Mereka perlukan pendakwah!

Satu mesej diterima malam tadi.

"Assalamualaikum ustaz."

Adesh..! Siapa pulak berbahasa 'bagus' dengan aku ni. Nak tergelak rasanya. Nombor yang naik tak dapat dikenalpasti. Segera bertanyakan gerangan siapa yang menghantar mesej itu. Mesej dibalas segera, memperkenalkan diri, rakan sepelatih di kem Khidmat Negara tahun lalu. Aku kemudian menghantar mesej bertanya khabar, sekadar untuk berbasa-basi, namun lain yang dijawab. "Aku ada masalah ni.."


Mesej tak dibalas, sebaliknya segera membuat panggilan. Rasanya berbicara lebih memuaskan hati meski tidak bersemuka. Kami kemudian bersembang seperti biasa, rancak dan mesra seperti dahulu. Ketika itu, satu perkara dapat dikesani. Dakwah yang berkesan bermula dengan komunikasi yang akrab.

Dia menceritakan satu persatu. Aku mendengar, sesekali mencelah dan kemudian terus mendengar. Bila ditanya, baru segera menjawab, sebetulnya menasihat, sekadar yang termampu aku ucapkan. Selesai menelefonnya, selang beberapa minit dia pula yang menelefonku. Belum puas dia memohon 'bantuan'. Benar-benar dia dibelenggu masalah. Dan benar-benar dia ingin aku membantunya.

Kisahnya terkadang membuatkan telinga aku menjadi panas. Terkadang diruntun sayu dan ada kalanya agak menggelikan hati mendengarnya. Namun kebanyakannya membuatkan aku terharu dan sedih, beserta sekelumit marah dalam hati. Bercampur-baur.

Masalah lebih kepada tekanan pelajaran. Ujarnya, peperiksaan akhir kian mendekat. Dalam kepala memang kosong. Ditambah pula faktor luaran yang banyak membuatkan dia menyimpang jauh hingga banyak ketinggalan dalam pengajian. Aku cuba memberi ruang selesa baginya meluah segala apa yang merusuh dalam benaknya. Hinggalah dia mula berkongsi kisah yang menggusarkan...

"Macam biasa..masalah remaja ni..kau faham la kan. Err aku nak bagitau sesuatu ni.. camni Bro.. baru-baru ni aku tidur di rumah perempuan...."dia mula berkisah, selamba.

Aku sebagai teman, mendengar khabar begini memang memeranjatkan hati, Tuhan saja yang tahu. Tak dinafikan, aku mengenalinya tak lama. Juga lama sudah kami tak ketemu. Bagaimana kondisinya sekarang, aku sendiri tak pasti. Lantas, aku tak boleh segera menghukumnya. Benak segera diterpa satu hadith Nabi sallallahu 'alahi wa aalihi wasallam.

Mana-mana lelaki tidak akan berdua-duaan dengan perempuan, melainkan pasti syaitan akan menjadi yang ketiga. (At-Tirdmizi)

Ya Allah, hindarkanlah aku dan sahabatku dari perbuatan terkutuk.

Semestinya wujud rasa marah membuak, namun dipendam saja dalam hati. Bicara cuba diatur sebaik dan sehikmah yang boleh. Syukurlah dia boleh berlapang dada. Dapat aku rasakan, dia benar-benar menghargai sarananku meski tidak panjang lebar.

Banyak persoalan yang disoal berkaitan isu pacaran dan luar batas dalam pergaulannya sehari-hari. Dia sendiri mengakui, pengaruh khalayak sekeliling menjadi faktor utama. Dia menceritakan, sudah ramai rakan-rakannya yang terlanjur. Pun dia pada malam itu, dengan nada berlucu, mengatakan dia seolah-olah menjadi statik tak bertindak apa-apa, meski tidur besebelahan. Ujarnya, dia masih ingat dosa pahala walaupun hati bergelojak tak keruan.

Aku makin menginsafi bila sempat dia menceritakan, sikapnya terhadap tiang agama. Tanpa berselindung, dia mengatakan seandainya terlepas solat Subuh, maka kesemua empat solat fardu lain pada hari tersebut akan ditinggalkan. Alasannya mudah, sudah tidak bersemangat. Dan juga mengakui dia makin malas akhirnya untuk solat. Pendek kata, meringan-ringkan solat sudah perkara biasa. Astaghfirullah.

Kadang-kadang ditimbulkan pertanyaan yang boleh dianggap perkara remeh-temeh. Misalnya, boleh ke aku dengan perempuan tu sekadar nak pegang tangan, takpe ke?

Kala itu hati bertambah sayu. Nak gelak pun tak sampai hati. Kita yang tahu dan dikurnia kefahaman hukum, diberi rezeki ilmu Allah, semuanya dalam bentuk pinjaman. Bagaimana lagi untuk kita manfaatkan apa yang dipinjam melainkan disebarkan untuk kefahaman orang lain.

Hakikat itu mesti kita diakui. Bukan semua orang terdedah pada pemahaman hukum-hakam agama. Tidak semua yang memiliki asas Islam yang baik sedari kecil. Jika orang yang faham agama sekalipun ada yang berkeji dengan maksiat, apatah lagi bagi mereka yang miskin ilmu agama. Tidak menghairankan pada zaman ini. Na'uzubillah

Tertarik pada petikan kata-kata dari satu blog: "Menyayangi sahabat bukan dengan cara menyetujui apa saja keputusannya demi menjaga hatinya, tapi tetap menasihatinya dan mendoakannya supaya terselamat dari mainan duniawai. Jangan takut dengan amarah orang jika kita di pihak benar, tapi takutlah amarah-Nya jika kita menutup kebenaran!"

Kepada rakan tadi, aku mengatakan yang aku mengaguminya. Seboleh-boleh aku ingin menyedapkan hatinya agar mudah untuk dia menerima saranan atau nasihat, serta lembut hatinya untuk dia terus berkongsi masalah. Sekadar itu, dan bukan bertujuan meredai maksiat yang dilakukan, meski membenci di dalam hati adalah selemah-lemah iman. Aduss...

Aku memujinya atas dasar satu perkara. Penyesalan. Sungguh, tindakan untuk berasa sesal atas kesilapan adalah suatu petanda atau langkah awal untuk kembali. Tidak wajar rasanya untuk membantutkan dorongan keinsafan yang menular dalam jiwanya. Itu dapat dikesani melalui bait kata-katanya yang begitu kecewa dengan tindakannya selama ini. Hidayah milik mutlak Allah. Semoga dia ditunjuki jalan kebenaran.

Sejujurnya, sebaik mendengar masalah rakanku itu secara tiba-tiba membuatkan diri terbeban dengan sesuatu taklif. Bebanan tanggungjawab seorang Muslim. Seorang khalifah. Suatu bentuk amanah bagi daei. Bukan masanya untuk menentukan siapa pendakwah sebenar. Jelas di sini, setiap daripada kita adalah daei secara rasminya.

Peranan daei adalah mengetuk jiwa manusia. Menghulur kasih kepada yang gersang Cinta pada hatinya. Juga sebagai pembuka jendela bagi kamar atma agar disapa cahaya hidayah-Nya. Perlulah kita menghayati dan menginsafi peranan itu. Siapa lagi yang ingin diharapkan untuk menjadi pemujuk bagi hati-hati yang miskin iman dan tiris akhlak ini melainkan kita. Kitalah yang terpikul peranan itu meski dalam hati kita hanya terdetik secuit kesedaran. Namun itu sudah memadai. Setidak-tidaknya kita mula berperanan sebagai penggerak bagi jiwa-jiwa resah ini.

Aku sendiri kadang-kadang berasa begitu berat diri untuk bergiat dan bersama-sama dalam jemaah kerana merasakan diri ini tidak layak untuk mentarbiyah orang lain. Biarkan kerja amal itu semua kepada orang yang lebih layak. Bagi aku, berikan saja kepada orang yang lebih arif dalam agama, lebih thiqah, warak dalam tingkah laku, lebih mantap dalam fikrah Islaminya, dan mereka yang bersanggupan dalam berdakwah. Dan beralasan lagi, diri sendiri perlu diperbaiki dahulu.

Pokoknya, jika begitulah mentaliti aku, dan juga seratus atau seribu lagi yang berfikiran sebegitu, pasti jelas tak akan ke mana nasib umat Islam. Bayangkanlah jika seruan dakwah makin menyepi, maka makin layulah para belia Melayu Islam. Tidak ramai yang berani mendekat dengan jalan seruan agama. Belajar dan faham agama sekadar untuk diri sendiri dan kemudian berasa selesa. Mereka yang tidak berpeluang belajar, dibiarkan terus menjadi fakir dengan ruh Islam.

Di sini tidak timbul soal banyak mana ilmu agama kita, selebat mana hujahan pidato kita, atau setakat mana hafalan al-Quran kita, untuk melayakkan diri kita menjadi seorang daei. Asasnya jelas sekarang, setahap mana kesanggupan kita merebut peluang dakwah yang ada. Kita tak mahu lagi remaja sebaya kita yang hanyut makin bertambah.


Tidak sesekali kita ingin melihat kelompangan moral dan akhlak kalangan rakan-rakan kita. Sedangkan kita, hanya mampu mengepit kitab, menadah kitab, berpeluk tubuh dan mencemuh mereka yang mencemar imej Islam. Hakikatnya, kita tidak ada usaha mendekati dan mempedulikan nasib mereka.

Secara mudah, aku segan berpanjang lebar dalam bab dakwah ni. Belum mampu lagi rasanya menutur apa yang belum kita laksanakan. Tergumam dalam benak azimat kata daripada seorang sahabat. Kamu akan diuji dengan apa yang kamu bicarakan. Harapan cuma, mungkin sekurang-kurangnya dapat menginsafi diri kita dan tersedar dari terus duduk di zon selesa.

Pun begitu, apa yang diceritakan malam tadi cukup menggusarkan. Aku sendiri sebagai rakannya bagaikan teruji dengan kisahnya. Banyak lagi yang diceritakan, namun tidak sesuai untuk dipanjangkan di sini. Apa yang pasti, perbualan semalam banyak mengembalikan kesedaran pada diri.

Dia masih sahabat aku. Dia antara rakan yang akrab denganku ketika di kem dahulu. Uniknya, meski lagak gayanya bolehlah tergolong di kalangan remaja yang 'nakal' tetapi kata-katanya teratur dan menampakkan adab yang baik. Juga sangat gemar berkongsi masalah, seperti semalam. Daripadanya, aku diajar cara bermain gitar. Juga bermesra dengan lagu-lagu rock kapak.

Walaupun bunyinya membuatkan sesetengah memandang serong, namun jika diperinci, jelas di situ terdapat uslub dakwah yang halus. Apa yang utama, untuk membuatkan orang menghormati kita, terlebih dahulu perlu bagi kita untuk menghormati mereka.

Tindakan susulan adalah dengan terus berhubungan dengannya. Tidak dapat tidak itu menjadi tanggungjawab seorang teman meski di kejauhan. Doakan agar dilemparkan hidayah kepadanya dan moga-moga akan ada teman berdekatan yang sudi membantu dan membimbingnya.

Ya Allah, sesungguhnya hamba-Mu ini di kalangan orang-orang yang zalim. Ampunilah kami ya Allah...

6 ulasan:

HAZIRAH BINTI HARUN berkata...

slm..
sgt best bile duk dlm 'zon selesa'.
tp kdg2 xth ape yg byk blaku kt luar..
kes kwn min tu,sgt byk...
dan ji kat cni pon hdpi kwn2 mcm tu..
bile dh kuar dr 'zon' tu,
rs 'sesak'!
tp alhmdlh..diri sdiri msh tjg..
tolongla kwn2 tu..
jgn tngglkn mereka.
byk org 'ats pagar' skg..keliru..

keram berkata...

mule2 aku tgk pnjg, mls nk bace jer..
pastu lepas bace,xsedar plak dah habis bace..mabruk2!harap ustaz hazimin blh berkongsi lagi la ye pengalaman ustaz.Nak quote skit kata2 ustaz "Dakwah yang berkesan bermula dengan komunikasi yang akrab."Ramai kita sekarang hanya menghukum dari luar jer..ok,bittaufiq ustaz=)

fazareez berkata...

Salam ming yg berada d ngri penyu mendarat,

Hmba yg fakir ni ckup tersentuh bl membc karya tuan hamba. Scr jujurnya diri ini merasa ckup cmburu dgn mu krn mu tlh dpilih Allah utk berjuang di jlnnya. Inilah br perjuangan dakwah yg sebenar. Dakwah yg kita perlukan. Iaitu berdakwah kpd org yg krg pemahaman ttg agama. Kbnyakan dr kita termasuk diri ini jga, hnya sekadar bersama dlm lingkungan org yg sdah fhm agama, cm menampung sedikit kelompongan shj. Msti cbrnnya adlah berbeza.

Cb kita renungi kata2 ni (ana x pasti ni hadis atau kt2 hukamak), ISLAH NAFSAKA WAD'U GHAIRAKA. Islahknlah dri kamu sambil kamu menyeru org lain kearah kebaikan. Ini menunujukkan 2 perkara ini tidak blh dipisahkn atau didahulukan, tidak dpt tidak kita perlu memperbaiki dr kita seiring dgn berdakwah. Bermakna x semestinya kita perlu islah dri smpai ke prgkt ulama' br kita nak berdakwah, ataupun kita hnya pandai berdakwah ttp diri sndiri x pernah nk diislahkn..

Apa2 p0n truskn perjuanganmu whai shbtku, smoga Allah taala mencurahkn rahmat dan pertolonganNya ke atas mu..BARAKAALHUFIKA

p/s: tertarik dgn kt2, "Menyayangi sahabat bukan dengan cara menyetujui apa saja keputusannya demi menjaga hatinya, tapi tetap menasihatinya dan mendoakannya supaya terselamat dari mainan duniawai. Tp bl kita ditegur oleh shbt kita sndiri, kita x dpt menerimanya, bahkan ttp ingin menegakkan benang yg basah..kesian2

adilah berkata...

Salam..
Mabruk kerana berjaya menyentuh jiwa-jiwa yang membaca..Maaf andai ada kekhilafan..ukhwahfillah

awanbiru berkata...

teringat kenangan suasa di plkn dlu..

hati mengiyakan.."ya!mereka perlukan pendakwah!"

areistida89 berkata...

stuju krn prnah mll pngalaman plkn

hahaha

tp lawo ngat surau mg
surau kt tmpt aku kcik n byk srangga