Libasan warisan di Sukan Asia

Awal pagi tadi aku berkesempatan menonton perlawanan akhir acara Sepaktakraw antara regu. Malaysia turun menentang musuh tradisi, Thailand.
Sebelum ini, skuad negara sudah pun tewas dalam acara berpasukan, juga ketika bertemu dengan Thailand. Misi menebus kekecewaan sudah pasti menjadi agenda utama skuad negara yang diwakili regu mantap - Mohd Putra Abdul Ghani, Normanizam dan Zulkarnain.

Hasilnya? Trio Malaysia itu tersungkur lagi kepada regu Thailand yang selayaknya menang dengan keputusan bersih 21-19, 22-20. Mahu kata apa, Thailand sememangnya satu pasukan yang handal dan digeruni lawan.
Aku pun memang rasa terkilan bila pasukan kita tewas lagi. Yalah kan, skuad negara turun bukan untuk diperlekehkan, sebaliknya inilah masa dan peluang untuk memalit duka dan mencalar ego pasukan Gajah Putih. Meski Thailand bergelar jagoan dan digeruni, mereka tetap memberi tentangan dan saingan sengit. Apapun sudah adat permainan, ada menang ada kalah.

Sepak takraw adalah acara yang paling aku beri tumpuan dalam Sukan Asia kali ni. Memandangkan peperiksaan SPM pun sudah berakhir, maka tak mengapalah rasanya jika aku beralih angin kepada perkara selain belajar untuk seketika. Menonton televisyen kadangkala membosankan, tapi kalau ada sesuatu yang menghiburkan, bosan pun boleh jadi hilang.

Siapa yang tak teruja pabila melihatkan pelbagai aksi menarik ala-ala akrobatik. Libasan kencang. Gulungan maut. Rejaman padu. Liuk-lentuk badan dan lentingan mempesona. Penangan servis kuda. Pelbagai versi dan gaya dipamerkan untuk satu tugas - menghunjam bola takraw ke lantai gelanggang lawan. Aduhai, tarikan itulah yang buat mataku lebih tertancap pada acara ini, dan lebih puas menonton berbanding sukan yang lain.

Kalah menang itu nombor dua. Pastinya, ramai peminat Malaysia tak bengang lama-lama dek kekalahan itu kerana hati sudah pun terasa puas melihat permainan cantik yang dipamerkan. Aku rasa tidak banyak acara di Sukan Asia yang mempamerkan ciri-ciri Asia dan berelemenkan budaya. Sepak takraw adalah suatu contoh, permainan dari nusantara yang diangkat menjadi acara sukan berprestij.

Sepak takraw bukan sekadar sukan, tapi warisan. Tradisi bangsa Melayu sedari dulu lagi yang mesti dikekalkan. Sepak takraw membawa satu gambaran sukan lasak yang berseni. Dan kita, seharusnya bangga memiliki warisan unik yang menyihatkan seperti sepak takraw.

Tiada ulasan: