Abah ku perlu menghadiri seminar penulisan kreatif di IKIM. Aku lantas dipelawa mengikutnya ke Kuala Lumpur. Satu agenda yang menarik. Apalagi, peluang sudah terhidang di depan mata. Cuti pun masih terlalu panjang untuk dimanfaatkan. Aku mengeyakan tanda setuju. Akhirnya, bonda dan dua saudara perempuanku juga turut serta.
Ibarat ikan keli sesat berenang dalam lautan yang meluas. Tiga hari di sana, masa banyak dihabiskan dengan berjalan, berjalan, berjalan sampai rasa nak tercabut katih. Mujur tak tercabut betul-betul. Tapi, macam biasalah. Dunia di tempat orang ni, teramat banyaklah suasananya dan banyak juga ragam manusianya yang dapat dilihat. Ada yang cantik, yang menarik. Yang buat mata berpinar-pinar pun ada. Almaklumlah kan...
MPH di Mid Valley menghampakan aku. Tak ketemui langsung buku yang dicari-cari. Puas berkelintar ke sana sini, terbit pula satu agenda dalam benak kepala. Apa kata....?
Sejenak dengan Cinta
Ada apa dengan Cinta? Ramai orang bilang ini cerita bagus. Segelintir beritahu ini filem 'wajib tonton' (pandai pula mereka istinba' hukum). Filem yang menjadi buah mulut pengkritik filem dan penggemar filem tempatan, sampai ada yang mengatakan ia satu fenomena baru. Rasa ingin tahu tentang filem ini membuatkan aku pun terkena tempiasnya. Betul ke ini filem bagus? Adakah sehebat seperti yang digembar-gemburkan?
Seusai menonton, aku berkira-kira tentang filem ini. Mungkin ada benarlah apa yang dicakap-cakap oleh mereka. Ya, tidak dinafikan filem ini menampilkan kelainan yang berbeza. Bikinan yang boleh tahan bagusnya. Aku pun tak reti nak komen, kritik apa-apa. Sekadar menjadi penonton yang baik, itu sahaja yang aku layak rasanya.
Tapi, mungkin rasa teruja tatkala menonton filem ini tak ketara mana memandangkan sudah ditayangkan kepada umum sejak dua minggu sudah. Terlalu banyak promosi, sinopsis yang dibaca dalam surat khabar dan rebiu dalam televisyen. Jadi, semestinya ia bukan suatu yang cukup menarik kalau sudah diketahui jalan ceritanya.
Apapun, mungkin tiada lagi pesimis bagiku seusai menonton filem ini meski buruk celanya tetap ada. Pesanan untuk rakan-rakanku, usah gamam bila mengetahui betapa drastiknya aku sekarang!
6:20
Kinokuniya, KLCC - destinasi terakhir sebelum berangkat pulang ke Terengganu. Aku memang berhajat untuk mendapatkan Kekasih Sam Po Bo. Memang betul-betul berhajat. Tidak pasti pula sama ada kedapatan di sini atau sebaliknya. Mungkin tidak dijual sama sekali.
Sebenarnya, buku itu sudah pun aku pesan di Ujana Ilmu melalui Pakej Sasterawan. Namun, aku sedikit ralat bila mengetahui buku tersebut sudah kehabisan stok. Terpaksalah aku menunggu untuk suatu ketika. Memang, penantian itu meresahkan.
Aku kemudiannya mengambil keputusan membawa pulang sebuah buku karya Siti Jasmina Ibrahim. Penulis ini yang rasa-rasa aku seangkatan dengan FT dan Nisah Haron, bukanlah penulis yang mencuri perhatianku. Satu-satunya karya beliau yang aku miliki, Ombak Sfera Lotus pun belum habis aku hadam intinya (jujurnya, aku agak malas membaca). Harapnya, novel yang memenangi Tempat Kedua Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005 ini bisa mengubat kecewa hatiku pada Kekasih Sam Po Bo !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan