Khabar untuk jiwa


Khabar dari Gaza pada pertama Muharram menyentak hati seluruh jiwa Muslim. Kesatuan hati dalam ikatan akidah seolah-olah kembali bertaut setelah sebelum ini sedikit longgar dan terkadang sepi terurai tanpa dihiraukan. Harus kita akui, mana-mana manusia hatta yang mengaku Islam sekalipun, mudah hanyut dalam kelekaan.

Kuasa Tuhan siapa mampu menjangkakan. Akhirnya khabar pilu itu mengetuk hati kita. Kini Gaza kembali bersama-sama siri anekdot perjuangan yang meruntun jiwa.

Beruntunglah hati yang tidak putus-putus membenih doa dalam setiap rajut hamparan, memohon daripada Tuhan agar diringankan keperihan saudara seagama di sana.

Hati-hati inilah yang akan dihisab dan dicatat sebagai hati yang sentiasa dalam ketaatan, dengan sepenuh hati dan keyakinan bermunajat meski berada di kejauhan. Namun itulah bantuan yang diharapkan para pejuang yang bermati-matian mempertahankan bumi al-Quds.

Hati-hati ini juga yang sentiasa menginsafi akan perihal burung-burung kecil membantu memadam bara api yang membakar Nabi Allah Ibrahim a.s. meski usaha tersebut ditempelak tak memberi kesan apa-apa. Hakikatnya, Allah menilai itu melebihi segala-galanya.

Nilaian Allah itu sememangnya cukup hebat. Khabar yang dibawa bukanlah kosong tak berinti hikmah. Reguklah dari kolam hati yang penuh kehambaan dan keinsafan. Hati yang kian lama tersemat ananiyyah mungkin sukar dimengertikan. Pun begitu, usahakanlah agar tabir hati itu tersingkap dan disua hidayah, lalu kembali sedar dari lamunan.

Berdoa dan terus berdoa, kerana itu tanggungjawab yang tak boleh diabaikan dan akan dipersoal di akhirat kelak.


Al-fatihah buat para syuhada di Gaza. Belasungkawa.

Galau seorang pejuang


# Hati dalam kegalauan. Benarlah kata sahabat, bercinta itu menguji, kecuali bagi mereka yang benar-benar dalam pengertian.

Berwacana bersama SN

"Karya kreatif yang baik bukan semata-mata paparan kewujudan manusia dan peristiwa, tetapi juga paparan idea dan pemikiran beserta nilai-nilai estetika di dalamnya."

Perkongsian wacana bersama Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan semalam agak memberangsangkan. Aku sebetulnya masih baru mengenali tokoh ini dan tidak banyak karya beliau sempat dibaca, kecuali beberapa puisi dan cerpen.

Khalayak yang hadir rata-rata terdiri daripada guru-guru bahasa dari kebanyakan sekolah sekitar Terengganu. Kelihatan juga beberapa penulis veteran dan penggiat sastera tempatan yang turut tidak melepaskan peluang ke program syarahan tersebut.

Makalah dibentangkan oleh SN dengan tajuk yang menarik - Ancaman Media Elektronik: Generasi Muda dan Tradisi Membaca Karya Kreatif.

Pembentangan SN seputar isu pembudayaan bahan bacaan di kalangan pelajar dan anak muda masa kini, pemasyarakatan penerbitan, gesaan menghidupkan kembali budaya kritikan sastera dan peranan pengkarya kreatif dalam penghasilan naskhah yang mengesankan kelompok muda.

Sesi soal-jawab turut berlangsung rancak. Hadirin kebanyakan dilihat berupaya memberi tumpuan penuh dan mencerna buah pandangan yang dilontarkan SN dengan baik melalui respon yang diberikan. 

Antara intipati yang terkesan oleh hadirin ialah pembentangan fakta berkaitan sasaran UNESCO untuk memastikan jumlah judul buku baharu setahun bagi setiap negara adalah 0.1% daripada jumlah penduduk keseluruhan.

Hal ini, menurut SN, yang akan menentukan sejauh mana kuasa penerbitan buku dan kemajuan dalam penghasilan karya di sesebuah negara, yang akan menjadi kayu ukur tahap pembacaan dan mentaliti rakyat di negara tersebut.

Di Malaysia, kita belum menyamai atau mencapai sasaran tersebut. Bermakna, budaya membaca masih belum kukuh di kalangan masyarakat. Lebih menyedihkan, antara buku-buku yang menyumbang kepada jumlah penghasilan judul baharu adalah terdiri daripada novel-novel ringan bertema cinta picisan yang berlambakan di pasaran.

Aku sempat mencuri peluang yang berbaki (penyoal yang terakhir) untuk berdialog dan sama-sama mengutarakan pandangan kepada SN dalam beberapa isu.

Pertama, aku mengulas kembali komentar daripada beberapa guru sebelum ini yang merungut tentang teks Komsas di sekolah-sekolah yang semakin hilang 'roh' dan mengenai isu penutupan kelas aliran sastera tulen di MRSM.

Aku menanggapi isu tersebut bertitik tolak kepada peranan guru itu sendiri. Seorang guru yang bijak akan mengolah bentuk pembelajaran sastera dengan baik bagi memastikan matlamat atau semangat kesusasteraan itu hadir ke dalam jiwa pelajar.

Mengambil pengalaman dahulu ketika menuntut di peringkat menengah, faktor dorongan guru dan olahan penyampaian dalam sesi pembelajaran memainkan peranan penting kepada kami untuk memahami teks sastera. Pada pengamatan peribadi, tidak kurang pelajar yang beraliran sains meminati penulisan kreatif dan sastera. Bahkan, ada sahaja teman sekelas yang berbakat dalam deklamasi puisi dan penghasilan sajak.

