Jeda

"Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan redha dan diredhai.” (Al-Fajr: 27-28)


Umar RA masuk ke masjid dan melihat Muadz Ibn Jabal sedang menangis di sisi kuburan Rasulullah SAW. Umar RA berkata,"Apa yang membuatmu menangis?". Muadz menjawab, "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya sedikit pun dari riya' adalah syirik. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaqwa dan bersembunyi, iaitu orang-orang yang apabila mereka tidak ada, maka tidak ada orang merasa kehilangan dan apabila mereka hadir, maka mereka tidak diketahui. Hati mereka bagaikan sinar petunjuk yang selamat dari debu yang pekat."
(Dikeluarkan oleh al-Tabrani dan Hakim)


Berkata Imam Syafie: "Jadikan ilmu kamu itu sebagai garam dan adab kamu itu sebagai tepung."

'Setan Merah' menang...

Aku keluar dengan tiga sebab. Pertama, tiada Astro di rumah, jadi tak boleh nak tengok. Kedua, kawan-kawan lama aku ajak keluar, jadi rasa tak seronok kalau aku menghampakan kawan. Ketiga, malam ini final match, rugi kalau tak tengok. Maka, kami berempat pun keluar menuju ke bandar mencari-cari kedai makan yang ada skrin besar.

Perlawanan pagi tadi berlarutan hingga penentuan sepakan penalti. Tak pula rasa lama, mungkin terlalu ralit tengok aksi-aksi menghiburkan, walaupun terkadang banyak 'tidak bersih' permainan mereka. Minit-minit penghujung penuh debaran, diselangi babak yang tak tersangka-sangka. Penonton di sini melompat geram, memekik, menyumpah, sesekali kerusi pun terangkat sama. Akhirnya berkesudahan...


Perlawanan tamat lebih kurang 5.40 pagi. Semua sekalian anak muda yang berkereta dan bermotosikal gesit bubar. Di pertengahan jalan, berpapasan dengan satu dua kereta dipandu lelaki berkopiah, menuju ke Masjid Putih. Selang beberapa minit, azan Subuh bergema.

Kata seorang sahabat, bernada sinis,"Kalaulah abis tengok bola semua pakat gi masjid, smayang berjemaah..kan ke bagus,". Masing-masing senyum tawar, dalam hati gelakkan diri sendiri. Rasa segan dan malu, tapi buat bodoh saja. Kami langsung pulang, tak berdaya, sembahyang dan kemudian bergelimpangan tidur macam batang balak. Letih sangat tak tidur, menahan kantuk semata-mata kerana bola....

Alahai, lemahnya jiwa.


p/s: Darimi berhasil temui 'penawar' pengubat lara. Zizi sama Fahmi mengeluh hampa. Apa sekalipun, Cech memang main cantik pagi tadi.

Lambaian Baitul Atiq

Hujan lebat sejak awal pagi tadi membantutkan hajat untuk berkunjung ke Wisma Negeri. Turut serta dalam program anjuran Suhakam yang julung kali diadakan itu satu agenda yang menarik sebenarnya. Pasti banyak input berguna dapat diambil dari program dialog berkenaan. Apapun, kita sebagai hamba hanya mampu merancang, segalanya terserah kepada Allah yang maha adil dalam menentukan apa yang terbaik untuk diri kita.

Bukanlah bermakna mengeluh kerana cuaca hari ini yang kurang baik menjadi penyebab. Hikmah pasti ada di sebaliknya. Jarang kebelakangan ini hujan di sebelah pagi, tapi hari ini berbeza. Seolah-olah membawa petanda rahmat turun mencurah-curah, penuh barakah.

Begitu juga dengan langit. Awan mendung santak ke petang sebenarnya bukanlah membawa erti hari yang dilalui adalah hari yang suram, sebaliknya redup yang menyelubungi untuk mendamaikan hati-hati yang diberi kurnia nikmat bagi hamba-Nya yang bersyukur.

Itulah yang diamati hari ini. Barangkali pemergian sekeluarga menuju Tanah Suci sudah diraikan oleh Allah dari tanah air lagi. Menjadi tetamu Allah pastinya suatu nikmat yang agung dan pengalaman yang mengujakan bagi seorang hamba. Manifestasi kesyukuran dan kecintaan tak terhingga ini wajar dijadikan suatu kembara iman yang menakjubkan bagi musafir yang berkelana jiwanya untuk merebut nikmat Cinta.


Selamat bermusafir, wahai tetamu Allah. Semoga mampu mengubah sempadan iman, menyucikan hati dan membugarkan rasa kasih kepada Allah dan Rasul-Nya. Ameen.



p/s: Sempat berbisik, berkirim hajat kepada adik,"Jangan lupa doakan result final aku." Tak dapat penuh pun takpe, janji menyejukkan hati. Hu Hu Hu.

Mereka perlukan pendakwah!

Satu mesej diterima malam tadi.

"Assalamualaikum ustaz."

Adesh..! Siapa pulak berbahasa 'bagus' dengan aku ni. Nak tergelak rasanya. Nombor yang naik tak dapat dikenalpasti. Segera bertanyakan gerangan siapa yang menghantar mesej itu. Mesej dibalas segera, memperkenalkan diri, rakan sepelatih di kem Khidmat Negara tahun lalu. Aku kemudian menghantar mesej bertanya khabar, sekadar untuk berbasa-basi, namun lain yang dijawab. "Aku ada masalah ni.."


Mesej tak dibalas, sebaliknya segera membuat panggilan. Rasanya berbicara lebih memuaskan hati meski tidak bersemuka. Kami kemudian bersembang seperti biasa, rancak dan mesra seperti dahulu. Ketika itu, satu perkara dapat dikesani. Dakwah yang berkesan bermula dengan komunikasi yang akrab.

Dia menceritakan satu persatu. Aku mendengar, sesekali mencelah dan kemudian terus mendengar. Bila ditanya, baru segera menjawab, sebetulnya menasihat, sekadar yang termampu aku ucapkan. Selesai menelefonnya, selang beberapa minit dia pula yang menelefonku. Belum puas dia memohon 'bantuan'. Benar-benar dia dibelenggu masalah. Dan benar-benar dia ingin aku membantunya.

Kisahnya terkadang membuatkan telinga aku menjadi panas. Terkadang diruntun sayu dan ada kalanya agak menggelikan hati mendengarnya. Namun kebanyakannya membuatkan aku terharu dan sedih, beserta sekelumit marah dalam hati. Bercampur-baur.

Masalah lebih kepada tekanan pelajaran. Ujarnya, peperiksaan akhir kian mendekat. Dalam kepala memang kosong. Ditambah pula faktor luaran yang banyak membuatkan dia menyimpang jauh hingga banyak ketinggalan dalam pengajian. Aku cuba memberi ruang selesa baginya meluah segala apa yang merusuh dalam benaknya. Hinggalah dia mula berkongsi kisah yang menggusarkan...

"Macam biasa..masalah remaja ni..kau faham la kan. Err aku nak bagitau sesuatu ni.. camni Bro.. baru-baru ni aku tidur di rumah perempuan...."dia mula berkisah, selamba.

Aku sebagai teman, mendengar khabar begini memang memeranjatkan hati, Tuhan saja yang tahu. Tak dinafikan, aku mengenalinya tak lama. Juga lama sudah kami tak ketemu. Bagaimana kondisinya sekarang, aku sendiri tak pasti. Lantas, aku tak boleh segera menghukumnya. Benak segera diterpa satu hadith Nabi sallallahu 'alahi wa aalihi wasallam.

Mana-mana lelaki tidak akan berdua-duaan dengan perempuan, melainkan pasti syaitan akan menjadi yang ketiga. (At-Tirdmizi)

Ya Allah, hindarkanlah aku dan sahabatku dari perbuatan terkutuk.

Semestinya wujud rasa marah membuak, namun dipendam saja dalam hati. Bicara cuba diatur sebaik dan sehikmah yang boleh. Syukurlah dia boleh berlapang dada. Dapat aku rasakan, dia benar-benar menghargai sarananku meski tidak panjang lebar.

Banyak persoalan yang disoal berkaitan isu pacaran dan luar batas dalam pergaulannya sehari-hari. Dia sendiri mengakui, pengaruh khalayak sekeliling menjadi faktor utama. Dia menceritakan, sudah ramai rakan-rakannya yang terlanjur. Pun dia pada malam itu, dengan nada berlucu, mengatakan dia seolah-olah menjadi statik tak bertindak apa-apa, meski tidur besebelahan. Ujarnya, dia masih ingat dosa pahala walaupun hati bergelojak tak keruan.

Aku makin menginsafi bila sempat dia menceritakan, sikapnya terhadap tiang agama. Tanpa berselindung, dia mengatakan seandainya terlepas solat Subuh, maka kesemua empat solat fardu lain pada hari tersebut akan ditinggalkan. Alasannya mudah, sudah tidak bersemangat. Dan juga mengakui dia makin malas akhirnya untuk solat. Pendek kata, meringan-ringkan solat sudah perkara biasa. Astaghfirullah.

Kadang-kadang ditimbulkan pertanyaan yang boleh dianggap perkara remeh-temeh. Misalnya, boleh ke aku dengan perempuan tu sekadar nak pegang tangan, takpe ke?

Kala itu hati bertambah sayu. Nak gelak pun tak sampai hati. Kita yang tahu dan dikurnia kefahaman hukum, diberi rezeki ilmu Allah, semuanya dalam bentuk pinjaman. Bagaimana lagi untuk kita manfaatkan apa yang dipinjam melainkan disebarkan untuk kefahaman orang lain.

Hakikat itu mesti kita diakui. Bukan semua orang terdedah pada pemahaman hukum-hakam agama. Tidak semua yang memiliki asas Islam yang baik sedari kecil. Jika orang yang faham agama sekalipun ada yang berkeji dengan maksiat, apatah lagi bagi mereka yang miskin ilmu agama. Tidak menghairankan pada zaman ini. Na'uzubillah

Tertarik pada petikan kata-kata dari satu blog: "Menyayangi sahabat bukan dengan cara menyetujui apa saja keputusannya demi menjaga hatinya, tapi tetap menasihatinya dan mendoakannya supaya terselamat dari mainan duniawai. Jangan takut dengan amarah orang jika kita di pihak benar, tapi takutlah amarah-Nya jika kita menutup kebenaran!"

Kepada rakan tadi, aku mengatakan yang aku mengaguminya. Seboleh-boleh aku ingin menyedapkan hatinya agar mudah untuk dia menerima saranan atau nasihat, serta lembut hatinya untuk dia terus berkongsi masalah. Sekadar itu, dan bukan bertujuan meredai maksiat yang dilakukan, meski membenci di dalam hati adalah selemah-lemah iman. Aduss...

Aku memujinya atas dasar satu perkara. Penyesalan. Sungguh, tindakan untuk berasa sesal atas kesilapan adalah suatu petanda atau langkah awal untuk kembali. Tidak wajar rasanya untuk membantutkan dorongan keinsafan yang menular dalam jiwanya. Itu dapat dikesani melalui bait kata-katanya yang begitu kecewa dengan tindakannya selama ini. Hidayah milik mutlak Allah. Semoga dia ditunjuki jalan kebenaran.

Sejujurnya, sebaik mendengar masalah rakanku itu secara tiba-tiba membuatkan diri terbeban dengan sesuatu taklif. Bebanan tanggungjawab seorang Muslim. Seorang khalifah. Suatu bentuk amanah bagi daei. Bukan masanya untuk menentukan siapa pendakwah sebenar. Jelas di sini, setiap daripada kita adalah daei secara rasminya.

