Dedikasi Buat Guru

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979



Berburu ke padang datar, dapat rusa belang kaki. Berguru kepalang ajar, ibarat bunga kembang tak jadi. Dedikasi buat guru-guru yang mendidik aku sedari usia enam tahun. Terima kasih buat kalian.

Selamat Hari Guru.

Peristiwa 13 Mei 1969: Sehari Sebelum


Keratan akhbar di atas dikerat dari akhbar The Malay Mail bertarikh 13 Mei 1969.

Kain rentang dalam gambar di keratan akhbar tersebut tertera: "Students Solidarity March In Support For ACADEMIC FREEDOM" (Perarakan Solidariti Mahasiswa Menyokong Kebebasan Akademik).

Perarakan yang dianjurkan oleh UMSU ini merupakan sebahagian daripada program orientasi pelajar baru yang dianjurkan sepenuhnya oleh mahasiswa sendiri tanpa campurtangan pihak atasan.

Ramai orang mengingati 13 Mei 1969 dengan tragedi konflik politik berdarah antara kaum yang menimpa ibu negara Kuala Lumpur. Sudah pasti timbul di benak kepala orang ramai, bagaimanakah agaknya situasi di kampus-kampus ketika itu?

Sedang sibuk parti-parti politik perkauman mengapi-apikan situasi dan memecahbelahkan rakyat, 12 Mei 1969 menjadi saksi bagaimana mahasiswa pelbagai kaum dalam UM telah menunjukkan perpaduan antara mereka dengan mengadakan "Solidarity March" sempena Minggu Orientasi 1969.

Dahulu, tidak perlu slogan retorik 1Malaysia. Idealisme perjuangan sudah cukup untuk menyatukan mahasiswa berbilang bangsa.




p/s: Mahasiswa dulu-dulu, memang betul 'student-power!'.
* Sumber: kredit kepada Fahmi Reza.

Jasa Bonda


"Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil." (Al-Isra': 24)

Kita sering melihat beliau ketawa. Namun mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangkakan. Di sebalik senyuman beliau, barangkali tersimpan seribu kepayahan yang dipendamkan. Siapa tahu?

Kita mungkin tidak akan mengetahuinya. Melainkan kita hadir mempersembahkan ketulusan cinta kepada beliau. Mendampingi, mengucupi dan mendakapi beliau bagi merasai salju kasih seorang insan bergelar bonda.

Selamat hari Ibu.


p/s: Terngiang-ngiang lagu Jasa Bonda-Warisan. Menghitung hari untuk pulang ke pangkuan keluarga. Urgh.