ISA : Menyempurnakan Kezaliman


Seminggu yang lalu, kisah ini mungkin bukan menjadi paparan utama akhbar arus perdana. Stesen-stesen TV juga tidak berminat untuk memuatkan kisah yang meruntun perasaan sebegini dalam paparan slot berita. Apatah lagi sekalian pemimpin-pemimpin negara ini yang semestinya tidak mahu ambil tahu. Isu lobi jawatan dan hentam pembangkang lebih 'menghiburkan'.

Bergenangan air mata kesemua yang berziarah sebaik melihat kasih ayah yang terzahir di saat anaknya sudah pun menghembuskan nafas yang terakhir. Kucupan diberi ke dahi anaknya itu sepuas-puasnya seolah-olah enggan menerima perpisahan akibat tujuh tahun keluarga beliau dipisahkan oleh tempoh kem tahanan secara zalim.

Pilu benar yang menyaksikan, perit lagi yang merasa. Kesengsaraan keluarga ini masih belum berkesudahan. Jalan hujungnya masih samar. Mereka dan mangsa-mangsa lain akan terus merana. Inilah bahana apabila akta untuk menghadapi komunis terus-menerus digunakan sewenang-wenang untuk menzalimi rakyat marhaen.

Kisah ini barangkali satu daripada himpunan kisah tentang nasib rakyat yang dizalimi di tanah air sendiri. Keluarga, isteri dan anak-anak menjadi mangsa penindasan undang-undang rimba. Menjaga keselamatan dan kemananan negara bukan lagi suatu alasan yang relevan jika keharmonian keluarga dan jalinan kasih sayang menjadi taruhan.

Memang tidak menghairankan. Mereka yang punyai pangkat dan kuasa, beranggapan mereka punyai segala-galanya. Keluarga bahagia. Kroni berjujuk. Aset berbillion-billion. Pedulikan rakyat yang merintih dan menangis, asalkan pemimpin kenyang dan tertawa. Realiti negara umat Islam akhir zaman.


p/s: Takziah kepada Shahrial Sirin sekeluarga. Pemergian puteri tercinta, Allahyarhamah Aina Mardiah adalah saat-saat yang memilukan sekali bagi yang memahami penderitaan keluarga mangsa kezaliman ini. Al-fatihah.

3 ulasan:

irsyad22 berkata...

aku sokong! ISA wajar dihapuskan...ia nya menyekat hak asasi manusia!

Tanpa Nama berkata...

Salamualaikum,

Buat peringatan bersama:

"Dari Wail radiallhu 'anhu berkata: Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu jika kami mempunyai pemimpin yang menahan hak kami dan mereka meminta hak mereka dari kami? Baginda menjawab: (Sewajarnya kamu) sentiasa mendengar dan mentaati mereka kerana hanya atas mereka apa yg mereka kerjakan dan atas kamu apa yg kamu kerjakan". - HAdith Riwayat Muslim

Dari Abdullah bin Masoud radiaulahu 'anhu berkata Rasulullah sallallahu alaihi wa-sallam bersabda: "Sesungguhnya akan berlaku selepas peninggalanku sikap pemerintah yg merampas harta kamu dan berbagai-bagai perkara yg kamu ingkari. Para sahabat bertanya: Apakah yg engkau perintahkan pada kami wahai Rasulullah!? Baginda bersabda: Tunaikanlah kewajipan kamu dan berdoalah kepada Allah untuk mendapat hakmu." - Hadith Riwayat Muslim dan Bukhari

awanbiru berkata...

this draconian act should be abolished...