Pagi tadi suatu pagi yang mengharukan. Perasaan sayu terasa begitu halus menyentuh kalbu. Suatu rasa yang seakan memberi redup hiba. Juga menambah dingin atma dalam keheningan pagi, begitu menggetarkan.
Kami seboleh-bolehnya tidak ingin saat-saat itu terjadi. Namun, perancangan Tuhan cukup dalam untuk ditafsirkan. Pasrah, itu yang terdaya bagi kami dalam menerima ketentuan yang sudah ditakdirkan.
Benar, perpisahan bagi sesetengah orang adalah suatu yang biasa dalam kehidupan. Ujar mereka, itu sudah menjadi lumrah kehidupan. Suatu yang pasti ditempuhi saban ketika dan waktu. Sering kedengaran, setiap pertemuan akan adanya perpisahan.
Tapi, bagi kami perpisahan hari ini cukup dirasai dan akan diingati. Begitu terkesan dalam jiwa, meresap lantas menghadirkan rasa hiba menebal-nebal. Pemergian sahabat yang paling kami hormati, yang paling kami contohi adalah suatu saat yang sukar untuk ditahan rasa kehilangannya.
Afif, bagi kami bukan sekadar ketua di kalangan kami - pelajar Tamhidi Fakulti Syariah dan Undang-undang - bahkan berperanan sebagai seorang sahabat yang cukup prihatin di kalangan sahabat taulan.
Nasihat dan saranan tarbiyah tak lekang di bibirnya, menuturkan kata-kata yang berupaya menyedarkan diri. Terkadang tegurannya mengetuk jiwa kami yang terleka dan lalai pada masa-masa tertentu. Begitu cakna dia terhadap sahabat-sahabat, cukup terharu jika dikenang.
Bagi kami, kehilangannya bererti tiada sudah sahabat yang sudi menghulurkan bait-bait ruh Islami dan semangat. Gayanya menyenangkan, berbicara sambil menguntum senyum, tanda mekarnya kasih pada ukhuwah antara kami. Meski sebulan sahaja sempat kami saling mengenali, tapi seakan sudah lama persahabatan yang terjalin.
Benarlah kata bijak pandai, ukhuwwah itu sememangnya indah andai bertemu dan berpisahnya kalangan saudara seIslam itu kerana Allah. Aku sendiri jujurnya, begitu merasai nilai persahabatan yang sebenar. Tidak hairanlah dalam dakapan erat dengannya, tak tertahan dirinya menyeka air mata. Serasa ingin terus membasahi dan menyirami tautan ukhuwah yang makin mekar, makin membugar. Begitu sekali kasihnya pada sahabat, alangkah!
Bukan hendak mengagung-agungkan hubungan yang terjalin, juga bukan memuji-muji seseorang, sebaliknya sekadar mahu meluahkan apa yang terasa dalam hati. Tiada tergambar akan indahnya jalinan bila memiliki seorang sahabat yang begitu menitikberatkan pengisian rohani dan jiwa kita.
Memetik mesej Afif yang dikirimkan kepada semua sahabat sebaik sahaja kepergiannya,
Persahabatan tak pernah putus kerana diikat tali keimanan. Diri tak pernah keseorangan kerana diikat dengan ikatan hati. Perjuangan tak pernah selesai hingga seluruh alam dilaungkan kalimah La Ilaha illaLlah. belajar kerana Allah dan tolong agama Islam.[rujuk surah Muhammad,47 : 7] Salam ukhuwah semanis perjuangan...
Semoga enta sentiasa utuh dalam landasan perjuangan yang diceburi pada waktu mendatang. Tepat sekali kata-katamu, walaupun uslub kita berbeza tapi matlamat kita tetap sama. Tertancap lekas dalam ingatan aku dengan madah yang sering diungkapkannya. Kita pejuang bukan pejiwang. Akan aku berpegang dengan kata-katanya ini, insyaAllah.
Doakan diberi ruang masa untuk pertemuan kita yang mendatang. Terima kasih sahabat.