Catatan Satu Minggu

Jumaat 27 Julai

Jam tiga petang, semua pelajar Tamhidi Syariah dan Undang-undang menghadirkan diri ke majlis temu mesra bersama dengan Puan Nik Salida Suhaila Nik Salleh, pensyarah Undang-undang juga selaku ko-ordinator bagi pelajar Tamhidi FSU. (pastinya ramai di luar sana yang mengenalinya.)

Majlis berjalan secara tidak formal, dalam keadaan santai tapi teratur dengan agenda utama majlis adalah ucapan daripada ustazah sendiri. Butir bicara beliau seputar pengajian yang berjalan sepanjang dua bulan pertama, gambaran ringkas berkenaan kerjaya guaman, penekanan pada kredibiliti dan penampilan pelajar.

Kesempatan yang ada ketika itu juga dimanfaatkan untuk beliau bersuaikenal dengan semua penuntut Tamhidi FSU generasi ke-3 ini.(pergh, bunyi macam hebat je. huu..)

Dua petikan kata-kata Puan Nik Salida yang masih aku ingat:

"ketidakmampuan dalam berbahasa mendorong kepada kegagalan"

"Jika belum lagi berasa susah dalam belajar, itu bermakna belum ada lagi mujahadah dalam menuntut ilmu"


- Moga-moga pertemuan mesra sebegini ada baiknya diadakan lagi pada masa mendatang dalam usaha mengekalkan iltizam, memperkasakan keinginan dan semangat juang belajar sekalian pelajar FSU, Insya-Allah.


Sabtu & Ahad 28,29 Julai


Dua hari berlangsungnya program Literasi Arab bagi semua pelajar Tamhidi. Juga pada masa yang sama, terdapat acara lain yang dijalankan di sekitar kampus, termasuklah C-Fest bersempena Konvokesyen ke-5 dan Pertandingan Debat Alam Sekitar, kali ini Usim diberi penghormatan selaku tuan rumah. Makanya, kebanjiran manusia dua hari tersebut tak dapat dinafikan lagi. Meriah dan sesak.

Literasi Arab - Terlintas soalan di dalam benak, adakah program ini betul-betul berkesan? Pandangan seorang dua rakan, ada yang menyifatkan ia hanya merugikan masa. Alasannya, bahan yang menjadi modul bagi program tersebut stereotaip, tiada kelainan dan sama sahaja dengan apa yang dipelajar di dalam tutorial, mungkin bagus kelas tutorial lagi.

Ada juga yang bersikap positif dan berpuas hati meski keletihan dek sehari suntuk menghadap bahasa Arab. Ujar mereka, masih ada manfaat yang berhasil dikutip. Yuran pun tak perlu dibayar. Jadi, berbaloi rasanya.

Bagus atau sebaliknya, diri masing-masing yang menilainya. Apa yang diperoleh, tetap terkandung ilmu. Dan setiap ilmu itu datangnya dari Allah. Doakan semoga ilmu tersebut beroleh berkat dan rahmat Allah.

Selasa 31 Julai

Hari itu aku cuma hadir untuk satu kuliah sahaja. Semua tutorial pada hari itu dibatalkan. Kebetulan, pagi itu juga berlangsungnya pertandingan akhir Debat Alam Sekitar Institusi Pengajian Tinggi ke-17. Rezeki Tuhan untuk aku kala senggang waktu yang ada.

Memang berbaloi membatu dan 'membeku' selama dua jam lebih di dalam DKP. Dewan yang begitu dingin aku rasa(sampai demam semalaman aku dibuatnya). Kendatipun, ia berjaya dihangatkan dengan hujah membara para pendebat yang membahaskan usul "50 tahun merdeka, alam sekitar masih tercemar".

Masing-masing mempertahankan premis mereka. Sengit dan mendebarkan. Sesekali turut terpecah tawa besar khalayak yang menyaksikan tatkala selang-seli hujah satu sama lain berjaya mencuit hati penonton.
Kesudahannya...


UIA menang lagi, untuk kali ketiga berturut-turut. Hatrik...
Kemenangan UIA tambah meriah apabila pendebat lelaki tunggal mereka, Mohd Daud Mat Din dinobatkan sebagai pendebat terbaik pertandingan akhir tersebut.

Apapun, rasa-rasa aku semua pendebat bagi kedua-dua pihak berjaya menyerlahkan kekuatan dan keupayaan masing-masing pada tahap maksima. Hujah yang menggugah dilontarkan secara spontan, sememangnya itu antara pakej yang mesti dimiliki oleh seorang pendebat.

Rabu 1 Ogos

Tekanan aku reda secara mendadak pada hari ini. Mengapa ya?

Oh, patutlah. Assignment Ustaz Najib selesai juga, dan sudah sedia dihantar untuk dinilai. Aku rasa, semua yang lain turut merasai kepuasan yang sama seusai berasak dan berpenat lelah kala meladeni tugasan yang paling 'menyenangkan' ini.

Sememangnya di sebalik kesukaran itu, akan ada ruang kesenangan dan kemudahan di penghujungnya..


Jumaat 4 Ogos

Malam ni, aku balik kampung.

Selamat bercuti untuk aku, juga untuk sekalian sahabat.
Bunyinya saja cuti, tapi harus diingatkan debar apa yang menanti sebaik kembali ke kampus nanti. Maka, bersiap sedialah dari awal...

Exam menanti....


4 ulasan:

Tg.A berkata...

Salaam
selamat bercuti!
ingat nk tulis kat shoutbox jer tapi nampaknya kat utp ni dia sekat shoutbox blog ni.. cbox masih bleum disekat.. mujur..

sekali lg, selamat bercuti dan selamat berperiksaan!

Mohd Hazimin Harun berkata...

Salam,
terima kasih...

urm dapat khabar, UtP ada convofair skrg. selamat ber'pesta' la yer..

Tanpa Nama berkata...

salam..
pndgn ana mengenai literasi bhs arab,mmg ada benarnya apa yg dikatakan oleh sahabat enta.bagi ana juga,ianya tidak ubah spt kelas tutorial,mgkn bezanya kita didalam DKS,manakala tutorial dlm BTS.kalau ada perbezaan pun sgt sedikit.dan bagi ana jg,kelas tutorial lebih baik.byk yg boleh dibandingkan dengan kelas tutorial.bagi ana dan sesetgh shbt ana.tp bg ana ianya bukan membuang masa tp mengisi masa kita,inshaAllah.moga program akan dtg lebih mantap,inshaAllah:)

Mohd Hazimin Harun berkata...

Apapun, bahan drp program Literasi Arab tu ada guna jugak untuk imtihan nanti. Sebilangan ustaz dah bagi petunjuk sikit2 masa tutorial. kiranya, ambil ihtimam jugak lah modul2 yang lepas tu.
mudah-mudahan berbaloi, insyaAllah..

- khabarnya, lepas exam nanti menyusul pula program literasi untuk English. Tapi, belum dapat disahkan lagi.
tunggu dan lihat..
(bakal dikerah jadi committee lagi la nampaknye..uhuhu)