Hakikat Tarbiah

Tidak semua orang benar-benar mengerti apa tujuan kehidupan. Mereka bangkit setiap pagi, mengucapkan syukur atas helaan nafas yang nyaman, bersua dan berteman dalam kesibukan berperanan mengikut lapangan masing-masing. Ralit dan mengasyikkan, seolah-olah dunia tak mungkin tua.

Kita disaran untuk menghayati kehidupan, tapi jarang kita menekuni erti kehidupan. Apa makna kita hidup, apa matlamat kita dilahirkan sebagai Islam, juga apa peranan kita sebagai Muslim dalam kehidupan seharian. Kita jarang memikirkan semua itu. Dan kalau ya sekalipun, kita lemah untuk tegar dan tetap pendirian. Bergantung pada turun naiknya iman. Dan juga kerana khali dari hembusan tarbiah.

Seketika, membaca nukilan terkini pemimpin muda, Ustaz Dzul Khairi, aku menginsafi suatu benih pemikiran yang menyentuh hati. Ringkas kupasan beliau, namun cukup mendalam untuk direnung-renungkan. Darihal aksiologi tarbiah yang hakiki sebagai Muslim, sejauh mana kita menyingkap makna yang melatarinya?

Menyucikan hati. Mudah untuk dilafazkan di bibir, tapi keras kaku jika diminta untuk dilaksanakan. Alasan pun hadir berjejal-jejal, menyalahkan nafsu yang menggamit, menuturkan tekad yang lesu sebagai punca padahal ia tak pernah bertandang dalam qasad hati. Lama-kelamaan, dapat kita kesani betapa mudahnya kata-kata manusia untuk menjadi asbab kemurkaan Allah terhadap hamba-Nya.

Begitu juga dengan fitrah tarbiah. Jika dihinggapi pada mereka yang ikhlas, dengan izin-Nya taqwa begitu akrab dengannya. Namun jika hanya mahu dipandang alim, mengikut-ngikut teman, memaksa diri menerima tarbiah, maka hasilnya tak akan ke mana. Tarbiah itu hanya solekan untuk mengaburi mata manusia. Tidak meresap, melubuk dalam jiwa.

Menyucikan hati. Itulah hakikat tarbiah yang sebenar. Malangnya, diri kita sendiri sebenarnya malap dengan cahaya Ihsan. Bahkan, betapa kita patut malu untuk berbicara tentang itu.
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Al-Baqarah : 222)

Membebaskan rasa hati


Sewaktu berada di pengajian Tamhidi dua tahun lalu, aku ada memasang cita-cita besar(baca:berangan-angan) untuk melakukan sesuatu yang luar biasa dan memukau. Khususnya apabila berada di dalam kampus, aku terbayangkan suasana yang membangkitkan kepuasan, meluaskan pandangan semesta dan menitipkan keyakinan yang memberangsangkan.

Biasalah, jika kita rajin melihat dan menilai kehidupan orang yang hebat-hebat di luar sana, dalam minda kita pasti terdetik untuk menuruti mereka. Mengikut gaya mereka. Ingin mencuba seperti mereka. Pendek kata, jika orang lain boleh membina sejarah hidup mereka dengan bergaya, bagaimana pula dengan kita?

Aku memasang tekad, seboleh-bolehnya setiap semester atau setiap tahun, aku mahu mencipta sesuatu yang membanggakan, sekurang-kurangnya kepada diri sendiri. Ia tidak semestinya dikongsi dengan orang lain. Cukup dengan rasa ikhlas dan kita yakin dengannya, itu sudah merangsang peribadi ke arah penambahbaikan. Tidak kira ia dari bentuk fizikal, zahir, soreh,konkrit atau sekadar atas angin,ilusi,atas kertas, atau sekadar fikrah. Apa yang pasti, perubahan itu diwujudkan dan dapat dikesani. Semangat itu kekal menggila dalam diri, namun berseorangan dan sepi.


Dua tahun berlalu. Cita-cita kekal cita-cita. Sumbu keghairahan masih lagi menyala-nyala. Dalam aku masih berkira-kira, langkah bagaimana yang sepatutnya aku bertindak, aku menemui banyak perkara baru. Pendedahan dan pengalaman yang ditimba dalam waktu yang meski singkat, sangat merubah paradigma dan menggarap kematangan beransur-ansur. Sesekali mengujakan, ada kala pula hambar dan membosankan. Namun, itu sudah cukup baik.

Faktor persekitaran, pergaulan, perhubungan, pembacaan dan penerokaan yang berterusan benar-benar menjernihkan fikiran dan melapangkan minda. Kadang-kadang mahu juga bernakal-nakal untuk menggegar dengan 'pemberontakan', kemudian kembali dikendurkan dengan harmoni kefahaman yang ideal dan damai.

Cuma, dalam aku 'terhibur' menerima resapan-resapan kental yang tenang membentuk pemikiran, ada satu dua perkara yang sejak dahulu aku sendiri kurang senang dan 'letih' untuk menerima. Aku mohon maaf kepada sahabat-sahabat seperjuangan jika ada yang memahami dalam-dalam, ia suatu yang membimbangkan. Namun lebih untuk berterus-terang, aku ingin menyatakan:

1. Berada dalam status quo hizbiyyah secara berlebih-lebih begitu 'melemaskan' aku. Hidup berakar tradisi dan jati diri 'kompeni' sememangnya baik, namun hakikatnya apabila dalam keadaan sebegitu, kita akan terus kekal dalam rigid dan jumud. Mungkin seorang dua boleh melangsungkan perjuangan dengan baik, tapi bagaimana dengan yang lain? Mampukah mereka hendak mengolah perubahan kalau kita awal-awal lagi dipasakkan kefahaman 'jangan bantah' atau 'jangan buat pandai'? Bukan sesuatu yang wajar untuk berasa eksklusif, lama-kelamaan kita hanya membudayakan dogma 'I'm hollier than you'. Itu sangat menjengkelkan.

2. Setiap daripada kita ada dorongan inkuiri yang berbeza. Jangan kita biarkan ia dikekang dari berkembang dan terus luput begitu saja. Setiap yang mempunyai pemikiran memerlukan gelanggang yang serasi dengan gerak pencak mengikut gagasan tersendiri. Benar kita menuruti sistem, menerima prinsip, namun janganlah sampai kita membiarkan mereka di sisi kita dalam kondisi 'terpaksa rela' menerima semua itu, tanpa menutupi sebarang pilihan(options) lain kepada mereka. Tidak semua perlu ditiru atau diikut secara totok dan verbatim, bentuklah karakter tersendiri. Meminjam istilah Ustaz Hasrizal, tidak semua orang yang kita sangkakan berpotensi boleh melahirkan faham secara 'inside-out'. Masing-masing mencetuskan intuisi yang berbeda. Biarkan ia bebas mencatur, jangan mengongkong, asalkan matlamat tetap sama.

Maaf kerana tak semua akan faham apa yang aku hendak sampaikan. Bagi yang mengerti lapis separa makna yang aku suguhkan, anda berhak untuk melabel aku sebagai budak yang tak faham, dangkal, ortodoks, atau mengadili aku sebagai seorang liberal dan mat gebang tin kosong. Semua aku terima. Cuma tanpa berlapik, usaha secuit ini sahaja yang boleh dilakukan untuk membebaskan rasa hati secara jujur.

Jika dimurahkan rezeki usia, aku benar-benar ingin mengolah sebaik mungkin peluang ada. Kerna aku masih dibuai cita-cita aku yang dahulu. Impian itu masih mekar meski saat ini, aku berada dalam ruang yang kecil untuk tangkas bertindak ke arah itu. Mohon maaf kepada sahabat seperjuangan. Jika tidak bersetuju, kita senang berbincang. Ukhuwah kan.

Muslim Uyghur

Pernah suatu ketika, masyarakat Islam di seluruh dunia didedahkan berkenaan suatu fakta yang jarang-jarang sekali diketahui sebelum ini. Apabila segala bentuk keganasan rejim Serbia di Bosnia dipaparkan kepada khalayak dunia, kita mula sedar mengenai wujudnya Muslim di bumi terpencil itu. Melihat saudara kita digonggong dengan rakus oleh rejim Serbia, tersentak hati apabila mengenang kembali nasib malang mereka yang dibunuh, dirogol dan dizalimi. Saat itu suatu yang sangat kita kesali, betapa lemahnya persaudaraan Islam kita.

Terbaru, kita dikejutkan pula kekejaman yang dilakukan oleh rejim Komunis China terhadap etnik Muslim minoriti Uighur di Xinjiang. Ternyata, kewujudan saudara kita di Turkistan Timur tersebut hampir-hampir sahaja luput dari pandangan dan pengetahuan kita. Masing-masing hanya tersedar bila menatap akhbar harian dan menonton laporan berita dalam televisyen. Semakin kita kesali, sebenarnya ukhuwwah Islamiah yang bersifat 'alamiyyah itu gagal kita terjemahkan dalam diri kita.

Malang sungguh nasib umat Islam. Diperlakukan sebegitu biadap dan tanpa perikemanusiaan, sedangkan jiwa-jiwa yang tertindas itu turut mengalirkan darah Islam sama seperti kita di sini. Mereka kurang mendapat simpati dan perhatian dunia. Kalaulah kita tidak dikhabarkan langsung tentang krisis buruk yang melanda di sana, barangkali setiap daripada kita selama-lamanya tak akan menyedari dan terkesan dengan apa yang berlaku.


Barangkali juga, kita sedang santai bergelak tawa tatkala saudara seIslam di T
urkistan Timur ditabrak, disembelih, diganyang dan dihentam sesuka hati oleh sang penguasa zalim Komunis China. Janganlah bila terhapus semua jiwa Islam dan terpadam sinar Islam di sana, baru terhegeh-hegeh kita hendak melaung dan mengutuk pogrom sama seperti Zionis lakukan terhadap Palestin.

Terkutuklah bagi yang memusuhi Islam. Laknat kepada sekalian pua
k yang memerangi Islam. Buat semua umat Islam di seluruh dunia, bertindaklah membela nasib Uighur di sana. Jangan biarkan kafir harbi terus-menerus melakukan penindasan terhadap umat Islam. Ayuh kita bangkit melakukan solat hajat, kempen kesedaran serta gerakan pemboikotan produk dari China mesti diwara-warakan.



"...dan jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan."
(Al-Anfal : 72)

BM dimartabat, BI dimantap

"Begini cara layanannya untuk menyelamatkan bahasa"

Beberapa orang sahabat ada yang sedikit meragui usaha mempertahankan bahasa Melayu. Secara sinis mereka berpendapat, itu antara jalur-jalur nasionalis. Juga ada yang menempelak diam-diam, perjuangan tersebut sebenarnya bukan memartabatkan, sebaliknya perjuangan yang memundurkan bangsa Melayu itu sendiri.

Aku menghargai pandangan 'cermat' mereka meski tidak senada. Bagi aku, memperjuangkan jiwa bangsa tak bererti kita menerima akar nasionalisme. Bahkan tak keterlaluan untuk aku katakan, bahasa Melayu antara yang paling besar berperanan dalam perkembangan Islam di Nusantara suatu ketika dahulu.

Mungkin ada yang belum boleh menikmati nilai berbahasa. Tak mengapalah. Waktu masih ada untuk belajar bersyukur menjadi ummat Melayu.

Untuk TPM, terima kasih kerana berbudi terhadap bahasa kita.

Impak awal idea UG

Tahniah diucapkan kepada barisan ahli Parlimen Pakatan Rakyat atas pengumuman jawatankuasa Ahli Parlimen yang baharu ditubuhkan. Ahli parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali mengumumkan jawatankuasa tersebut di lobi Parlimen semalam. Secara peribadi, aku melihat usaha tersebut adalah langkah konstruktif bagi menonjolkan upaya PR sebagai pembangkang di Parlimen.

Beroleh kerusi di Parlimen, khususnya di Dewan Rakyat merupakan mandat besar yang diberikan oleh rakyat kepada setiap MP. Mereka menjadi harapan untuk mengetengahkan setiap isu dan permasalahan yang melibatkan kepentingan serta kebajikan rakyat di luar sana.

Selaku figura yang mewakili rakyat, tugas mereka bukan untuk bertekak semata-mata. Bukan juga untuk bangun menonjol bagi membuktikan kepada rakyat bahawa akulah yang paling handal bertingkah hujah. Seharusnya setiap MP sedar dan insaf akan amanah yang berada di pundak mereka. Adab dan nilai keilmuan adalah asas bagi mereka jika ingin menjadi seorang ahli Parlimen yang berkarisma di mata rakyat.

Menurut YB Azmin, tujuan barisan pemantau kabinet tersebut adalah bagi memastikan sesi perbahasan di Dewan Rakyat lebih berkesan dan mencapai objektif persidangan, di samping berperanan untuk 'semak dan imbang' bagi barisan Kabinet kerajaan Barisan Nasional. Usaha PR tersebut merupakah langkah optimis untuk mempersiapkan setiap ahli MP daripada PR bersedia dengan fakta hujah yang bernas dan menguntungkan nasib rakyat.

Bagi aku, mungkin sesuai juga untuk menyatakan penubuhan jawatankuasa Ahli Parlimen tersebut meneruskan rentetan episod dramatik idea Kerajaan Perpaduan yang dicetuskan oleh tuan guru Presiden. Dan dapat dikesani juga, gagasan Kerajaan Perpaduan itu mula mencetuskan kembali rentak siasah PAS dalam PR.

Impak Idea unity government?

Sedari dulu, aku seboleh-boleh enggan berpanjang lebar bila disoal mengenai idea Kerajaan Perpaduan. Bersetuju atau tidak, bergantung pada nilaian masing-masing. Tidak dinafikan, apabila ada yang cuba bertanyakan berkenaan isu tersebut, didapati benih-benih sentimen untuk berpuak mula membenih di kalangan pendokong parti Islam.

Semestinya kita sedia maklum bahawa meski tuan guru Presiden yang memunculkan idea tersebut, beliau sendiri secara sedar tidak mahu sebarang keretakan wujud yang boleh menjejaskan ukhuwwah dalam sesebuah gerakan Islam. Mungkin ada benarnya andaian tuan guru yang berpandangan, ramai ahli dalam parti Islam tersebut gagal dalam memahami konteks sebenar gagasan Kerajaan Perpaduan.

Mungkin juga kita boleh mengandaikan ramai yang tersalah tanggap kerana memiliki makna dan konotasi berbeza berkenaan Kerajaan Perpaduan. Justeru, penjelasan dan penjernihan mesti digiatkan oleh pucuk pimpinan parti. Apapun, pada hemat aku sendiri, apa jua sekalipun gagasan Kerajaan Perpaduan harus disambut secara kritikal dan mendalam.

Mengambil petikan dari karya Sun Tzu Art of War: "Mereka yang bijak dalam peperangan mengalahkan musuh mereka tanpa pertempuran; mereka menakluk musuh mereka dengan strategi."

Tuan guru Presiden sememangnya seorang pemain siasah(political player) yang baik. Tiada siapa yang meragui ketokohan beliau dalam memimpin parti dan gerakan Islam. Kepakaran beliau dalam siasah syar'iyyah menguatkan lagi keupayaan beliau dalam memimpin sebuah parti Islam yang berhempas dalam kancah demokrasi tanah air yang di dalamnya tersalut pelbagai mehnah.

Untuk mengocak keselesaan parti lawan, tidak perlu untuk kita menjentik telinga mereka agar mereka melenting. Tidak perlu menyindir keras untuk mereka bangkit dalam maki hamun membusuk. Cukup kita lontarkan idea yang menggugah, mereka sudah menggeliat manja. Ternyata, kita sendiri dapat menebak sejauh mana kekuatan lawan dengan melihat pada respon mereka. Kemenangan akan hadir bila kita mampu mengawal dan mempengaruhi musuh meski secara saraf.

Menyentuh isu Kerajaan Perpaduan juga harus singkirkan apa jua sentimen. Tidak bermakna aku asal Terengganu dan aku harus menyokong tuan guru Presiden, sebagaimana rakyat Kelantan harus menyokong tuan guru Mursyidul Am. Begitu juga sama ada yang pro-ulama atau cenderung kepada kelompok profesional. Tidak perlu semua itu. Akar isunya adalah jelas. Seorang pemimpin yang berpandangan jauh akan menguji anak-anak buah di bawah pimpinan beliau dengan cetusan yang menggegarkan.

Idea Kerajaan Perpaduan bukan tin kosong atau pun suatu kejutan yang mendesak. Sebaliknya jika diperhalusi, kekuatan idea tersebut dilihat apabila ia berhasil menjana olahan pandangan dan lontaran pendapat yang bersifat analitikal di kalangan ahli. Penelitian dan pengkajian di samping kefahaman yang sedia terpasak akan mula dimainkan untuk mencabar minda ahli di setiap peringkat.

Untuk menguji keupayaan para pendokong parti Islam PAS, tidak memerlukan kertas kerja yang rumit atau siri tamrin yang berat. Uniknya idea tuan guru Presiden, rasional beliau tidak mahu melihat ahli-ahli PAS sekadar berbicara tentang PAS bersama-sama orang PAS dan duduk di markas PAS,. Kata orang Terengganu: pah ceroh!

Manifestasi Idea Tuan Guru

Semua penyokong dan pendokong parti Islam lega bila kekeliruan kini sudah dipulihkan. Pertemuan pimpinan tertinggi PR mula menampakkan hasilnya. Barangkali impak awal yang berjaya dibuktikan adalah barisan jawatankuasa Ahli Parlimen itu sendiri.

Salah satu hasrat tuan guru Presiden bila memacu momentum UG, adalah untuk melayarkan pemikiran yang matang di kalangan ahli. Sudah sampai waktunya untuk mempersiapkan parti Islam sebagai a waiting government, dan bukan semata-mata menjadi barisan pembangkang. Jika tidak dibuat anjakan sebegini, kelak semakin sukar untuk melenturkan mentaliti pembangkang di kalangan ahli.

Kekuatan pemikiran itu perlu. Fitrah gerakan Islam adalah dakwah. Maka, seandainya siasah dilihat sebagai jalan dakwah, maka jalur siasah itulah yang harus diperkasakan bagi memastikan matlamat mulia amar ma'ruf nahi munkar itu tercapai.

Tuan guru Presiden bertindak mencatur gerak langkah parti. Rasional bagi sesuatu gagasan takkan mudah kita kesani melainkan jika hadirnya pada fikiran kita, kesatuan fikrah yang baik. Menjernihkan kekalutan dalam pemahaman ahli hanya terbukti jika ahli mahir dalam menilai akar pemikiran tuan guru dengan mendalam.

Kita sedia maklum akan sejarah lalu yang banyak mengajar. Namun, kita tidak akan dianggap belajar dari sejarah jika kita tidak berani untuk menterjemahkan nilai daripada pengalaman tersebut ke dalam bentuk olahan yang baru. Pas takkan pernah untuk kekal seperti dulu. Sedikit demi sedikit anjakan itu perlu bagi menyelaraskan gerakan Islam dengan situasi semasa.

Peranan PAS

Atas sifat Islam amat mementingkan perpaduan, maka secara jangka panjangnya, PAS boleh mempelopori idea kerajaan perpaduan atas usaha dan gagasan berikut:

Pertama, bergerak cergas bagi merealisasikan prinsip loyal opposition.

Kedua, mengemukakan contoh-contoh dari sejarah Islam bagi membenarkan hujah bahawa merealisasi prinsip keadilan yang melangkaui pertimbangan perkauman adalah kaedah terbaik mewujudkan perpaduan nasional.

Ketiga, kerajaan perpaduan perlu berpegang kepada prinsip 'pengislahan sistem politik dan ekonomi secara progresif'.

Keempat, pendekatan Fiqh Keutamaan (Qaradawy) sebagai rujukan asas.

Dan untuk ahli-ahli parti dan gerakan Islam, jadikan gagasan tuan guru Presiden sebagai bentuk muhasabah minda yang ideal. Akhlak jamaei harus direnung kembali. Adab-adab dalam berjemaah juga perlu disemak dan dikoreksikan kepada diri.

Secara kesimpulan ringkas, pencerahan fikrah dan pemurnian adab mestilah sentiasa berjalan dalam diri para pendokong parti Islam. Jika timbulnya polemik, sebaik-baiknya hindarkan segala bentuk jurang yang memisahkan. Cari jalan untuk bina kembali keterikatan sesama ahli. Oleh sebab itu, yang paling penting adalah tarbiyah. Itulah yang membezakan parti Islam PAS dan parti-parti politik lain. Itulah kunci keperkasaan PAS hingga sekarang.

Meski aku bukanlah ahli parti Islam PAS, namun secara jujur aku menyokong sepenuhnya gerakan Islam tersebut yang berjaya membawa agenda Islam yang syumul. Semoga terus memimpin untuk perubahan.


p/s: Tulisan di atas hanyalah kopakan minda peribadi untuk berkomentar serba ringkas dalam asyik memerhatikan senario politik semasa tanah air.