Santapan Ramadhan


Kata orang, bulan puasa biar lapar jasmani, jangan lapar rohani. Lubuk pahala jangan dibiarkan gersang tak bergali. Sekali kita terlepas, belum tentu dapat ketemu lagi.

Ibadat bukan berkisar pada solat, puasa atau mengaji Quran semata-mata. Ramadhan bulan untuk memperbanyakkan amal, juga satu bulan untuk menambah ilmu dan menjana akal.

Dan, syukur ya Allah, kerna Ramadhan kali ini tersedia hidangan wacana yang enak menanti untuk dicerna.

Allahuma bariqlana fi shahri Ramadhaan...

Sejenak kisah dari kampung

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
[Al-Hujurat : 6]

"Ha, tengok ni.." ujar kawanku sinis, sambil menatap lembaran akhbar harian yang terselit berita berkenaan tragedi rusuhan di Batu Burok 8 September lalu. Aku memandang kosong. Dalam kepala, memang banyak persoalan yang boleh ditimbulkan, tapi elok didiamkan saja. Rasanya tak perlu untuk aku berhabis liur memperdebatkan laporan berita yang sedia memualkan tekak lagi memeritkan mata bila dibaca. Lebih banyak tipu dari betul. Maklum, hairan dan meloyakan.

Terkini, aku menerima khabar, agenda memburukkan parti lawan diteruskan. Media elektronik dimanipulasikan sehabis mungkin. Sedutan klip video yang ditampal-tampal konon memburukkan sikap 'fanatik' sebilangan yang digelar 'perusuh jalanan' itu ditayangkan kepada khalayak di dalam TV. Sesiapa yang menonton tanpa usul periksa pasti menggelengkan kepala. Kononnya itulah gambaran penyokong Islam. Dan bersoraklah mereka melihatkan propaganda busuk mereka menjadi. Tambah-tambah PRU yang makin mendekat...

Begitulah kesudahannya. Bagi mereka yang 'makan bersuap', terus sahaja ditelan dan dihadamnya, tanpa selidiki dahulu kandungannya. Maka kenyanglah mereka dengan hidangan yang tak ketahui betul-betul 'berkhasiat' atau banyak bahan tiruannya. Media di Malaysia? Begitu memalukan...

Saranan untuk sekalian sahabat, jadilah seorang pemerhati yang baik. Bukan kerana obses pada pihak tertentu, tapi sebagai golongan yang punyai daya intelek, adililah dengan saksama. Menghukum biarlah berjurus. Jangan hanya menerima bulat-bulat apa yang dikata oleh satu pihak. Terkadang memang perkara yang hak sering dilindungi oleh benda yang batil. Mohon berlindung kepada Allah daripada itu...
Tuntutan BERSIH

Cuma, yang paling membuatkan aku terkilan, wajarkah mereka dengan sengaja mewujudkan persengketaan besar sebegini terhadap sesama umat Islam di saat Ramadhan menjelang? Di manakah nilai keimanan mereka dalam memelihara persaudaraan Islam? Sungguh, ini merugikan umat Islam secara tak langsung.


# Ya Allah, kembalikan pimpinan ulama' di bumi Darul Iman ini...ameen.

Allahuma ballighna ramadhan...

Bulan Ramadhan kembali menjengah. Bulan yang menjadi kegembiraan besar buat para abid dan muttaqin. Kecintaan untuk beramal sepuasnya begitu meruap-ruap. Menangis sekalian mereka dek terlalu riang menyambut kedatangan bulan penuh barakah.

Peluang beramal selama sebulan dalam jami'atul tarbiyyah bukan datang selalu. Inilah masa untuk mengaut seberapa banyak laba, bekal di kemudian hari.
Beruntunglah bagi mereka yang sudah mempersiapkan diri lantas penuh kehambaan terjun dalam lautan maghfirah serta rahmat menyucikan jiwa mereka pada bulan penuh mulia ini.

Terasa pantas masa berlalu. Ramadhan kembali melambai-lambai, menggapai tangan-tangan yang mahu mengecap nikmatnya buah taqwa. Seandainya Ramadhan lalu kita gagal mencari taqwa, usahlah dilepaskan peluang Ramadhan yang bakal menjelang tiba.

O Allah! Make the months of Rajab and Sha'ban blessed for us, and let us reach the month of Ramadan (i.e. prolong our life up to Ramadan, so that we may benefit from its merits and blessings)
[Narrated by at-Tabarani and Ahmad]


Bulan Bahasa dan Sastera


Uh terasa rugi benar bila tak berpeluang untuk turut serta dalam Majlis Pelancaran BBSN 2007 di TTC baru-baru ini. Dengar khabar, ada cerita menarik berlaku di sana. Hurm...
Bahasa Jiwa Bangsa.


Tag-tag?
Aku pun tak tahu permainan apa ni. Sekadar tulis apa yang terlintas dalam kepala...

- sedikit pendiam. (Mesra pada mereka yang rapat/satu 'kepala'.)
- ketagih membaca. (tengok pada kandungan bahan bacaan juga.)
- minat mengarang, hanya bila timbul idea yang mengujakan. (sejujurnya malas menulis.)
- terpaut pada lagu 'Cinta'. (nak tahu lebih lanjut, jom bersua.)
- aku sebenarnya rindu pada masakan mak aku. Tambah-tambah lagi bulan puasa yang bakal menjelang. wargh..!

Perihal Adab

“Bila duduk menghadap di depan tok guru nanti, pastikan jangan nampak bahagian kaki,” pesan sahabatku. Aku mengangguk faham. Menurut sahaja meski kurang mengerti mengapa begitu disuruhnya.

Dalam taakulan sibuk mencari maksudnya, sahabatku lantas bersuara, “Kita mesti biasakan dengan adab yang betul. Jangan semberono saja, lebih-lebih lagi bila berada dalam majlis ilmu.”.Tegas dan berkesan. Oh, kena bertertib rupanya..

Lama kemudian, aku mulai faham berdasarkan pemerhatian aku selama ini. Kebiasaan pelajar-pelajar pondok ketika duduk menadah kitab atau bertalaqqi dengan guru, mereka akan menutupi kaki mereka daripada kelihatan (sembunyikan di dalam kain pelikat). Itu antara adab semasa menuntut ilmu daripada guru, supaya tidak menimbulkan rasa kurang senang atau tidak sedap mata pengajar memandang. Sejak itu, adab itulah aku amalkan seboleh-bolehnya dalam majlis yang duduk bersimpuh, bersila, tak kira majlis ilmu, keraian atau sebaliknya.

Itulah nilai adab yang aku fahami. Adab banyak memainkan peranan dalam memastikan kehidupan yang tenang dan harmoni. Adab merupakan suatu peraturan tatatertib perilaku manusia yang begitu dititikberatkan dalam Islam. Dalam konteks belajar, adab itu sendiri mengatasi ilmu. Sehebat mana seseorang itu dalam ilmu dan pelajaran, sia-sia belaka sekiranya adab dan pekerti mulia sunyi dalam peribadi mereka.


Aku terhimbaukan kisah tadi berikutan seorang dua sahabatku di sini banyak mengomel kepadaku. Keluhan yang diluahkan itu aku tanggapi sebagai bentuk penzahiran perasaan kurang senang mereka. Ya, kurang senang terhadap sikap segelintir di kalangan kami yang seperti tiada rasa hormat dan beradab kepada pensyarah atau tutor kami.

Ada benar setiap keluhan itu. Bayangkan apabila seorang pelajar itu boleh sahaja mencelah dengan kata-kata yang pada pandangan umum seperti membidas setiap perkataan guru. Terkadang, lebih memalukan bila mereka dengan selamba bercakap dengan suara yang lantang dengan guru, seumpama bergurau-senda ketika bersama rakan-rakan. Memang galak sakan... Betapa kurangnya rasa ‘ikram’ terhadap guru yang mengajarkan ilmu kepada mereka.

Barangkali itulah hakikat zaman sekarang. Zaman menularnya keruntuhan adab dan akhlak muda-mudi. Bila difikirkan balik, memang jauh berbeza jika dibandingkan dengan pelajar zaman dahulu. Zaman ketika pelajar masih memahami martabat seorang mu’alim bagi mereka. Seandainya ada guru yang melalui suatu jalanan, pasti bergegas lari sekalian pelajar. Ada yang menyorok, ada yang berhimpit dan mengecil diri di tepian jalan.

Semua itu kerana rasa hormat yang meninggi terhadap golongan yang mencurahkan ilmu kepada mereka. Mereka takut untuk bergelar pelajar yang kurang ajar terhadap pendidik mereka. Semua itu juga disebabkan diri mereka yang memahami hakikat ilmu. Dek tersangat cintakan ilmu di dada para mursyid, murabbi, mu'allim, mereka memandang tinggi martabat guru. Di situlah letaknya keberkatan ilmu. Alangkah ruginya bagi mereka yang tidak mengerti semua itu!
Imam al-Sya’rani berkata, selama aku belajar dengan guruku, tidak pernah aku membuatkan guruku berpaling muka atau bermasam muka denganku walau sezarah pun.


Adab dan akhlak berkait rapat dengan sunnah Rasulullah s.a.w..
Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (al-hadith)

Rasulullah s.a.w. semulia-mulia manusia yang bersifat maksum. Diutuskan Baginda s.a.w. kecintaan umat beriman untuk memperelokkan dan menyempurnakan adab dan akhlak umat manusia. Tarbiyah dan taujihat yang disampaikan Baginda s.a.w. sememangnya tiada tolok banding. Kesempurnaan dalam mendidik hati dan perilaku manusia cukup mantap. Itulah didikan adab yang patut ditelusuri dan dihayati oleh kebanyakan kita sekarang, khususnya para pelajar. Apalah guna mengaji ilmu syariat, ilmu fiqh namun Rasulullah s.a.w. tauladan terbaik tidak diambil sebagai pengiktibaran dalam kehidupan sehari-hari.

Sahabat sebagai contoh, bagaimana begitu beradabnya sahabat terhadap Rasulullah s.a.w. dalam segala hal. Pernah diceritakan, seorang sahabat yang mahu berjumpa dengan Baginda s.a.w., sedangkan ketika itu dia dalam keadaan berhadas. Sebelum pergi kepada pertemuan dengan baginda s.a.w. itu, dia terlebih dahulu mengambil wudhu’. Sahabat itu ditanya oleh beberapa orang yang lain. Jawabnya, “Aku cukup bimbang seandainya ketika aku bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. nanti, aku akan tersentuh badan atau baju Rasulullah s.a.w.. atau mungkin Rasulullah s.a.w. sendiri yang akan menyentuhku.”

Nah, lihatlah betapa ikramnya para sahabat!

Ulama itu pewaris Nabi. Rasulullah bertindak sebagai mua'llim kepada sahabat dan sekalian umat. Peranan itulah yang sama dimainkan oleh para pendidik sekarang; mencurahkan dan menyebarkan ilmu yang dikurniakan Allah kepada pelajar mereka. Alangkah ruginya bagi pelajar yang miskin akhlak. Hati meronta-ronta inginkan ilmu tapi sia-sia usaha mereka jika masih berterusan berlaku kurang adab terhadap guru. Hilang barakah, hilang keredhaan Allah.Tiada gunanya mengaji siang dan malam, seandainya berkat tidak mengiringinya. Hal ini kerana adab itu bisa menjadi asbab terhijabnya ilmu dalam jiwa manusia. Nauzubillah.


Dan aku terkenang akan rangkap pantun Tongkat Warrant...


Berburu ke padang datar,

dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
bagai bunga kembang tak jadi.

Alahai...

p/s: Pesanan ikhlas - duhai sekalian sahabat banat sekuliahku, cantikkan dirimu dengan beradab mulia terhadap pensyarah/tutor kita. Mohon sangat-sangat...