Perihal Adab

“Bila duduk menghadap di depan tok guru nanti, pastikan jangan nampak bahagian kaki,” pesan sahabatku. Aku mengangguk faham. Menurut sahaja meski kurang mengerti mengapa begitu disuruhnya.

Dalam taakulan sibuk mencari maksudnya, sahabatku lantas bersuara, “Kita mesti biasakan dengan adab yang betul. Jangan semberono saja, lebih-lebih lagi bila berada dalam majlis ilmu.”.Tegas dan berkesan. Oh, kena bertertib rupanya..

Lama kemudian, aku mulai faham berdasarkan pemerhatian aku selama ini. Kebiasaan pelajar-pelajar pondok ketika duduk menadah kitab atau bertalaqqi dengan guru, mereka akan menutupi kaki mereka daripada kelihatan (sembunyikan di dalam kain pelikat). Itu antara adab semasa menuntut ilmu daripada guru, supaya tidak menimbulkan rasa kurang senang atau tidak sedap mata pengajar memandang. Sejak itu, adab itulah aku amalkan seboleh-bolehnya dalam majlis yang duduk bersimpuh, bersila, tak kira majlis ilmu, keraian atau sebaliknya.

Itulah nilai adab yang aku fahami. Adab banyak memainkan peranan dalam memastikan kehidupan yang tenang dan harmoni. Adab merupakan suatu peraturan tatatertib perilaku manusia yang begitu dititikberatkan dalam Islam. Dalam konteks belajar, adab itu sendiri mengatasi ilmu. Sehebat mana seseorang itu dalam ilmu dan pelajaran, sia-sia belaka sekiranya adab dan pekerti mulia sunyi dalam peribadi mereka.


Aku terhimbaukan kisah tadi berikutan seorang dua sahabatku di sini banyak mengomel kepadaku. Keluhan yang diluahkan itu aku tanggapi sebagai bentuk penzahiran perasaan kurang senang mereka. Ya, kurang senang terhadap sikap segelintir di kalangan kami yang seperti tiada rasa hormat dan beradab kepada pensyarah atau tutor kami.

Ada benar setiap keluhan itu. Bayangkan apabila seorang pelajar itu boleh sahaja mencelah dengan kata-kata yang pada pandangan umum seperti membidas setiap perkataan guru. Terkadang, lebih memalukan bila mereka dengan selamba bercakap dengan suara yang lantang dengan guru, seumpama bergurau-senda ketika bersama rakan-rakan. Memang galak sakan... Betapa kurangnya rasa ‘ikram’ terhadap guru yang mengajarkan ilmu kepada mereka.

Barangkali itulah hakikat zaman sekarang. Zaman menularnya keruntuhan adab dan akhlak muda-mudi. Bila difikirkan balik, memang jauh berbeza jika dibandingkan dengan pelajar zaman dahulu. Zaman ketika pelajar masih memahami martabat seorang mu’alim bagi mereka. Seandainya ada guru yang melalui suatu jalanan, pasti bergegas lari sekalian pelajar. Ada yang menyorok, ada yang berhimpit dan mengecil diri di tepian jalan.

Semua itu kerana rasa hormat yang meninggi terhadap golongan yang mencurahkan ilmu kepada mereka. Mereka takut untuk bergelar pelajar yang kurang ajar terhadap pendidik mereka. Semua itu juga disebabkan diri mereka yang memahami hakikat ilmu. Dek tersangat cintakan ilmu di dada para mursyid, murabbi, mu'allim, mereka memandang tinggi martabat guru. Di situlah letaknya keberkatan ilmu. Alangkah ruginya bagi mereka yang tidak mengerti semua itu!
Imam al-Sya’rani berkata, selama aku belajar dengan guruku, tidak pernah aku membuatkan guruku berpaling muka atau bermasam muka denganku walau sezarah pun.


Adab dan akhlak berkait rapat dengan sunnah Rasulullah s.a.w..
Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (al-hadith)

Rasulullah s.a.w. semulia-mulia manusia yang bersifat maksum. Diutuskan Baginda s.a.w. kecintaan umat beriman untuk memperelokkan dan menyempurnakan adab dan akhlak umat manusia. Tarbiyah dan taujihat yang disampaikan Baginda s.a.w. sememangnya tiada tolok banding. Kesempurnaan dalam mendidik hati dan perilaku manusia cukup mantap. Itulah didikan adab yang patut ditelusuri dan dihayati oleh kebanyakan kita sekarang, khususnya para pelajar. Apalah guna mengaji ilmu syariat, ilmu fiqh namun Rasulullah s.a.w. tauladan terbaik tidak diambil sebagai pengiktibaran dalam kehidupan sehari-hari.

Sahabat sebagai contoh, bagaimana begitu beradabnya sahabat terhadap Rasulullah s.a.w. dalam segala hal. Pernah diceritakan, seorang sahabat yang mahu berjumpa dengan Baginda s.a.w., sedangkan ketika itu dia dalam keadaan berhadas. Sebelum pergi kepada pertemuan dengan baginda s.a.w. itu, dia terlebih dahulu mengambil wudhu’. Sahabat itu ditanya oleh beberapa orang yang lain. Jawabnya, “Aku cukup bimbang seandainya ketika aku bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. nanti, aku akan tersentuh badan atau baju Rasulullah s.a.w.. atau mungkin Rasulullah s.a.w. sendiri yang akan menyentuhku.”

Nah, lihatlah betapa ikramnya para sahabat!

Ulama itu pewaris Nabi. Rasulullah bertindak sebagai mua'llim kepada sahabat dan sekalian umat. Peranan itulah yang sama dimainkan oleh para pendidik sekarang; mencurahkan dan menyebarkan ilmu yang dikurniakan Allah kepada pelajar mereka. Alangkah ruginya bagi pelajar yang miskin akhlak. Hati meronta-ronta inginkan ilmu tapi sia-sia usaha mereka jika masih berterusan berlaku kurang adab terhadap guru. Hilang barakah, hilang keredhaan Allah.Tiada gunanya mengaji siang dan malam, seandainya berkat tidak mengiringinya. Hal ini kerana adab itu bisa menjadi asbab terhijabnya ilmu dalam jiwa manusia. Nauzubillah.


Dan aku terkenang akan rangkap pantun Tongkat Warrant...


Berburu ke padang datar,

dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
bagai bunga kembang tak jadi.

Alahai...

p/s: Pesanan ikhlas - duhai sekalian sahabat banat sekuliahku, cantikkan dirimu dengan beradab mulia terhadap pensyarah/tutor kita. Mohon sangat-sangat...

Tiada ulasan: