"Cari perempuan mulia yang menentang sehingga mati, cari perempuan yang menentang meskipun sudah mati."
Saat pertama kali bergulat dengan naskhah merah yang dihiasi ilustrasi kelopak bunga putih, hati mula menebak. Barangkali ini adalah permulaan Faisal Tehrani yang 'baru'. Membaca karya segar beliau itu mengundang persoalan awal. Isu apa yang mungkin ingin diberatkan oleh beliau kepada pembaca kali ini?
Seperti karya-karya sebelumya, FT bijak mengukir aksara, mencantum kata dan memperindah bahasa dengan langgam tersendiri. Keunikan itu juga dipengaruhi kuat dengan gelora semangat jiwa beliau yang tidak pernah gagal untuk dizahirkan dengan sempurna ke dalam setiap karyanya.
Aku masih menggagahi diri agar terus membaca dan menghadam inti dengan mendalam. Adakah mungkin ia kejutan baharu yang berkaitan dengan apa yang diperjuangkan kebelakangan ini? Atau mungkin, ia adalah tunjuk rasa kepada suatu konflik yang beliau namakan sebagai 'penafian' terhadap dirinya? Mungkin juga mahu menyinggung isu-isu semasa yang semakin menimbulkan jalur kerutan terhadap kemelut sosial yang berlaku?
Ternyata, sebaik membaca bahagian yang pertama, seolah-olah dapat menghidu rentak 'roh' penulisan beliau. Penulisan matang seorang doktorat yang mengutamakan disiplin ilmu perlu ditegak dalam wahana sastera. Membaca dengan penuh kebimbangan, dengan rasa tergugah dan mulai diserap provokatif, ia sememangnya bacaan yang santai namun mencabar pemikiran.
Seperti kata Isa Kamari, penulis dari Singapura, "Saya merasakan karya ini menandakan persimpangan FT bertukar dari sasterawan menjadi doktrinaire. Terasa beliau terhimpit dan meraung."
Ayuh, selamat mencerna bahan bacaan bermutu. Semoga terhibur dan bersedap-sedap dengan bahan sastera Melayu yang semakin jauh di pinggiran hati masyarakat.
p/s: Aku hanya penyokong sastera Melayu. Tiada lebih dari itu. Harap maklum bagi mereka yang sering gundah dan menghulur pesan waspada kepada aku. Nasihat kalian, amat aku hargai.