Gagasan Ittihad


Sesekali tertancap juga impian di benak kepala untuk melihat kesatuan ummah berjaya dicetuskan dengan suasana yang harmoni. Bersama-sama beberapa orang sahabat, kami begitu teruja berbagi-bagi pendapat dalam merencana suatu misi. Kami, secara kecil-kecilan, cuba untuk menghimpun daya yang ada dalam melaksanakan gagasan ittihad.

Gagasan itu secara konsep, kelihatan mudah untuk disuguh minda, tetapi hakikatnya agak sukar. Keterbatasan dan kekurangan dalam pelbagai sudut menimbulkan tanggapan ia terlalu jauh untuk direalisasikan. Barangkali ia tidak terhenti sebagai satu alasan. Sebaliknya itu cabaran hebat bagi kita untuk mematahkan kekangan seperti itu.

Secara ringkas, persoalan yang boleh dinaikkan dalam isu ini adalah, bagaimana untuk menyatukan ummat Islam pada zaman ini menjadi satu ummat yang perkasa?

Sunni, Syiah, Wahhabi, Salafi, Sufis, Ahbash, Fundamentalis-konservatif, Muslim moderat dan sebagainya, perlu mencermati gagasan ini secara beransur-ansur. Sudah letih kita menanggung asakan dan serangan dari luar oleh puak yang memusuhi Islam yang suci ini. Sampai bila agaknya sikap ananiyah yang menebal sebegini berterusan.

Aku tidak pandai meneroka dalam-dalam. Namun, cukup untuk aku ringkaskan, semua bermula daripada sikap. Kesederhanaan itu salah satu kunci. Lawan bagi sederhana adalah melampau dan terlampau. Kongkongan sikap seperti itulah yang masih menyelubungi ramai di kalangan ummat.

Juga satu lagi yang perlu dipasakkan dalam peribadi Muslim iaitu menjaga adab ikhtilaf. Perselisihan mazhab itu tidak perlu dicemari dengan sikap menuduh, mengkafir, mencaci, menghentam, menikam dan membunuh hujah. Sikap buruk sebegitu perlu dihindarkan kerana ia menjadi cerminan akhlak ummat Islam.

Benar, kita berpegang dengan prinsip. Dalam masa yang sama, kita juga harus menghormati pegangan prinsip orang lain. Memetik ungkapan seorang sahabat, terbuka tidak semestinya hanyut. Tertutup tak semestinya jumud.

Segala apa yang baik dan menguntungkan ummat, itu menjadi keutamaan dan pilihan terbaik. Pertelagahan dan permusuhan dalam menegakkan sesuatu isu, sewajarnya digantikan dengan menggunakan saluran yang sederhana dan harmoni. Kita mahu kebenaran ditegak, dan harus diingatkan juga, kita juga mahu membina kesatuan ummat.

Mungkin sesuatu yang paling utama, adalah melalui jalan kembali kepada fitrah kita sebagai Muslim. Jika semua menginsafi bahawa Allah itu Tuhan sekalian alam. Bahawa Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa aalihi wasallam adalah rasul kepada manusia sejagat dulu, kini dan selamanya, nescaya dengan izin Allah, gagasan ittihad tidak sekadar idealistik semata-mata. Itulah falsafah teragung yang mesti dihayati demi kemaslahatan ummat Islam di akhir zaman ini.

Tawaqquf


Perbaikilah sikap kita selaku penuntut ilmu. Dalam melakukan pengkajian, jangan terlalu mudah menghukum seseorang. Setiap daripada mereka ada kelebihan dan kekurangannya. Ia tidak membawa sebarang natijah yang baik seandainya kita sibuk menilai kelemahan orang lain.

Justeru, hindarkan daripada berbicara secara berlebihan tentang tokoh-tokoh yang makamnya tinggi di atas. kita hanya thullab yang berada di bawah sahaja. Sedang kita sememangnya tidak layak untuk menilai mereka melainkan di kalangan mereka jua. Renungilah hadith: Daging para ulama itu racun. Barangsiapa yang memakannya nescaya ia binasa.

Ketahuilah, Kita sebenarnya dalam kerugian. Adalah baik berbicara tentang hal yang memberi lebih manfaat kepada ummat daripada menghumbankan diri ke dalam kelompok yang cintakan pertelagahan. Jika tidak, sampai bila-bila pun tiada titik keharmonian dan perpaduan ummah.

-Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Sudah nasibmu, bahasaku


Lelah diri ini menjerit dan meraung
tidak kira di lorong mana di padang mana
di tengah hujan atau di terik panas
hanya sekadar meminta sedikit ihsan
daripada pemimpin yang
kononnya pejuang bahasa
supaya martabatmu terbela,
bahasaku
namun segalanya sia-sia.

Apakah mereka itu petualang
atau pembela
lantang menyalak di pentas
pilihan raya
menghunus keris entah kepada siapa
sambil memekik ke ruang terbuka
takkan Melayu hilang di dunia
membujur lalu melintang patah
biar putih tulang jangan putih mata.

Sinisnya nasibmu tetap dipersenda
pembelakah mereka itu, bahasaku
mereka lupa pesanan orang tua-tua:
bahasa jiwa bangsa!
hilang bahasa lenyaplah bangsa!

Gerangan agenda apakah di
belakang mereka
atau iblis laknat mana yang
meracuni minda
bahasa sendiri dibiar terbengkalai
hilang kehormatan tergadai
kehormatan
pupus keyakinan tanpa pembelaan
dihimpit diasak ranap keperkasaan
bakal lenyap di bumi ketuanan
ditelan zaman
demikian nasibmu, bahasaku.


HARUN MOHAMAD
Kuala Terengganu


p/s: Suatu yang tidak aku nafikan sejak dahulu, Abah sememangnya seorang pejuang bahasa yang istiqamah. Bahkan, pasti dia lebih merestui melihat ada yang mewarisi semangat beliau.
* Sajak 'Sudah Nasibmu, bahasaku' tersiar di dalam Harakah edisi Jumaat minggu lepas.

Perang Bahasa?

Peristiwa 7 Mac minggu lalu sudah pun tercatat dalam sejarah negara sebagai suatu hari yang memaparkan manifestasi pejuangan para pencinta bahasa.

Mereka turun bukan sebagai penunjuk perasaan yang tiada haluan, sebaliknya sebagai penunjuk kasih yang mendalam kepada jiwa bangsa.


Tak keterlaluan untuk menyatakan, pejuang bahasa telah menang dalam 'peperangan' tersebut. Meski terpaksa berasap pedih dan menahan perit disimbah air asid, derap langkah tetap teratur mara, bagi membuktikan nilai bahasa itu tinggi di sisi agama dan bangsa.

Aku seboleh-boleh menjernihkan fikiran dalam menanggapi isu ini. Bukan melihat dari sudut pandang ekstrem membabi-buta, juga ingin mengelak jauh-jauh dari
sebarang sentimen politik kepartian. Kerna isu bahasa adalah isu bersama yang neutral.

Kita menentang tak bermakna kita membangkang tanpa sebarang matlamat. Aku mengagumi kelompok mahasiswa seangkatan yang bersemangat menzahirkan kasih kepada bahasa ibunda. Namun, apa yang diharapkan, mereka turut berjuang bukan kerana mengikut orang. Sebaliknya, semangat tersebut berpunca dari kesedaran yang benar.

Tentangan atau protes para pejuang bahasa atas dasar keprihatinan. Aku menyelami perjuangan bahasa, dan aku ingin menuruti langkah setiap pencinta bahasa yang jujur. Langkah pertama yang boleh diambil, kekal menjadi pengguna bahasa yang amanah.

Bagaimana mungkin kita bersuara semangat dalam memartabatkan bahasa, sedang penggunaan bahasa harian kita carca merba tanpa pedoman dan jati diri Melayu-Islam.

Kedua, layanilah bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang mengagumkan. Memikul nilai keilmuan tetapi mengetepikan peranan bahasa adalah suatu kesilapan yang tidak boleh dimaafkan. Setiap pencinta ilmu pasti akan mulai gundah meladeni isu ini kerana bahasa sangat penting untuk menyampaikan makna pada ilmu.

Ketahuilah, kuatnya pertalian bahasa dan ilmu seumpama air yang tertitis ke lautan. Bersatu menghasilkan riak-riak gelombang yang melebar dan meluas, tanpa ada yang menafikan peranan titisan air itulah yang mengorak perubahan kepada lautan.

Barangkali setiap apa yang berlaku kini menambah lagi siri rentetan perang bahasa. Berperang para pejuang bukan bertunjangkan kekerasan, sebaliknya hadir ke medan menuntun kasih demi menyelamatkan nasib bahasa yang semakin tenat diganggu tangan-tangan yang miskin moral budaya dan ilmu.

p/s: Tatkala berdegar-degar isu bahasa diperdebat, Cik Siti Mustika muncul menghambat lamunan. Cerpen itu kembali lagi, kali ini menyindir dalam-dalam.