan bagi sederhana adalah melampau dan terlampau. Kongkongan sikap seperti itulah yang masih menyelubungi ramai di kalangan ummat.

Juga satu lagi yang perlu dipasakkan dalam peribadi Muslim iaitu menjaga adab ikhtilaf. Perselisihan mazhab itu tidak perlu dicemari dengan sikap menuduh, mengkafir, mencaci, menghentam, menikam dan membunuh hujah. Sikap buruk sebegitu perlu dihindarkan kerana ia menjadi cerminan akhlak ummat Islam.

Benar, kita berpegang dengan prinsip. Dalam masa yang sama, kita juga harus menghormati pegangan prinsip orang lain. Memetik ungkapan seorang sahabat, terbuka tidak semestinya hanyut. Tertutup tak semestinya jumud.

Segala apa yang baik dan menguntungkan ummat, itu menjadi keutamaan dan pilihan terbaik. Pertelagahan dan permusuhan dalam menegakkan sesuatu isu, sewajarnya digantikan dengan menggunakan saluran yang sederhana dan harmoni. Kita mahu kebenaran ditegak, dan harus diingatkan juga, kita juga mahu membina kesatuan ummat.

Mungkin sesuatu yang paling utama, adalah melalui jalan kembali kepada fitrah kita sebagai Muslim. Jika semua menginsafi bahawa Allah itu Tuhan sekalian alam. Bahawa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa aalihi wasallam adalah rasul kepada manusia sejagat dulu, kini dan selamanya, nescaya dengan izin Allah, gagasan ittihad tidak sekadar idealistik semata-mata. Itulah falsafah teragung yang mesti dihayati demi kemaslahatan ummat Islam di akhir zaman ini.

Tawaqquf


Perbaikilah sikap kita selaku penuntut ilmu. Dalam melakukan pengkajian, jangan terlalu mudah menghukum seseorang. Setiap daripada mereka ada kelebihan dan kekurangannya. Ia tidak membawa sebarang natijah yang baik seandainya kita sibuk menilai kelemahan orang lain.

Justeru, hindarkan daripada berbicara secara berlebihan tentang tokoh-tokoh yang makamnya tinggi di atas. kita hanya thullab yang berada di bawah sahaja. Sedang kita sememangnya tidak layak untuk menilai mereka melainkan di kalangan mereka jua. Renungilah hadith: Daging para ulama itu racun. Barangsiapa yang memakannya nescaya ia binasa.

Ketahuilah, Kita sebenarnya dalam kerugian. Adalah baik berbicara tentang hal yang memberi lebih manfaat kepada ummat daripada menghumbankan diri ke dalam kelompok yang cintakan pertelagahan. Jika tidak, sampai bila-bila pun tiada titik keharmonian dan perpaduan ummah.

-Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Sudah nasibmu, bahasaku


Lelah diri ini menjerit dan meraung
tidak kira di lorong mana di padang mana
di tengah hujan atau di terik panas
hanya sekadar meminta sedikit ihsan
daripada pemimpin yang
kononnya pejuang bahasa
supaya martabatmu terbela,
bahasaku
namun segalanya sia-sia.

Apakah mereka itu petualang
atau pembela
lantang menyalak di pentas
pilihan raya
menghunus keris entah kepada siapa
sambil memekik ke ruang terbuka
takkan Melayu hilang di dunia
membujur lalu melintang patah
biar putih tulang jangan putih mata.

Sinisnya nasibmu tetap dipersenda
pembelakah mereka itu, bahasaku
mereka lupa pesanan orang tua-tua:
bahasa jiwa bangsa!
hilang bahasa lenyaplah bangsa!

Gerangan agenda apakah di
belakang mereka
atau iblis laknat mana yang
meracuni minda
bahasa sendiri dibiar terbengkalai
hilang kehormatan tergadai
kehormatan
pupus keyakinan tanpa pembelaan
dihimpit diasak ranap keperkasaan
bakal lenyap di bumi ketuanan
ditelan zaman
demikian nasibmu, bahasaku.


HARUN MOHAMAD
Kuala Terengganu


p/s: Suatu yang tidak aku nafikan sejak dahulu, Abah sememangnya seorang pejuang bahasa yang istiqamah. Bahkan, pasti dia lebih merestui melihat ada yang mewarisi semangat beliau.
* Sajak 'Sudah Nasibmu, bahasaku' tersiar di dalam Harakah edisi Jumaat minggu lepas.

Perang Bahasa?

Peristiwa 7 Mac minggu lalu sudah pun tercatat dalam sejarah negara sebagai suatu hari yang memaparkan manifestasi pejuangan para pencinta bahasa.

Mereka turun bukan sebagai penunjuk perasaan yang tiada haluan, sebaliknya sebagai penunjuk kasih yang mendalam kepada jiwa bangsa.


Tak keterlaluan untuk menyatakan, pejuang bahasa telah menang dalam 'peperangan' tersebut. Meski terpaksa berasap pedih dan menahan perit disimbah air asid, derap langkah tetap teratur mara, bagi membuktikan nilai bahasa itu tinggi di sisi agama dan bangsa.

Aku seboleh-boleh menjernihkan fikiran dalam menanggapi isu ini. Bukan melihat dari sudut pandang ekstrem membabi-buta, juga ingin mengelak jauh-jauh dari
sebarang sentimen politik kepartian. Kerna isu bahasa adalah isu bersama yang neutral.

Kita menentang tak bermakna kita membangkang tanpa sebarang matlamat. Aku mengagumi kelompok mahasiswa seangkatan yang bersemangat menzahirkan kasih kepada bahasa ibunda. Namun, apa yang diharapkan, mereka turut berjuang bukan kerana mengikut orang. Sebaliknya, semangat tersebut berpunca dari kesedaran yang benar.

Tentangan atau protes para pejuang bahasa atas dasar keprihatinan. Aku menyelami perjuangan bahasa, dan aku ingin menuruti langkah setiap pencinta bahasa yang jujur. Langkah pertama yang boleh diambil, kekal menjadi pengguna bahasa yang amanah.

Bagaimana mungkin kita bersuara semangat dalam memartabatkan bahasa, sedang penggunaan bahasa harian kita carca merba tanpa pedoman dan jati diri Melayu-Islam.

Kedua, layanilah bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang mengagumkan. Memikul nilai keilmuan tetapi mengetepikan peranan bahasa adalah suatu kesilapan yang tidak boleh dimaafkan. Setiap pencinta ilmu pasti akan mulai gundah meladeni isu ini kerana bahasa sangat penting untuk menyampaikan makna pada ilmu.

Ketahuilah, kuatnya pertalian bahasa dan ilmu seumpama air yang tertitis ke lautan. Bersatu menghasilkan riak-riak gelombang yang melebar dan meluas, tanpa ada yang menafikan peranan titisan air itulah yang mengorak perubahan kepada lautan.

Barangkali setiap apa yang berlaku kini menambah lagi siri rentetan perang bahasa. Berperang para pejuang bukan bertunjangkan kekerasan, sebaliknya hadir ke medan menuntun kasih demi menyelamatkan nasib bahasa yang semakin tenat diganggu tangan-tangan yang miskin moral budaya dan ilmu.

p/s: Tatkala berdegar-degar isu bahasa diperdebat, Cik Siti Mustika muncul menghambat lamunan. Cerpen itu kembali lagi, kali ini menyindir dalam-dalam.

Cintakah kita kepada Nabi?


Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz, di dalam adh-Dhiya al-Laami’ bi Zikri Maulid an-Nabiy asy-Syaafi’, menyebut:

Demi ِِAllah, tidaklah disebut nama sang kekasih (Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم) di hadapan para pencintanya, melainkan gembira dan merindukannya.

Dimanakah para ‘pencinta’ yang ringan baginya mengorbankan nyawa dan apa-apa sahaja yang berharga demi kecintaannya.

Tidaklah mereka mendengar sebutan Thaha al-Musthafa صلى الله عليه وآله وسلم, kecuali bangkitlah semangat di hati mereka dan hilanglah segala kegundahan hati.

Maka bergetarlah roh-roh (arwah) mereka merindukan pertemuan dengan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, diiringi rintihan sanubari memohon keredhaan Penciptanya.

Begitulah keadaan orang-orang yang mencintai Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, maka dengarlah akan sirah (perjalanan hidup) sang pembawa syafa’at, dan bukalah segenap pendengaranmu.

Maka renungilah akan sifat-sifat Thaha صلى الله عليه وآله وسلم, imam yang terpilih.
Dan hadirkanlah hatimu, nescaya penuhlah hatimu dengan getaran kecintaan kepadanya.

Alangkah, indahnya hati para pencinta Nabi tidak terungkap dengan kata-kata. Mereka, di kalangan ariffin dan muhibbin, dengan hati yang sebu berbicara penuh makna, penuh keharuan. Alangkah beruntungnya mereka. Jiwa yang hidup menguntum kasih kepada Nabi tanpa henti, penuh kemanisan yang melarutkan. Kita pula bagaimana?

Tangisilah hati lalai kita ini yang berjejal maksiat dan sarat mazmumah. Kita sebenarnya jauh dengan Nabi. Hidup kita tak lagi dilingkungi sang alim. Hari-hari biasa kita tiada sudah melazimi ulama. Kita jauh dengan baginda, jauh sangat-sangat.

Sudah-sudahlah mengaku kitalah pencinta Nabi. Jangan lagi kita bilang kitalah pengamal sunnah yang setia. Tak usah berbangga kitalah ummat kebanggaan Nabi. Kerna hati kita sunyi dari cinta Nabi yang hakiki. Kasih atau tidak kita kepada Nabi?


p/s: Sambutan mawlid kubro dan seminar "Mengenali Pemimpin Sebenar Warisan Nubuwwah bagi Ikutan dan Tauladan Ummah" akan diadakan pada Sabtu ini, bertempat Yayasan al-Jenderami. Sahabat yang berkelapangan, digalakkan untuk hadir bagi membugarkan cinta kepada Nabi sallallahu 'alaihi waalihi wasallam.

Jalan-jalan 7 Mac

Tatkala menyusuri Jalan Tunku Abdul Rahman semalam, kami jadi terpinga-pinga. Kelihatan gawat pula bila melihatkan polis berlegar-legar di merata-rata. Sofi dan Mat, kata mereka, mahu membeli kitab di Pustaka Mukmin. Namun, lain pula jadinya petang semalam.

Sayup-sayup di Dataran Merdeka, kelihatan berbondong-bondong sekumpulan berbaju putih sedang berarak maju ke Masjid Negara. Kami bersoal sesama sendiri, kehairanan. Hajat awal kami terbantut. Masing-masing sepakat untuk tahu apa yang berlaku di sana.


"Aku tok smaye lohor gi nih," King mengadu kepada kami. Alang-alang terlajak, kami nekad untuk singgah di Masjid Negara. Dari kejauhan, masih kelihatan kelompok kecil yang berarak. Memang ada maklumat yang kami terima sebelum ini berkenaan rapat umum yang dirancang oleh pihak tertentu semalam. Namun, tak pula kami menyangka waktunya. Telahan kami, acara tersebut sebelah pagi.

Melintasi Bangunan Sultan Abdul Samad, kami berjalan dan kadang-kadang berpapasan dengan kumpulan polis. Beberapa trak polis berwarna merah turut melalui jalan-jalan sekitar itu. Cuak juga kalau-kalau terperangkap dalam sekatan polis nanti. Kami mengambil langkah selamat, mengekori dua tiga pelancong luar dan berjalan beriringan dengan mereka di pinggiran jalan.

Jaga-jaga, AUKU sedang membayangi kita, Mat berseloroh. Kami membalas, perlembagaan sudah memberi jaminan. Kebebasan untuk bergerak itu hak asasi rakyat. Kalau AUKU bertindak, itu sudah dikira ultra vires. Kami langsung dienjut tawa besar. Macam baguss. Haha.


Menghampiri Masjid Negara, kelihatan ramai yang berbaju putih memenuhi perkarangan masjid. Jam menunjukkan waktu 3 petang. Sepanduk membantah PPSMI ada digantung dan ditampal di mana-mana. Kami mengambil keputusan untuk berehat di luar masjid sahaja. Dua daripada kami masuk untuk solat Zohor.

Lima belas minit kemudian, semakin ramai khalayak memenuhi luar masjid. Kedengaran loceng jentera merah polis dari arah hadapan. Keadaan semakin tak menentu. Kami memerhatikan sahaja apa yang berlaku. Bimbang mula menyelinap sebaik memerhatikan ada yang berani dan agresif berdepan dengan polis dan bersuara lantang.

Suasana jadi bingit dan riuh. Tak semena-mena, semburan air daripada 'water cannon' menghala kepada mereka yang berkumpul di jalanan. Masing-masing lari bertempiaran. Keadaan jadi kalut lalu kami mengambil keputusan untuk berada di dalam masjid. Tidak keruan jadinya apabila semua menelungkup muka dengan kain dan menggenyeh-genyeh mata pedih.

Kami yang berada di dalam turut terkena percikan air yang kuat ditujukan ke arah masjid. Saat itu bingung jadinya memikirkan tindakan luar kawalan pihak berkuasa. Mengapa masjid turut menjadi sasaran? Siapa sasaran mereka? Pendemonstrasi yang berada di luar, ataupun orang awam yang berada di masjid seperti kami?

Mata kami perit menahan kepedihan. Hidung jadi berair. Muka dan kulit lengan terasa panas pijar. Mulut terasa loya dan menyengat. Seorang lelaki memberikan kami sebungkus garam. Ujarnya, untuk meredakan rasa kesan air yang berasid tersebut.

Belum sempat keadaan kembali tenang, tembakan gas pemedih mata pula ditujukan ke arah orang ramai. Kelongsong peluru gas ada yang tercampak ke dalam masjid membuatkan keadaan menjadi tambah kalut. Kali ini, asap gas tersebar di udara dengan kesan lebih teruk. Beberapa orang ada yang dipapah kerana pitam. Mereka yang berada dalam masjid tersentak apabila jam dinding masjid pecah terkena peluru sesat dari luar.

Kami sempat berkongsi air mineral dengan beberapa orang pemuda yang kebetulan berada di sisi. Rasa pedih mencucuk-cucuk dan dada menjadi sesak. Tempat wudhuk dipenuhi orang ramai yang batuk-batuk dan muntah-muntah. Mereka seboleh-boleh cuba menghilangkan rasa yang cukup memeritkan tekak. Inilah pertama kali kami terperangkap dalam situasi yang tak terjangka sebegitu.

Di belakang luar masjid, seorang wartawan wanita berbangsa Cina kelihatan menangis teresak-esak, barangkali menahan perit tertelan gas pemedih mata. Kasihan melihat keadaannya, kami lalu menghampirinya dan memberikan bantuan air dan segumpal garam yang masih berbaki. Turut kelihatan di bawah pokok-pokok pinggiran masjid, beberapa orang lelaki tua dan wanita beserta anak kecil duduk melepas rasak dan lelah dengan riak wajah lesu.


Keadaan di luar beransur-ansur terkawal selepas setengah jam provokasi antara kumpulan pembantah dan pihak berkuasa. Kami menunggu keadaan kembali tenang sebelum bubar. Akhirnya, kami tidak jadi untuk kembali ke kedai buku, sebaliknya terus berangkat pulang. Beberapa pimpinan dari pihak tertentu sedang memberi ucapan kepada orang ramai di hadapan masjid.

Suatu perkara yang membingungkan bermain-main dalam kepala kami. Masjid kini seperti tidak lagi menjadi tempat yang aman, seperti apa yang kami saksikan. Sebagai orang Islam, tidak kira apa jua sekalipun, masjid sepatutnya dihormati. Kecewa, sedih dan kesal, menyusup dalam-dalam ke sanubari bila mengingatkan kembali tindakan provokatif yang tidak cerdik itu.

p/s: Menyitir kata-kata pejuang bahasa, SN A Samad Said,"Sampai begini sekali layanan untuk menyelamatkan bahasa." Baca di Blog sasterawan muda, Faisal Tehrani.

Belajar Mencabar

Kebelakangan ini, isu-isu tempatan yang berkisar dunia politik begitu hangat memanaskan ruang legar masyarakat. Pertelagahan, perebutan, cemuhan, penafian undang-undang dan serang-menyerang, semuanya silih berganti. Membacakan laporan akhbar, hati mula meluat. Mendengarkan berita di kaca tv, telinga jadi berbulu. Semua serba tak kena bahana iklim politik yang celaru.

Pun begitu wahai mahasiswa, anda terkecuali untuk tidak mengendahkan semua ini. Mahasiswa, anda selaku jurucakap masyarakat yang saksama. Mahasiswa, anda membawa tanggungjawab sebagai pengamat siasah dan sosial. Oleh yang demikian wahai mahasiswa, jangan bekukan pemikiran anda.



Ada baiknya setiap daripada kalangan kita ini yang jujur sebagai Muslim yang tidak luntur kecintaan ilmu, cuba bangkitkan minat dan dorongkan diri untuk bersikap proaktif terhadap isu sekeliling. Berdasarkan kajian rambang, kecenderungan mahasiswa untuk memberi reaksi pasif bagi isu-isu semasa semakin hari semakin ketara. Itu cukup menggusarkan.

Hidup dilabel sebagai pelajar di institut pengajian tinggi, tak seharusnya bersifat rigid. 'Student life' yang sering berdegar dan dilaung-laung itu bukan slogan yang sekadar berperihal hari-hari ke kampus, menghadiri kuliah, siapkan tugasan, balik kolej, basuh baju, tonton filem Korea dalam PC. Budaya 'pacaran' apatah lagi, seakan-akan sesuatu yang normal. Kehidupan sebegitu wahai sahabat sekalian, adalah kehidupan mahasiswa yang lesu.

Dunia mahasiswa dunia yang besar dan luas. Cukup menyeronokkan bagi mereka yang pandai mengambil peluang. Jangan tumpulkan daya taakulan kita. Lakukan kopakan minda yang agresif namun teliti. Pengajian di kampus sememangnya paling utama. Namun tak semestinya ia menjadi sesuatu yang mutlak. Belajar bermotivasikan segulung ijazah, adalah misi yang tidak akan membawa kita maju ke mana-mana.

Ambil ruang yang menyakinkan, mantapkan kefahaman dan perkuatkan idealisme. Garapkan dengan pengalaman dan belajarlah mencabar. Kerna di situ baru kita mula menghargai nilai intelektual yang ada dalam kelompok mahasiswa yang sebenar.

“Pemimpin tidak boleh dicetak. Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat.”
– Bapak Natsir