Semoga aman sebagai Tetamu Allah

“Dan serukanlah kepada umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis unta yang kurus yang datangnya daripada pelbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh…” (Surah Al-Hajj: 27)




Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullullah Sallallahu Alaihi wa aalihi wasallam pernah ditanya tentang amalan apa yang paling utama. Beliau menjawab: ‘Iman kepada Allah dan Rasul-Nya.’ Kemudian beliau ditanya kembali: ‘Setelah itu apa lagi?’ Beliau menjawab: ‘Jihad fi Sabilillah.’ Kemudian ditanya lagi: ‘Lalu apa lagi? Beliau menjawab, ‘Haji mabrur.’ (HR. Al-Bukhari 1519, Muslim 83).

Untuk bonda dan ayahanda tercinta, kami sentiasa doakan kalian sejahtera dalam mengerjakan ibadat haji. Sebagai tetamu Allah yang kemuncaknya haji mabrur, semoga rahmat dan redha Allah hadir mengiringi kalian ke arah ganjaran teristimewa itu. Ameen.


Labbaik Allahumma Labbaik!

Hikmah di sebalik pemergian Pengebom Bali

Ramai orang sibuk memperkatakan isu kematian tiga orang pengebom Islam ini. Bagi yang menyokong, deras menyertakan hujah sokongan dan dalil mempertahankan tindakan mereka. Dan bagi yang tidak bersetuju, bertalu-talu mempersoalkan kewajaran dan ketepatan langkah mengebom kelab malam di Kuta dalam peristiwa pada 2002 lalu.

Kita sebagai kelompok Muslim di Malaysia, pastinya terkena sedikit tempias ekoran daripada peristiwa hukuman tembak mati pada Isnin lalu. Tidak tahulah berapa kerat di kalangan kita yang peduli. Hakikatnya, ia secara langsung melibatkan Islam dan Muslim secara keseluruhan.

Mempersoalkan sama ada mereka syahid atau tidak, bukanlah suatu isu yang sesuai diperdebatkan. Syahid itu ganjaran Allah. Dan sudah tentu ia adalah rahsia Allah yang hanya Allah jualah yang maha Mengetahui siapa hamba-Nya yang layak. Dan kita sememangnya tiada kelayakan untuk mengatakan mereka syahid atau tidak syahid.

Cuma, berpandukan nas dan pendapat ulama', ada sesetengah yang menerangkan tanda-tanda kesyahidan seperti yang biasa kita dengar. Kekuasaan Allah itu jelas dan Maha Hebat. Apapun, Allah maha mengetahui keadaan hamba-Nya.

Bagi aku, isu yang lebih wajar untuk direnungkan adalah, faktor apakah yang membuatkan kecenderungan ketiga-tiga pemuda kental itu untuk tekad dalam tindakan tersebut? Bagaimanakah agaknya kekuatan nilai dalaman mereka, atau inner riches, yang begitu merangsang mereka sehingga tegar sekali bertindak sebegitu?

Pandangan masyarakat dunia melihat itu adalah tindakan radikal yang terkutuk. Ujar mereka, mengapa babitkan mereka yang tidak berkaitan hingga terbunuh? Lalu dibawa unsur kemanusiaan, dibahaskan hak moral, disinggung isu agama dan ekstremisme. Soalnya, dalam mengadili suatu peristiwa, pernahkah kita meletakkan diri kita di tempat mereka?

Mereka bertiga yang dilabel sebagai militan itu oleh pihak luar, adalah Muslim. Kita sejak lahir, Alhamdulillah atas nikmat Islam ini, masih lagi bergelar dan beramanah sebagai Muslim. Salah satu persamaan kita adalah, berkongsi nilai agama yang sama. Kita saling memahami konsep yang ada dalam Islam. Kita sama,-sama menekuni syariat dan beramal mengikut aliran mazhab yang rajih. Pokoknya, kita faham sedikit sebanyak tujuan mereka berbuat sedemikian. Iaitu atas nama jihad. Jihad di jalan Allah.