SN dalam makalah beliau ada menyinggung isu terbabit dengan menitipkan pandangan:
"Dunia sastera (dan penulisan kreatif) memerlukan sumbangan daripada mereka yang pintar."

Dengan bakat dan minat yang dimiliki, adalah menjadi suatu perkara yang tidak mustahil bagi seorang jurutera, doktor atau peguam untuk mengadun ilmu yang mereka praktikkan menjadi puisi atau naratif yang memikat hati.

Di negara-negara maju sendiri, kelas sastera dibuka seluas-luasnya kepada pelajar yang beraliran profesional. Bahkan, sesetengahnya ada mewajibkan mereka mengikuti pengajian bahasa dan sastera sebagai satu bidang nilai tambah bagi mereka. Ternyata, di negara kita masih sukar untuk sastera membudaya di kalangan masyarakat, melainkan tindakan progresif diambil oleh pihak kerajaan.

Menyitir kembali pandangan SN, "Sastera Melayu tidak sekadar menjadi milik kelas-kelas sastera, tetapi menjadi milik bersama."

Kedua, aku mengemukakan persoalan mengenai penerimaan masyarakat bukan Melayu terhadap bahan bacaan kreatif bahasa Melayu. Sedangkan kita semua hampir sedia maklum, salah satu medan dakwah yang terkuat dan berkesan adalah melalui persuratan sastera Islam. Mereka sewajarnya didedahkan tentang lunas Islam yang harmoni dan indah. Itu selayaknya dimainkan oleh persuratan sastera Islam.

Persoalan ini diladeni dengan cermat oleh SN dengan komentar yang menepati realiti. Hakikat penerimaan yang agak suram di kalangan bukan Melayu harus diakui. Namun, dengan inisiatif Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Jawatankuasa Penulis Pelbagai Kaum, usaha-usaha yang signifikan telah dilaksanakan bagi menangani isu tersebut.

Antaranya, galakan penghasilan teks dalam konteks silang budaya sedang giat dilaksanakan dan sokongan kepada penulis-penulis bukan Melayu dalam menghasilkan naskhah bahasa Melayu dalam acuan dan sisi pandang kaum masing-masing.

Betapa bersungguh SN lewat komentar beliau, dalam memastikan hasrat tersebut dicapai. "Kita mahu lebih ramai Dr. Lim Swee Tin dilahirkan. Kita mahu ramai lagi penulis berbakat seperti Raja Rajeswari, Joseph Selvam dan lain-lain."

Ketiga, satu soalan ringan ditimbulkan berkenaan budaya penulisan blog yang semakin meluas di kalangan penulis-penulis alam maya ketika ini. Aku bertanyakan adakah berkemungkinan akan wujud genre baharu sastera versi penulisan blog, yang mana setiap apa yang ditulis dianggap sebagai sebuah karya?

SN mengulas pendek dengan memaklumkan masa yang akan menentukan sama ada ia akan dianggap sebuah genre baharu sastera atau tidak. Adapun, sesebuah penulisan jika ingin dianggap sebagai sebuah karya kreatif harus menepati aspek-aspek penulisan sastera atau naratif yang baik - manusia, peristiwa dan pemikiran - yang diadun dengan nilai estetika bentuk, yang akhirnya menjadikan pembaca sastera mengalami suatu proses berfikir, merasa dan menghayati bahasa, peristiwa dan gagasan.

Lontaran terakhir yang aku kemukakan berkenaan isu novel kontroversi 'Perempuan Nan Bercinta'. Aku memohon pandangan peribadi yang cermat daripada SN berhubung desas-desus pengharaman novel tersebut, dan sejauh manakah pengkarya dan penggemar sastera tanah air menerima keterbukaan dalam naskhah kreatif yang memiliki wacana berat seperti karya Faisal Tehrani itu.

SN tampil mengulas tenang, dengan terlebih dahulu mengakui sudah menghadam novel tersebut. Pada hemat beliau, hal yang menjadikan novel tersebut kontroversi adalah berkaitan dengan unsur kesyiahan yang dikatakan berbaur kuat dalam teks novel itu.

SN menyarankan agar suatu pengkajian yang lebih mendalam di kalangan penggiat sastera dan ilmuwan atau agamawan yang berautoriti, dalam memerihal suatu pertikaian dan mengenalpasti masalah dasar sebelum dibuat sesuatu keputusan berkaitan pengharaman sesebuah karya.

Beliau di penghujungnya tetap menyatakan luahan betapa penting menjaga keteguhan akidah yang kita sedia maklum di Malaysia ini berpegang kepada Ahlus Sunnah wal Jamaah dan berjalur mazhab feqh Syafie. Perlu ada sikap mengambil berat soal tunjang dalam beragama sekalipun dalam isu berkarya bagi penggiat sastera tanah air.

Sesi syarahan tersebut akhirnya selesai sebaik masa beranjak ke tengah hari. Program wacana bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan ini secara realiti masih asing untuk diraikan oleh khalayak awam, melainkan ada suatu bentuk perubahan yang drastik dilaksanakan oleh penggiat karya kreatif tahah air.

Biar semua tahu, karya sastera bukanlah karya nuansa yang berbunga dan berfalsafah, sebaliknya karya sastera ialah sebuah teks yang melukis jiwa manusia, perasaannya, nilai dan kepentingannya dalam konteks zaman dan sejarah, kerna sastera adalah lukisan kehidupan.


#  Usai program, seorang cikgu perempuan muda datang menggamit, memperkenalkan diri. Oh, guru bahasa baru di sekolah menengah lama. Kami berbasa-basi ringkas, lantas aku berkirim salam kepada beberapa guru dan dia tersenyum manis, menzahir ucapan tahniah kepadaku. Hati membunga.