Peranan daei adalah mengetuk jiwa manusia. Menghulur kasih kepada yang gersang Cinta pada hatinya. Juga sebagai pembuka jendela bagi kamar atma agar disapa cahaya hidayah-Nya. Perlulah kita menghayati dan menginsafi peranan itu. Siapa lagi yang ingin diharapkan untuk menjadi pemujuk bagi hati-hati yang miskin iman dan tiris akhlak ini melainkan kita. Kitalah yang terpikul peranan itu meski dalam hati kita hanya terdetik secuit kesedaran. Namun itu sudah memadai. Setidak-tidaknya kita mula berperanan sebagai penggerak bagi jiwa-jiwa resah ini.

Aku sendiri kadang-kadang berasa begitu berat diri untuk bergiat dan bersama-sama dalam jemaah kerana merasakan diri ini tidak layak untuk mentarbiyah orang lain. Biarkan kerja amal itu semua kepada orang yang lebih layak. Bagi aku, berikan saja kepada orang yang lebih arif dalam agama, lebih thiqah, warak dalam tingkah laku, lebih mantap dalam fikrah Islaminya, dan mereka yang bersanggupan dalam berdakwah. Dan beralasan lagi, diri sendiri perlu diperbaiki dahulu.

Pokoknya, jika begitulah mentaliti aku, dan juga seratus atau seribu lagi yang berfikiran sebegitu, pasti jelas tak akan ke mana nasib umat Islam. Bayangkanlah jika seruan dakwah makin menyepi, maka makin layulah para belia Melayu Islam. Tidak ramai yang berani mendekat dengan jalan seruan agama. Belajar dan faham agama sekadar untuk diri sendiri dan kemudian berasa selesa. Mereka yang tidak berpeluang belajar, dibiarkan terus menjadi fakir dengan ruh Islam.

Di sini tidak timbul soal banyak mana ilmu agama kita, selebat mana hujahan pidato kita, atau setakat mana hafalan al-Quran kita, untuk melayakkan diri kita menjadi seorang daei. Asasnya jelas sekarang, setahap mana kesanggupan kita merebut peluang dakwah yang ada. Kita tak mahu lagi remaja sebaya kita yang hanyut makin bertambah.


Tidak sesekali kita ingin melihat kelompangan moral dan akhlak kalangan rakan-rakan kita. Sedangkan kita, hanya mampu mengepit kitab, menadah kitab, berpeluk tubuh dan mencemuh mereka yang mencemar imej Islam. Hakikatnya, kita tidak ada usaha mendekati dan mempedulikan nasib mereka.

Secara mudah, aku segan berpanjang lebar dalam bab dakwah ni. Belum mampu lagi rasanya menutur apa yang belum kita laksanakan. Tergumam dalam benak azimat kata daripada seorang sahabat. Kamu akan diuji dengan apa yang kamu bicarakan. Harapan cuma, mungkin sekurang-kurangnya dapat menginsafi diri kita dan tersedar dari terus duduk di zon selesa.

Pun begitu, apa yang diceritakan malam tadi cukup menggusarkan. Aku sendiri sebagai rakannya bagaikan teruji dengan kisahnya. Banyak lagi yang diceritakan, namun tidak sesuai untuk dipanjangkan di sini. Apa yang pasti, perbualan semalam banyak mengembalikan kesedaran pada diri.

Dia masih sahabat aku. Dia antara rakan yang akrab denganku ketika di kem dahulu. Uniknya, meski lagak gayanya bolehlah tergolong di kalangan remaja yang 'nakal' tetapi kata-katanya teratur dan menampakkan adab yang baik. Juga sangat gemar berkongsi masalah, seperti semalam. Daripadanya, aku diajar cara bermain gitar. Juga bermesra dengan lagu-lagu rock kapak.

Walaupun bunyinya membuatkan sesetengah memandang serong, namun jika diperinci, jelas di situ terdapat uslub dakwah yang halus. Apa yang utama, untuk membuatkan orang menghormati kita, terlebih dahulu perlu bagi kita untuk menghormati mereka.

Tindakan susulan adalah dengan terus berhubungan dengannya. Tidak dapat tidak itu menjadi tanggungjawab seorang teman meski di kejauhan. Doakan agar dilemparkan hidayah kepadanya dan moga-moga akan ada teman berdekatan yang sudi membantu dan membimbingnya.

Ya Allah, sesungguhnya hamba-Mu ini di kalangan orang-orang yang zalim. Ampunilah kami ya Allah...

Kacaulah mengikut akhirat


Suatu pagi, sengaja aku membancuh kopi susu meski baru usai menikmati sarapan emak. Sepasang mata memerhatikan aku yang gesit menyediakan 'air bujang'.

"Min, kacau mengikut akhirat...,"beliau bersuara mendatar. Aku kurang mengamati. Termangu dan kembali meminta diulang kata-kata.

"Boleh dikatakan hanya seorang dalam 100 sahaja yang mengacau air yang dibancuh mengikut akhirat", bicaranya memperjelaskan.

Langsung tidak mengerti."Maksudnya?"

"Itu konsep tawaf. Falsafah tawaf."Abahku mengukir senyum, menerangkan secara mudah.

"Ohh. Tapi macam mana ye..."

"Mereka yang mengacau mengikut putaran tawaf, bererti, akhirat menjadi matlamat mereka. Dunia hanyalah sandaran."

Bicara kami terhenti setakat itu.

Begitulah Abah. Dengan anak-anak, jarang dia berpanjang lebar bila menyentuh bicara yang serius. Aku menyenangi sikap sebegitu. Sekurang-kurangnya mendorong aku berfikir. Dia sekadar mencetus, dan selaku anak, aku disaran untuk menekuni dan mencari. Agar wujud suatu proses ilmu yang praktikal.

Pada awalnya tidak menemui maksud yang memuaskan hati. Sejujurnya aku malas untuk berfikir. Tak lama kemudian, tatkala santai meladeni 'Detektif Indigo Kembali', terhenti pada satu perenggan.

"...formula atom iaitu elektron akan sentiasa berputar mengikut arah lawan jam dan itu adalah sama dengan arah putaran semua planet yang ada untuk mengelilingi matahari. Tawaf menurut hukum sains fizik, benda hitam mengandungi tarikan gelombang magnet yang kuat berbanding warna lain,cas2 positif pada hajarul aswad di kaabah mempunyai cas positif yang amat tinggi.."

Ilham Allah taala, suatu idea lekas timbul.
Pergerakan tawaf adalah pergerakan kanan. Manusia mengelilingi Kaabah Baitul 'Atiq ke kanan. Dan ya, pergerakkan ke kanan adalah pergerakkan semulajadi alam. Elektron mengelilingi nukleus pada atom, begitu juga putaran planet mengelilingi matahari.

Begitu juga menurut ilmu metafizik, konsep ke kanan ini bagi mengembalikan keseimbangan fikiran dan peredaran darah dalam tubuh secara semulajadi. Bahkan, dalam agama Islam, semua perkara yang baik di sunatkan dimulakan dengan sebelah kanan. Dalam al-Quran, Surah Al-Waqiah misalnya, menyatakan golongan yang akan dimasukkan ke dalam syurga digelar 'As-habul Yamin' atau golongan Kanan.

Mungkin ini hanya bentuk persoalan yang remeh. Pun demikian, jika diperhalusi berhasil membawa pengertian yang bermakna. Mengapa Islam mementingkan kanan, suatu persoalan mudah yang jarang dirungkai. Aku menyimpulkan secara mudah, dalam setiap tindakan dan situasi, permulaan dengan kanan adalah suatu manifestasi agama yang signifikan dan tersirat hikmah di sebaliknya.

Aku kembali bersoal pada diri sendiri. Mengapakah soal mengacau minuman boleh dikaitkan dengan akhirat? Barangkali kata-kata Abah hanya ingin membuka rukyah mindaku. Seakan menyuruh aku merenung akan satu perkara.
Ramai manakah umat manusia di akhir zaman ini yang urusan dan bicara mereka berperihal tentang akhirat?

Satu tazkirah untuk hati di kala pagi, sambil bernikmat dengan cicipan secawan kopi susu.