Maksud dan peranan jihad masing-masing sudah pun mengerti. Cuma bagi kita, sebagai rakyat malaysia beragama Islam dan beramal dengan syariat Islam khasnya, perlu disoal kepada diri tentang jihad. Sejauh manakah sudah kita beramal dengan jihad, khususnya dalam hal perjuangan Islam secara zahir.

Perhatikan masyarakat Muslim kita sekarang. Ramai manakah yang tulus mengisytiharkan diri untuk mewakafkan diri kepada Allah? Tidak kita sangkalkan bahawa Islam mempromosikan jalan dakwah yang harmoni dan berhemah. Kekerasan hanya perlu bila saat wajib untuk mempertahankan maruah Islam.

Jihad hadir tatkala seseorang itu menebal cintanya kepada apa yang dianutinya. Jihad muncul bila meluapnya angin kebencian kepada taghut akhir zaman yang menjengkelkan, puak Yahudi dan Kristian yang biadap serta bencinya kepada maksiat dan perkara-perkara keji.

Jihad sebegitu makin pudar di tempat kita. Sememangnya ada tapi bila dinisbahkan kepada mereka yang enggan pedulu, bezanya cukup ketara. Lihat sahaja mereka yang sebaya, segenerasi dengan kita. Di kalangan muda-mudi Islam, majoriti sudah pun tersungkur tewas sebelum berjihad di medan tempur sebenar.

Moral masyarakat Islam kita secara umumnya, makin rendah. Hinggakan ada yang pada tahap malu dan tidak senang untuk beramal dengan Islam atau segan untuk menuar-uarkan syiar Islam. Itu bagi yang mengerti agama. Bagaimana pula dengan yang tipis ilmu dan sedikit amalnya?

Pandangan aku, secara peribadi, melihat tiga watak utama dalam pengeboman tersebut sebagai 'benar dalam keliru, keliru dalam benar'. Sememangnya Amrozi, Mukhlas dan Imam Samudra utuh pegangan mereka. Iman mereka di landasan yang benar. Hanya orang yang beriman dengan benar yang menyakini setiap janji-janji Tuhannya.

Mereka kelompok yang benar dalam menampilkan perjuangan Islam di tengah-tengah masyarakat yang sudah banyak terkeliru akidah dan tempang adab juga akhlak. Pun begitu, merek
a bertiga juga jadi keliru dalam melontarkan semangat dalam diri mereka. Mereka terkeliru dalam 'improper conduct' yang akhirnya meletakkan diri mereka dalam kondisi yang tidak aman.

Secara jelasnya, aku sangat mengagumi ketiga-tiga pemuda ini atas dasar semangat juang yang mereka tonjolkan. Dalam kebejatan jiwa umat Islam, mereka bertiga cuba keluar dari kepompong pasif. Memainkan watak secara agresif dalam menzahirkan penentangan terhadap musuh-musuh Islam.

Pun dari sudut pelaksanaan, aku kurang menerima tindakan sebegitu yang pada hemat peribadi, berkhilafan dengan nilai harmoni dalam beragama. Paling wajar untuk kita redakan jalan radikal dan kembali dengan jalan yang besederhana, tetapi kekal dalam ketegasan berteraskan prinsip-prinsip Islam.

Apapun paling penting adalah kita tunaikan hak kita selaku Muslim yang bersaudara. Solat jenazah ghaib kepada tiga saudara kita ini. Sedekahkah al-Fatihah dan doakan agar mereka berhasil menggapai apa yang mereka citakan, iaitu mati syahid. Jangan nafikan rasa kasih dan sayang kita kepada mereka. Kerna jenazah yang kita lihat itu, jiwanya ada ruh Islam, ada nur iman, ada ehsan Tuhan. Zalimlah diri kita jika mengutuk saudara seIslam.

Juga perlu bagi kita menterbalikkan situasi sedia ada, terutama dalam menjelaskan apa itu Islam yang sebenar-benarnya kepada pihak luar, tidak kira melalui ucapan, penulisan, tindakan secara bersendiri atau pun berkumpulan. Aku menyakini, pemergian Imam Samudra, Amrozi dan Mukhlas ini membuka mata hati ramai pemuda-pemudi Islam. Setidak-tidaknya, kita akan tersentak dari lamunan dan bertanyakan kepada diri kita sendiri, apa sumbanganku yang sebenarnya kepada Islam?

Terakhir, bagi aku, jihad dan dakwah tidak dapat dipisahkan. Dan sebagai pelajar, antara asas yang utama dalam dakwah kita adalah akhlak. Tonjolkan keindahan Islam menerusi peribadi dan adab. Itulah semudah-mudah dan seringan-ringan jihad yang boleh kita usahakan.

Kebun Syurga

“Wahai orang-orang yang beriman! Perbantulah diri kamu dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 153)

Ketahuilah, kebahagiaan itu tergantung di atas tercapainya pendekatan diri kepada Allah. Dan tercapainya pendekatan kepada Allah tergantung pula atas menuruti yang benar dan menjauhi yang batil sama sekali.

Dan jiwa itu terkait dengan asal kefitrahannya yang sangat benci terhadap yang benar dan sangat cenderung kepada yang batil. Dan sesiapa yang berusaha untuk mencapai kebahagiaan, amat perlu kepada kesabaran. Ada kalanya dengan memaksa diri untuk menuruti kebenaran, dan di kala yang lain, memaksanya pula meninggalkan yang batil.

Wahai saudaraku! Hendaklah anda bersifat sabar, kerana yang demikian itu adalah sendi semua urusan, dan anda tidak boleh tidak perlu kepadanya selama anda masih hidup di dalam dunia ini.
- Wasiat Al-Habib Al-Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad












Sesungguhnya, jiwa-jiwa itu telah berpadu, hadir bersimpuh di bawah lembayung rahmat. Hadir bersama-sama hati yang penuh cinta. Hadir bertemu dalam ketaatan amal dan kekhusyukan hati. Harap dan khuatir menemani jiwa yang asyik bergumam dengan puji-pujian dan munajat.

Dengan izin Allah, mutiara-mutiara hikmah dalam Haul berhasil meredupkan pandangan mata hati. Jiwa yang kerap leka dan terbuai dengan nafsu dan dunia, dimesrai dan disuguhi dengan pantulan-pantulan nur yang mengesankan, menghadirkan rasa sebu dan insaf, mengalirkan salju dingin ke dalam lubuk hati.

Dengan sepenuh rendah hati, setiap jiwa yang hadir berteleku dan bertawajjuh, mendengar para kekasih Nabi Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa alihi wasallam melontarkan taujihat yang mujarab, menyentuh hati yang terseksa akibat kegersangan Cinta. Sudah lama hati ini sepi dari dzauk pencerahan. Ya Allah, tuntunlah kami ke jalan para kekasih-Mu!

Dalam majlis yang penuh barakah, duduk berkumpulnya para habaib, para solehin dan sekalian ulamak bersama-sama dengan khalayak menyemai rasa kecintaan mendalam, sebagai manifestasi sabda junjungan besar, bahawa ulama’ itu pewaris Nabi. Dan, mencintai ahlul Bayt itu adalah bukti kecintaan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa alihi wasallam.
Segala puji dan setinggi kesyukuran kepada-Mu ya Allah. Peluang melepaskan ‘rindu’ tak terhingga dalam ketenangan dan keindahan kebun syurga akhirnya kunjung tiba!

* Antara ulama' dan habaib yang hadir ke Majlis Haul kali ini: Al-‘Alim al-‘Allamah Al-Habib Salim bin Abdullah asy-Syatiri, As-Syeikh Afeefuddin al-Gaylani, Ustaz Najib Thoha as-Seggaf, Al-Habib Sholeh bin Muhammad al-Jufri, Al-Habib Taufiq bin Abdul Qadir as-Seggaf, Al-Habib Ali Zain Al-Habsyi, dan Tuan Guru Hafidz Selamat Al-Jenderami.

p/s: Alhamdulillah, 'Jemaah al-Haddad' dari USIM kali ini sudah bertambah. (Terima kasih sekalian sahabat!) Tambah mengujakan, kumpulan penCinta dari Penang dikepalai Afif dan Azri yang turut sama hadir, merapatkan kembali ukhuwwah dan menzahirkan lagi futuwwah. Segala puji bagi Allah taala yang Maha Pengasih. Semoga Cinta ini terus subur dan mekar.