Impak awal idea UG

Tahniah diucapkan kepada barisan ahli Parlimen Pakatan Rakyat atas pengumuman jawatankuasa Ahli Parlimen yang baharu ditubuhkan. Ahli parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali mengumumkan jawatankuasa tersebut di lobi Parlimen semalam. Secara peribadi, aku melihat usaha tersebut adalah langkah konstruktif bagi menonjolkan upaya PR sebagai pembangkang di Parlimen.

Beroleh kerusi di Parlimen, khususnya di Dewan Rakyat merupakan mandat besar yang diberikan oleh rakyat kepada setiap MP. Mereka menjadi harapan untuk mengetengahkan setiap isu dan permasalahan yang melibatkan kepentingan serta kebajikan rakyat di luar sana.

Selaku figura yang mewakili rakyat, tugas mereka bukan untuk bertekak semata-mata. Bukan juga untuk bangun menonjol bagi membuktikan kepada rakyat bahawa akulah yang paling handal bertingkah hujah. Seharusnya setiap MP sedar dan insaf akan amanah yang berada di pundak mereka. Adab dan nilai keilmuan adalah asas bagi mereka jika ingin menjadi seorang ahli Parlimen yang berkarisma di mata rakyat.

Menurut YB Azmin, tujuan barisan pemantau kabinet tersebut adalah bagi memastikan sesi perbahasan di Dewan Rakyat lebih berkesan dan mencapai objektif persidangan, di samping berperanan untuk 'semak dan imbang' bagi barisan Kabinet kerajaan Barisan Nasional. Usaha PR tersebut merupakah langkah optimis untuk mempersiapkan setiap ahli MP daripada PR bersedia dengan fakta hujah yang bernas dan menguntungkan nasib rakyat.

Bagi aku, mungkin sesuai juga untuk menyatakan penubuhan jawatankuasa Ahli Parlimen tersebut meneruskan rentetan episod dramatik idea Kerajaan Perpaduan yang dicetuskan oleh tuan guru Presiden. Dan dapat dikesani juga, gagasan Kerajaan Perpaduan itu mula mencetuskan kembali rentak siasah PAS dalam PR.

Impak Idea unity government?

Sedari dulu, aku seboleh-boleh enggan berpanjang lebar bila disoal mengenai idea Kerajaan Perpaduan. Bersetuju atau tidak, bergantung pada nilaian masing-masing. Tidak dinafikan, apabila ada yang cuba bertanyakan berkenaan isu tersebut, didapati benih-benih sentimen untuk berpuak mula membenih di kalangan pendokong parti Islam.

Semestinya kita sedia maklum bahawa meski tuan guru Presiden yang memunculkan idea tersebut, beliau sendiri secara sedar tidak mahu sebarang keretakan wujud yang boleh menjejaskan ukhuwwah dalam sesebuah gerakan Islam. Mungkin ada benarnya andaian tuan guru yang berpandangan, ramai ahli dalam parti Islam tersebut gagal dalam memahami konteks sebenar gagasan Kerajaan Perpaduan.

Mungkin juga kita boleh mengandaikan ramai yang tersalah tanggap kerana memiliki makna dan konotasi berbeza berkenaan Kerajaan Perpaduan. Justeru, penjelasan dan penjernihan mesti digiatkan oleh pucuk pimpinan parti. Apapun, pada hemat aku sendiri, apa jua sekalipun gagasan Kerajaan Perpaduan harus disambut secara kritikal dan mendalam.

Mengambil petikan dari karya Sun Tzu Art of War: "Mereka yang bijak dalam peperangan mengalahkan musuh mereka tanpa pertempuran; mereka menakluk musuh mereka dengan strategi."

Tuan guru Presiden sememangnya seorang pemain siasah(political player) yang baik. Tiada siapa yang meragui ketokohan beliau dalam memimpin parti dan gerakan Islam. Kepakaran beliau dalam siasah syar'iyyah menguatkan lagi keupayaan beliau dalam memimpin sebuah parti Islam yang berhempas dalam kancah demokrasi tanah air yang di dalamnya tersalut pelbagai mehnah.

Untuk mengocak keselesaan parti lawan, tidak perlu untuk kita menjentik telinga mereka agar mereka melenting. Tidak perlu menyindir keras untuk mereka bangkit dalam maki hamun membusuk. Cukup kita lontarkan idea yang menggugah, mereka sudah menggeliat manja. Ternyata, kita sendiri dapat menebak sejauh mana kekuatan lawan dengan melihat pada respon mereka. Kemenangan akan hadir bila kita mampu mengawal dan mempengaruhi musuh meski secara saraf.

Menyentuh isu Kerajaan Perpaduan juga harus singkirkan apa jua sentimen. Tidak bermakna aku asal Terengganu dan aku harus menyokong tuan guru Presiden, sebagaimana rakyat Kelantan harus menyokong tuan guru Mursyidul Am. Begitu juga sama ada yang pro-ulama atau cenderung kepada kelompok profesional. Tidak perlu semua itu. Akar isunya adalah jelas. Seorang pemimpin yang berpandangan jauh akan menguji anak-anak buah di bawah pimpinan beliau dengan cetusan yang menggegarkan.

Idea Kerajaan Perpaduan bukan tin kosong atau pun suatu kejutan yang mendesak. Sebaliknya jika diperhalusi, kekuatan idea tersebut dilihat apabila ia berhasil menjana olahan pandangan dan lontaran pendapat yang bersifat analitikal di kalangan ahli. Penelitian dan pengkajian di samping kefahaman yang sedia terpasak akan mula dimainkan untuk mencabar minda ahli di setiap peringkat.

Untuk menguji keupayaan para pendokong parti Islam PAS, tidak memerlukan kertas kerja yang rumit atau siri tamrin yang berat. Uniknya idea tuan guru Presiden, rasional beliau tidak mahu melihat ahli-ahli PAS sekadar berbicara tentang PAS bersama-sama orang PAS dan duduk di markas PAS,. Kata orang Terengganu: pah ceroh!

Manifestasi Idea Tuan Guru

Semua penyokong dan pendokong parti Islam lega bila kekeliruan kini sudah dipulihkan. Pertemuan pimpinan tertinggi PR mula menampakkan hasilnya. Barangkali impak awal yang berjaya dibuktikan adalah barisan jawatankuasa Ahli Parlimen itu sendiri.

Salah satu hasrat tuan guru Presiden bila memacu momentum UG, adalah untuk melayarkan pemikiran yang matang di kalangan ahli. Sudah sampai waktunya untuk mempersiapkan parti Islam sebagai a waiting government, dan bukan semata-mata menjadi barisan pembangkang. Jika tidak dibuat anjakan sebegini, kelak semakin sukar untuk melenturkan mentaliti pembangkang di kalangan ahli.

Kekuatan pemikiran itu perlu. Fitrah gerakan Islam adalah dakwah. Maka, seandainya siasah dilihat sebagai jalan dakwah, maka jalur siasah itulah yang harus diperkasakan bagi memastikan matlamat mulia amar ma'ruf nahi munkar itu tercapai.

Tuan guru Presiden bertindak mencatur gerak langkah parti. Rasional bagi sesuatu gagasan takkan mudah kita kesani melainkan jika hadirnya pada fikiran kita, kesatuan fikrah yang baik. Menjernihkan kekalutan dalam pemahaman ahli hanya terbukti jika ahli mahir dalam menilai akar pemikiran tuan guru dengan mendalam.

Kita sedia maklum akan sejarah lalu yang banyak mengajar. Namun, kita tidak akan dianggap belajar dari sejarah jika kita tidak berani untuk menterjemahkan nilai daripada pengalaman tersebut ke dalam bentuk olahan yang baru. Pas takkan pernah untuk kekal seperti dulu. Sedikit demi sedikit anjakan itu perlu bagi menyelaraskan gerakan Islam dengan situasi semasa.

Peranan PAS

Atas sifat Islam amat mementingkan perpaduan, maka secara jangka panjangnya, PAS boleh mempelopori idea kerajaan perpaduan atas usaha dan gagasan berikut:

Pertama, bergerak cergas bagi merealisasikan prinsip loyal opposition.

Kedua, mengemukakan contoh-contoh dari sejarah Islam bagi membenarkan hujah bahawa merealisasi prinsip keadilan yang melangkaui pertimbangan perkauman adalah kaedah terbaik mewujudkan perpaduan nasional.

Ketiga, kerajaan perpaduan perlu berpegang kepada prinsip 'pengislahan sistem politik dan ekonomi secara progresif'.

Keempat, pendekatan Fiqh Keutamaan (Qaradawy) sebagai rujukan asas.

Dan untuk ahli-ahli parti dan gerakan Islam, jadikan gagasan tuan guru Presiden sebagai bentuk muhasabah minda yang ideal. Akhlak jamaei harus direnung kembali. Adab-adab dalam berjemaah juga perlu disemak dan dikoreksikan kepada diri.

Secara kesimpulan ringkas, pencerahan fikrah dan pemurnian adab mestilah sentiasa berjalan dalam diri para pendokong parti Islam. Jika timbulnya polemik, sebaik-baiknya hindarkan segala bentuk jurang yang memisahkan. Cari jalan untuk bina kembali keterikatan sesama ahli. Oleh sebab itu, yang paling penting adalah tarbiyah. Itulah yang membezakan parti Islam PAS dan parti-parti politik lain. Itulah kunci keperkasaan PAS hingga sekarang.

Meski aku bukanlah ahli parti Islam PAS, namun secara jujur aku menyokong sepenuhnya gerakan Islam tersebut yang berjaya membawa agenda Islam yang syumul. Semoga terus memimpin untuk perubahan.


p/s: Tulisan di atas hanyalah kopakan minda peribadi untuk berkomentar serba ringkas dalam asyik memerhatikan senario politik semasa tanah air.

2 ulasan:

islamic_life89 berkata...

smemangnya trbiyah ckup pnting bg memahamkn stiap ahli grakan islam akn hkikat pjuangan Islam y sbenar...Benarlh Islam shja y brjaya mmimpin pubahan!

Ahmad Ridhwan berkata...

salam hazimin,

kerajaan perpaduan pada pendapat peribadiku adalah sebuah terbitan pandangan yang dipancarkan oleh tuan guru presiden sebagai sebuah senjata yang ampuh untuk menarik minat UMNO dan menggoyahkan pakatan BN.

Kepercayaan MCA dan MIC kepada UMNO mulai retak dek kerana isu ini

Ambo sangat bersetuju dengan post mu kali nie 94%

Salam....