Manisnya keberkatan rezeki



Ini kisah penjaja kecil yang beriman.

Kelibatnya seringkali terlihat di sekitar Nilai pada waktu petang. Dengan hanya menunggang motosikal tua beserta kotak berisi makanan, Pak Cik Malindo akan berhenti di tempat-tempat tumpuan menjual pelbagai jenis makanan seperti nasi goreng, nasi minyak dan kuih-muih.

Saban hari, beliau akan dikerumuni pelajar-pelajar dan pekerja kilang yang baru pulang. Kelibatnya sahaja sudah cukup menggembirakan mereka yang sering membeli dengannya. Makanannya murah dan sedap.

Kebiasaannya, selepas solat Asar di masjid, Pak Cik Malindo akan beredar dan mula menjaja di luar kolej-kolej kediaman dan asrama kilang berdekatan.

Raut wajah tua sentiasa terukir senyum manis. Bahasa budinya yang berhemah tidak lekang di bibir. Semua yang datang membeli akan dipanggil 'Anak' atau 'Nak'. Layanan mesra sebegitu menyebabkan kehadirannya sentiasa dinanti.

Suatu yang menarik tentang peniaga ini adalah sifatnya yang begitu menghargai setiap rezeki yang diperoleh.

Pak Cik Malindo tidak berkira soal harga. Misalnya. dengan harga RM2, sebungkus nasi goreng akan diberi beserta kuih. Jika kuantiti makanan dibeli lebih banyak, sebungkus kuih-muih akan diberi secara percuma. Betapa dia tidak meletakkan nilaian rezeki pada hasil jualan, tapi pada kepuasannya menghargai pembeli.

Tatkala menerima wang daripada pembeli, dia akan mencium duit tersebut dan berterima kasih dengan nada yang merendah diri. Kadang-kala, dia sempat menitipkan pesan nasihat ringkas yang menyentuh hati pembeli.

Di samping cukup menjaga waktu solat, sifat qanaah cukup terzahir apabila dia tidak kisah berniaga meskipun hanya dengan bermotosikal. Kecekalan berniaga dalam usia lewat 50-an menyerlahkan kesederhanaan dan kecekalannya berniaga.

Sejak berada di pusat asasi Tamhidi, Pak Cik Malindo yang lebih kami gelarkan 'Pak Cik Nak' ini sudah biasa kelihatan pada waktu petang. Kini 2013 kelibatnya masih memesrai khalayak pembeli yang senang berurusniaga dengannya.

Berkat berniaga selama ini, Pak Cik Malindo dikhabarkan akan pergi menunaikan umrah bersama isterinya tidak lama lagi.

Barangkali ini kisah biasa tentang orang biasa. Namun, rahsia Tuhan siapa yang tahu. Jaminan Allah untuk memuliakan orang yang menghargai nikmat dan tidak lupa untuk bersyukur dengan setiap kurniaan-Nya.

Benarlah firman Tuhan, sedikit sahaja hamba-Nya yang bersyukur.

Solawat.


*Kredit gambar: Umair El-Iskandari Al-Jauhari

Tiada ulasan: