Semalam, berakhirnya konvensyen Wehdah anjuran SPMM di kampus Nilai. Kejayaan dalam penganjuran konvensyen itu aku lihat sebagai suatu kelangsungan yang positif dalam menggarap idealisme, kematangan berfikir dan keupayaan menelaah isu-isu ummah yang bercambah dalam benak minda di kalangan mahasiswa kampus.
Kejayaan menghimpunkan sahabat-sahabat dari pelbagai kampus luar juga menandakan program seumpama ini mampu membuktikan platform sedia ada sudah berupaya menjalin rapatkan hubungan dengan mahasiswa seluruh negara sekali gus mampu berkongsi kekuatan dan gerak langkah secara bersama.
Suasana harmoni juga dikhabarkan berhasil diterjemahkan dalam konvensyen tersebut. Aku mendapat tahu, sahabat daripada PKPIM turut hadir memberikan sokongan. Begitu juga wakil daripada JIM, GAMIS dan lain-lain. Itu suatu perkembangan yang positif dalam usaha kebersamaan atas wadah keilmuan. Tiada lagi jurang pemisah antara satu sama lain.
Aku tidak berpeluang untuk menyertainya sama ada sebagai urusetia mahupun peserta. Apapun, terbit kebanggaan dalam hati melihatkan sahabat-sahabat seangkatan yang begitu bertungkus-lumus dalam gerak kerja sebelum dan sepanjang program berlangsung. Tahniah kepada saudara Daing Mohd Fadzil, saudari Huda Sakinah, saudari Saadah(sekadar menyebut beberapa nama) dan semua penggerak yang aktif dalam menjayakannya.
Timbul juga rasa cemburu bila dimaklumkan kemunculan beberapa figur intelektual tempatan tampil berkongsi ilmu dan pemikiran mereka dalam konvensyen itu. Kehadiran mereka di bumi USIM diharap akan meneruskan kelangsungan minat dalam membudayakan wacana di kalangan mahasiswa meskipun diakui, masih wujud pesimis di kalangan siswa-siswi sendiri terhadap usaha islamisasi ilmu yang giat dijalankan ketika ini.
Aku cuma mendoakan agar hasil daripada program tersebut mampu memberi dampak positif dan mengesankan kepada semua mahasiswa, bukan kepada sekelompok masyarakat kampus sahaja. Kepada yang menyertainya, mudah-mudahan manfaat daripada pencerahan dan penjernihan yang diperoleh dapat dikongsi dan disebarkan kepada rakan-rakan mahasiswa yang lain.
Membaca laporan media di sebuah laman web, aku tertarik dengan mengambil intipati ucapan utama Dr Mohd Farid bin Mohd Shahran. Menurut beliau, cabaran yang semakin banyak dan canggih menyebabkan tuntutan dakwah menjadi semakin besar dan memerlukan pendekatan yang dinamik.
Beliau memetik kupasan daripada kitab Tafsir Al-Kabir oleh Imam Fakhrur Razi (Ar-Razi) yang menjelaskan bahwa ahli ilmu itu terbahagi kepada tiga golongan.
Pertama, cendekiawan yang mencari kebenaran sebenar, yang mana berinteraksi bersama mereka memerlukan dalil yang diyakini iaitu hikmah.
Kedua, golongan biasa yang masih kekal dalam fitrah yang asli dan akhlak yang baik; golongan ini tidak sampai kepada tahap memahami dalil secara hikmah, cukup sekadar diberi peringatan yang baik.
Golongan ketiga pula adalah orang yang suka berdebat; berinteraksi secara ilmiah dengan mereka ini tidak berguna, tetapi perdebatan secara hujahan boleh mendiamkan mereka.
Pada masa yang sama, zaman yang serba canggih sekarang ini pun tidak membawa apa-apa makna kepada pendakwah sekiranya mereka tidak turut melengkapi diri dengan ilmu. Apa gunanya mempunyai ‘Power Point’ kalau kita tidak mempunyai ‘powerful point’.
Semoga hidup kita sentiasa bersantunkan adab dan hikmah, serta kekal dalam berpedomankan Al-Quran dan Sunnah. Tiada guna mengaku diri sebagai ilmuan atau ahli intelek tanpa ada pancaran murni dalam berakhlak. Ia bukannya mendekatkan rahmat Tuhan, sebaliknya mengundang cemuhan daripada penghuni langit.
Sama-sama membudayakan wacana!
p/s: Selamat hari raya Eidul Adha dan selamat menjayakan ibadah Qurban. Raikan manifestasi ketaqwaan hamba kepada al-Khaliq dengan jiwa yang penuh rasa syukur.
IKLAN : Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan buku "Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal" karya ilmuan Dr. Khalif Muammar, anda boleh menghubungi 013-353 8230. RM50 termasuk kos penghantaran.
HEBAHAN: Weltanschauung! Klik pada imej untuk paparan lebih jelas.
3 ulasan:
salam ming
aku ingat mu g program, ponteng sokmo.... FT pun ade gak. (rugi mu ponteng)
Buku Dr. Khalif mu tak abis jual lagi rupanya....
Aku dan dngaq FT..
Ermm..bergabung atas nm dakwah. Muajahah silmiah
salam,
ustaz bob:anda sembang mcm anda pergi je..heh. takde rugi pon. balik kg lebih enak.
ustaz fazareez:erm yerp.
bila dtg blk nilai?pinjam moto leh?
Catat Ulasan