Lebaran ini

Bertandangnya sanak saudara, kaum kerabat ke rumah merupakan saat-saat harmoni tatkala berhari raya. Ada yang hanya bersua setahun sekali, yang tinggal berjauhan dan tidak berhubung lama. Hari Raya kami dipertemukan dalam suasana meriah; saling bermaafan dan rancak bersembang bermacam segala.
Bak kata iklan Digi - Eratkan segala-gala...


Dan aku pula, pastinya kedatangan anak-beranak, anak saudara dan bayi comel menjadi buruan utama lensa untuk segera 'diterkam' mesra!
-geram tengok keletah budak-budak...


Ijtima'

Raya ketiga, program Ijtima' Aidilfitri Mahasiswa dan Siswazah bersama pimpinan Terengganu diadakan di Markaz Tarbiyyah berdekatan dengan kediaman aku. Sempat bersua dengan sekalian sahabat yang turut turun ke sana. Seperti dahulu juga mereka; setia dan utuh dalam saf perjuangan. Moga-moga kalian terus mantop hendaknya, ameen.

Agenda yang paling mencuri tumpuan khalayak sudah tentulah majlis dialog bersama pimpinan tertinggi. Kebanyakan pertanyaan yang diajukan para mahasiswa adalah seputar masalah dan coretan pilihan raya kampus yang lalu. Selain itu, lontaran pendapat berkenaan isu mahasiswa lesu, isu pembangunan negeri dan gerak kerja di kalangan mahasiswa dan belia negeri. Juga turut disinggung dalam sesi dialog adalah isu Batu Burok dan lawan balas terhadap slogan dan propaganda 'pihak sebelah' yang nampaknya kian hebat dicanang kebelakangan ini.

Aku tak sempat mengikuti majlis hingga ke akhir kerana bubar awal dan perlu bergegas ke tempat lain. Apapun bagi aku, program dua hala dan temu mesra antara mahasiswa dan pimpinan sebegini sememangnya perlu untuk mengekalkan dan meninggikan ruh perjuangan serta semangat di kalangan muda belia dan mahasiswa, dalam suasana semasa yang menuntut sokongan padu dan penggemblengan tenaga muda pastinya.

- kepada Abg Azmi, rilek deh. ambe bukan dok kenal, cuma dok perasan je.. Asiif bro..

Memburu al-Qadar


"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul-Qadar itu? Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”


Lewat malam semalam, aku menerima mesej ini daripada pak cik aku:


Ekspedisi pencarian Lailatul Qadar sudah bermula. Sama-samalah kita usahakan dengan bersungguh-sungguh!

Benar-benar dia mahu mengingatkan aku. Dengan izin Tuhan, aku sedia menyahutnya. Terima kasih!

Mungkin ramai yang sedia maklum dengannya. Pun demikian, ramai manakah yang benar-benar mahu menyelak tabir keberkatan di malam hari, memburu rahmat seribu bulan kurniaan Allah taala. Tentulah hampa bagi mereka yang lalai dan acuh tak acuh dengan kebaikan yang menyelubungi Lailatul Qadar. Namun ia tetap datang di setiap bulan Ramadhan.

Ramadhan makin meninggalkan kita. Barangkali ini adalah Ramadhan terakhir. Jendela sepuluh malam terakhir sudah terkuak dan sekalian muttaqin sudah siap siaga menjenguknya dengan bekal cinta. Bagaimana pula kita?


- Kepada Pak Aki, terima kasih atas jemputan ifthar yang meriah minggu lalu.
Akhirnya dapat juga aku menikmati bubur lambuk T'ganu tatkala berjauhan dari kampung halaman..HuHu.