'mood' Hijrah

Lama betul aku tak kemaskini blog. Alasan biasa: malas – tak ada masa – tak tahu nak tulis apa – aku pun tak tahu sebab apa. Jadi, aku mohon maaf banyak-banyak jika tindakan aku yang tak berjiwa seorang ‘bloggers’ ni. Barangkali tindakan aku ni membuatkan sahabat yang berkunjung kerugian masa selama 1-2 minit apabila membuka laman aku ni, dan juga kehilangan tenaga dalam beberapa unit joule apabila terpaksa mencetus impuls untuk:

1. bukaan retina mata memfokus kepada skrin komputer bagi melihat laman kusam ini;
2. menaip butir alamat laman sawang dan menekan butang tetikus untuk melayarinya;
3. menghela nafas pendek, atau mendengus lemah tapi dalam, apabila hampa laman ini tak terisi dengan apa-apa yang terkini.

Teringat kata YDP MPP Abang Farid Din, “orang yang sibuk adalah orang yang ada masa. Orang yang tidak sibuk adalah orang yang tak ada masa.”. - Apasal lah ayat ustaz ni selalu aja ‘makan dalam’. Terkena atas kepala…

Hari-hari aku berlalu macam biasa. Tiada yang luar biasa. Bertatih pelan-pelan. Kemudian kelih kiri dan kanan melihat rakan seperjuangan. Ada yang maju, ada yang muram. Kembali bertatih, tetapi sedikit kudrat dikerah, memungkinkan aku berjalan. Langkah demi langkah, aku hampir rebah tersembam. Lumrah si tebu berlingkar, sering tersungkam. Lama-kelamaan, usia meningkat susuk pun turut memanjang mengembang. Asam garam bergulat dalam pengalaman. Mudah-mudahan kian menjadi matang. Fikrah dan pengetahuan.

Fiqh wa al-Mujtama’

Tiada apa yang mengujakan untuk aku khabarkan perihal subjek teras ini, melainkan semester ini memungkinkan aku berkerah masa sedikit membelek kitab arab(dan kamus dwi-bahasa juga) tentang qadhayah dan hadis untuk melunaskan tugasan wajib(assignment) untuk subjek ini. Gelang magnetik dan sewa rahim. Bunyinya senang, tetapi kenapa semacam payah untuk memulakan?Dalam hati sudah berkira-kira mahu merusuh, mood hijrah ceria datang menggamit, - Ihtimam dengan pengurusan waktu. Kerja saat-saat akhir cuba hindarkan!


Pro kontra Tamhidi

Selesai. Berakhir sudah isu yang ‘bukan isu’. Malu juga apabila segelintir yang cuba berlaku ‘matang’ tetapi memprovokasi sesuatu yang bersifat ‘pramatang’. Hentikan skeptikal melulu. Tindakan dungu sebegitu berpunca daripada dorongan emosi, bukan menjana pemikiran kritikal. Menyitir kata-kata Encik Nizam : You must think before you act. That’s a law student.
Jadi, teruskan dengan matlamat. Bulatkan tekad. Pasang niat Lillah taala, jangan dilupa. Mood hijrah mendakap, seraya hadirnya bisikan : Study smart. Pray hard and the most important; Istiqomah!


Rehlah v. Trip

Segala sudah dirancang. Hanya menanti kelulusan. Entah dibenarkan entah tidak. Apa yang pasti, gerak kerja sudah diatur, dan perlu dimantapkan lagi serba sedikit. Insya-Allah, projek ini akan berjalan baik. Belajar dari pengalaman, bukan dari perasaan sembarangan. Kerna pengalaman mematangkan fikrah, memajukan sahsiah. Mood hijrah kembali mengusik, mengurniakan momentum perubahan.
Sama-sama kita doakan agar usaha ini dipermudahkan oleh Allah.


Hitachi Sata HDD baru

Entah apa-apa. Tapi, bagi aku, ada apa-apa. Harapan dalam benak kepala cuma satu; tiada lagi format untuk PC berhabuk ini. Secara rasminya biasiswa KPT dirompak secara terhormat. Peristiwa begini juga mengajar aku satu perkara. Bersederhanalah dalam tindakan. Mesti berusaha berhijrah ke arah itu. Mudah-mudahan, ameen.


Kerja sambilan

Seminggu ini banyak benar persoalan hadir menguji kotak pemikiran. Ada bagusnya. Itu perkara rutin bagi seorang mahasiswa. Peka, cakna, prihatin dan ambil peduli. Sekarang ini, benak kepala sibuk berputar ligat berkisar tentang peristiwa Hijrah. Dan persoalan dimulakan dengan perkataan ‘benarkah’. Agak Unik dan cukup menguji. Semestinya itu input terbaru bagi aku. Sirah Nabawiyyah banyak diambil daripada riwayat Ibnu Ishaq. Suatu cetusan untuk aku lebih berfikir dan mengkaji apabila menerima sesuatu. Cetusan untuk suatu penerokaan ilmiah dalam mood hijrah.


Legasi Sutera Indah

Masyarakat sampah. Harapnya ia bukanlah suatu yang menjadi kenyataan. Seperti biasa, Abang Farid dengan ayat-ayatnya yang menikam kalbu, sinis menjunam sembilu. Sekalian penghuni, sama-samalah kita memacu azam untuk membaiki kelemahan yang sekecil ini. Itu barulah dinamakan hijrah.


Salam Maal hijrah.

Tiada ulasan: