Memburu Mursyid

"Syeikh, ini gambar mursyid aku. Kalau kau nak tahu, pengikutnya ramai. Mencecah ribu-ribu orang."

Kadang-kadang ada juga orang sebegini. Suka berbangga-bangga dengan gurunya. Sering dia perkatakan kehebatan gurunya. Tidak kira dari segi ilmunya, akhlaknya, dan ada yang mendakwa, itulah dia wali.

Persoalan sekarang, adakah semudah itu untuk kita mengenali mursyid? Adakah label mursyid itu layak diberi kepada sesiapa sahaja yang dikatakan faqih, alim dan bergaya murabbi? Dan apakah natijah yang akan kita peroleh hanya sekadar berbangga-bangga dengan guru?

Siapakah mursyid sebenarnya?

Mursyid adalah satu tanda pengenalan sesorang itu mampu membimbing anak muridnya menuju Allah. Tidak ingin dikenali dan selalunya jejaknya sukar untuk di kenal pasti. Mereka ini membimbing kepada orang yang benar-benar ikhlas untuk menuju Allah.

Ya, mursyid itu wali Allah, namun bukan semua wali itu mursyid. Salah satu cara untuk kita mengenal orang itu mursyid atau tidak, apabila ucapan-ucapannya itu tembus ke hati,dan kita rasa gentar apabila dia menyebut perihal Allah, dan janji-janji-Nya.

Sahabatku, kita semua memerlukan mursyid dalam hidup kita. Sedangkan Rasulullah s.a.w. yang kita cintai sepenuh hati mempunyai mursyid yang hebat. Sayyidina Jibrail a.s. membimbing Rasulullah s.a.w. menuju Allah.

Inikan kita yang hidup sehari-hari banyak bergumam dengan lagu-lagu. Pedoman banyak kita ambil daripada peti televisyen. Kita lebih thiqah kepada laman-laman internet Islam yang kita kagumi pengisiannya. Kita lebih gemar dipuji dalam blog seakan-akan kita sudah suci dan faqih. Kita teruja bila ramai teman berdampingan dengan kita kerana kebagusan pada mata zahir mereka.

Hakikatnya, kita ketiadaan mursyid. Kita tiada seorang yang hadir untuk menegur kesilapan kita. Seorang yang dihantar oleh Allah untuk menjernihkan jiwa kita. Kita tidak mempunyai seorang yang menutur kalam mutiara untuk kita beresak tangis menyesali betapa karatnya hati kita. Kita banyak mengenderai hidup kita dengan ilmu yang kononnya kita hadam sejak dahulu.

Alangkah ruginya kita. Hidup sekejap di dunia tapi tiada bimbingan yang sejujur mungkin. Rugi, tersangat rugi...

Balik Ganu

Malam ini bertolak pulang ke Terengganu. Dalam hati, sedikit berkecamuk sebenarnya. Bila memikirkan ada beberapa perkara yang belum disudahkan, terasa bimbang juga, terutamanya bila ditangguhkan, akan memberi beban kepada orang orang lain.

Moga-moga Allah mempermudahkan segalanya. Dan petang ini seboleh-boleh aku ingin tumpukan gerak kerja yang berbaki. Barangkali terpaksa aku percepatkan beberapa urusan yang berkaitan. Takut-takut ketiadaan lima hari akan membantutkan kerja sahabat-sahabat di sini.

Aku mohon maaf kalau ada di kalangan sahabat yang sama-sama dengan aku kurang senang bila aku sedikit menekan dan bertegas. Hasrat aku sekadar mahu memudahkan kerja tanpa mengambil masa yang lama. Tapi tak mengapa. Lama-lama akan ada yang memahami. Apa yang utama, tindakan kita adalah tindakan bersama. Insya-Allah segalanya akan beres.

Aku balik atas beberapa sebab. Selain komitmen yang wajib terhadap keluarga, aku merenung kalendar dan menimbang-nimbang catatan pada planner. Memang minggu ni sahaja kelapangan yang aku ada. Tiada sebarang urusan penting atau apa-apa program. Berbanding minggu-minggu seterusnya yang banyak perkara perlu difokus.

Semalam, sedikit terkilan bila mendapati tiket bas untuk esok sudah kehabisan. Dalam kepala, hanya sekadar mengagak. Harap-harap bas ada berhenti di pertengahan jalan malam nanti. Dan harap-harap, aku tak terlepas babak-babak pertembungan gergasi Eropah awal pagi nanti. Harap-harap sangat....

Ahlan ya ikhwah, ahlan ya akhawat

Kampus Nilai kini sudah menerima kedatangan kumpulan mahasiswa yang memasuki program asasi Tamhidi Usim. Kesemuanya merupakan lepasan SPM yang memilih program-program utama matrikulasi yang ditawarkan di sini sebelum meneruskan pengajian di peringkat sarjana muda.

Memandangkan ketidakcukupan bilangan pembantu urusetia, kami secara kebetulan ditawarkan untuk turut sama membantu gerak kerja sepanjang Minggu Taaruf bagi sesi kali ini. Wah, pucuk dicita ulam mendatang.

Empat hari beserta elaun dan makan minum sepanjang hari, kami siap dan bersedia. Mengisi waktu senggang ketika semester pendek yang cukup mengeringkan duit poket, memang agak membantu aku berjimat dengan penuh cermat. Syukur, syukur.

Untuk pengambilan kali ini, seramai lebih kurang 450 orang pelajar baru yang diterima masuk Usim. Jumlah sekitar itu bagi aku sudah dikira memadai meski tidak mencapai sasaran awal. Sekurang-kurangnya pengurusan dan kebajikan pelajar dapat dipantau dengan lebih berkesan.

Sepanjang dua hari program taaruf kelolaan HEP tersebut, tugasan bagi urusetia tidak menentu. Kebanyakan sebelum hari pendaftaran, tertumpu pada persiapan tempat dan teknikal. Pada hari pertama, aku mengambil peranan di bahagian sambutan dan pendaftaran.

Meski letih keting dan kering tekak jadi pak pacak di hadapan dewan yang sibuk, kira berbaloi jugalah sebab berpeluang untuk berinteraksi dengan ibu bapa dan ahli keluarga dari pelbagai negeri. Tambah seronok bila dapat berbual dengan dua orang cikgu sekolah lama dan beberapa junior aku dari Terengganu.


Selesai sahaja proses pendaftaran pelajar, aku menawarkan diri untuk membantu unit makanan. Macam biasa, posisi yang mengenyangkan lagi merehatkan. Bila sudah tak ada kerja sangat, barulah aku secara sukarela beraksi sebagai jurukamera. Juga posisi yang kena dengan aku. Baik-baik, jaga pandangan kamu. Itu pesan Kak Ainul awal-awal.


Letih mendengar ucapan NC agaknya.

Biasalah, aku pun macam ni jugak dulu (...sampai sekarang.)

Ini aku confuse sikit. Tapi yang pasti, bukan mimpi markah kasihan.

Jangan silap faham. Ni bukan kena tangkap berdua-duaan, ya..

Kebanyakan yang aku perhatikan dari kaca mata seorang senior (cecece..), ramai nampak baik-baik belaka. Maklumlah, pelajar baru. Tapi memang tak dinafikan, jika dilihat pada keluarga yang hadir waktu pendaftaran, memang sejuk mata memandang. Sememangnya anak yang soleh lahir dan membesar dari keluarga yang soleh. Mudah-mudahan semuanya elok tingkah pekerti, amin.

Bakal junior aku kat FSU...buli jom buli..

Telatah dan ragam pelajar baru, semua orang sudah termaklum. Teruja masuk universiti, seronok tapi tersipu-sipu jumpa teman baru, malahan ada takut-takut berjauhan dengan keluarga. Gambaran yang biasa kita lihat, dan pernah kita lalui dahulu.

homesick...


Pada awalnya tugas aku hanya di kolej kediaman, tapi bila sudah terlibat langsung di kampus, makanya tak berpeluanglah untuk aku bantu sahabat-sahabat yang setia berperanan menolong pelajar yang mendaftar masuk KK. Mendengar ulasan pengetua kolej aku, rata-rata ramai memuji proses pengurusan masuk kediaman. Nasib baiklah ramai AJK yang ada short sem yang sudi membantu. Terima kasih, terima kasih.

sesi mengecam bakat terpendam...

ha, yang dua orang duduk tersengih macam kera kena belacan ni junior sekolah aku dulu. Nakal dahulu kini dan selamanya. Heheh



Kejutan malam apresiasi seni - selamat hari lahir ya, adik-adik...

sebahagian daripada urusetia mahasiswa MT 09/10.


Kalau tak ada aral melintang, insyaAllah kemasukan pelajar sarjana muda hujung bulan depan aku cuba turut serta sekali lagi. Sesiapa yang rasa-rasa hendak berbakti kepada pelajar-pelajar baru, nak hilangkan boring sebab tak tahu nak buat apa-apa, nak tambah wang saku, dan nak men'capap', boleh pergi ke HEP untuk borang permohonan urusetia tambahan.



Awas Budaya Khamar

Kini timbul fenomena yang agak membimbangkan kita. Usaha membudayakan khamar dilihat cuba diserap perlahan-lahan kepada masyarakat Islam di negara ini.

Misalnya, Carlsberg Brewery Malaysia Bhd baru-baru ini bertekad untuk mengeluarkan bir tanpa alkohol dalam pelan pemasaran syarikat mereka. Bir tersebut akan dikeluarkan dari kilang yang sama memproses minuman beralkohol yang lain keluaran syarikat tersebut.

Sebelum itu juga, syarikat pengeluar arak Guiness Stout berjaya memasarkan produk air minuman Guiness Malta. Minuman malt yang sudah menembusi pasaran tempatan itu dikilangkan oleh Guiness Anchor Berhad.

Terbaru, syarikat pengeluar minuman 'Istak' pula bersedia untuk mengeluarkan minuman malt berperisa yang dikatakan sebagai bir alternatif kerana tidak mengandungi alkohol. Syarikat berpangkalan di Iran itu menyakinkan pengguna Islam bahawa minuman itu tidak memabukkan, bahkan kandungannya baik untuk kesihatan. Istak dihasilkan melalui pemilihan malt - bijirin biasanya barli yang diperam.

Persoalan yang timbul, apakah hukum bagi orang Islam minum minuman bir seperti yang disebutkan tadi? Adakah ia ditentukan pada kandungan (substances) minuman atau penggunaan istilah nama yang digunapakai (beer) bagi minuman itu?

Qias menjelaskan hukum

Dalam kaedah usul fiqh, sesuatu perkara baru yang tiada kedapatan nas pada menentukan hukum syara' ke atasnya, maka digunakan qias sebagai kaedah yang disepakati untuk memudahkan fuqaha' menetapkan hukum bagi perkara baru itu.

Dalam isu ini, kita menqiaskan bir tanpa alkohol dengan arak. Sementara 'illah(ratio decidendi) bagi hukum asal iaitu haram, adalah memabukkan.

Dalam hal ini, memabukkan akan menjadi penentu sama ada biar tanpa alkohol itu adalah haram untuk diminum atau tidak. Atau dalam erti kata lain, 'memabukkan' itu yang akan menjadi titik temu dalam menyamakan hukum bagi sesuatu perkara yang baharu dan yang sudah termaktub dalam nas.

Justeru, dalam isu ini, berdasarkan apa yang dilihat pada zat dan kandungan di dalamnya, hukumnya adalah harus, dan dibolehkan, kerana tiada kandungan alkohol yang menjadi asbab kemabukan dan lantas, tidak membawa kesan memabukkan selepas meminumnya.

Kemudian, timbul pula isu yang lain. Bagaimana pula dengan nama atau istilah yang digunakan? Adakah 'bir' itu boleh diterima pakai, dalam konteks masyarakat dan 'uruf di sini?

Bagi kita sebagai Muslim, perkataan 'bir' atau dengan ejaan 'beer' itu sendiri dilihat sinonim dengan minuman beralkohol. Maka, mereka seboleh-boleh untuk cuba menjauhkan diri dari meminumnya meski ia bukan arak sebenar.

Sama seperti lambang cross dalam Kristian juga. Umat Islam sangat menjaga hinggakan apa-apa yang dilihat cuba menyelitkan simbol seperti palang salib adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Ini bukan mentaliti dangkal. Ini suatu nilai yang sudah terpasak dan tersebati dalam minda orang Islam. Kita tidak boleh untuk mengelak daripada hal seperti itu.

Ini juga bukan isu penafian kebebasan beragama, kerana sensitiviti yang terzahir adalah fitrah pada diri umat Islam. Seluruh umat Islam terasa berdosa bila hanya mampu melihat negara tercinta ini menjadi pengeluar arak terbesar untuk pasaran dalam dan luar negara.

Sikap sebegini sebenarnya tetap berpijak pada syara'. Umum mengetahui bahawa air minuman apa sekalipun, jika dibayangkan air minuman tersebut sebagai arak, maka hukumnya adalah haram kerana menganggap ianya sebagai arak untuk diminum.

Sekiranya minuman bir tidak beralkohol sebegitu berleluasa, maka dapat kita jangka akan adanya kelompok anak muda yang berbangga apabila memegang botol minuman tersebut dan meneguknya dengan gaya meniru pelakuan si peminum arak.

Apakah natijah seperti ini yang kita inginkan?


Memelihara kemaslahatan

Islam agama yang selamat dan menyakinkan. Sesuatu yang menimbulkan keraguan dan syak, tidak diterima sebagai penthabitan syara'. Dalam menentukan hukum bagi minuman yang diragui ia adalah jenis khamar atau tidak, perlu kita fahami beberapa perkara.

Hasrat pengeluar dari Iran itu memang asalnya berniat baik. Satu potensi besar untuk perkembangan ekonomi umat Islam. Malangnya, ia bertukar menjadi fitnah besar kepada masyarakat bila dilihat dalam jangka masa panjang.

Mungkin akan ada yang beralasan tipikal, jangan terlalu tertutup dalam menerima sesuatu pembaharuan, jangan berfikiran kolot dan sempit, atau jangan hanya sibuk menekan pada perkara-perkara ranting(furu') semata-mata.

Isu ini adalah isu ijtima'i. Mahukah kita membiarkan sensitiviti dan kebiasaan orang Islam diabaikan dalam hal ini?

Dari sudut pandang siasah syar'iyyah, penerimaan budaya khamar sebegini harus dielakkan kerana dikhuatiri mengelirukan dan menjerumuskan kepada perkara yang lebih buruk.Sewajarnya ia tidak boleh dibuka seluas-luasnya bagi khalayak awam atas beberapa sebab:

1. Menutup jalan kejahatan (saddul zaraa-i'). Dibimbangi langkah memperkenalkan bir tanpa alkohol sebegini akan membuka ruang kepada orang Islam untuk mencuba liquor atau bir beralkohol pula. Juga, akan ada yang mengambil kesempatan untuk berselindung ketika meminum arak dengan alasan ia tidak beralkohol.

2. Mengelirukan umat Islam, khususnya generasi muda yang mudah terdedah kepada perkara-perkara yang bercampur sebegini. Kurangnya penjelasan dalam isu ini akan membuatkan umat Islam tidak dapat lagi membezakan yang mana halal dan yang mana haram.

3. Mengekang usaha-usaha licik pihak bukan Islam yang cuba mengubah persepsi masyarakat Islam tentang budaya meminum arak. Jika dibiarkan, lama-kelamaan umat Islam tidak lagi memberatkan hukum minuman arak seperti yang difahami dalam nas Al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w..

Jalan keluar

Penyelesaian bagi isu ini sebenarnya terletak pada kuasa pemerintah. Mereka yang menentukan sama ada ia boleh dijual kepada umum atau tidak. Pihak pemerintah jugalah yang akan menggariskan peraturan penjualan arak dan menguatkuasakan perintah larangan.

Cuma, sebagai meraikan semua pihak, adalah terlebih baik bagi pihak pengeluar minuman tersebut untuk menjaga sensitiviti komuniti Muslim di negara ini.

Sebagai contoh, mengubah nama yang lebih mesra pengguna Muslim. Label serta pembotolan juga perlu dibezakan daripada tin atau botol minuman bir beralkohol yang biasa kita lihat. Takut-takut jika mempunyai persamaan jika dipandang, dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.

Untuk minum atau tidak, ia terpulang kepada peminum itu sendiri. Barangkali hadith Nabi s.a.w. di bawah ini wajar diambil pedoman kepada kita sebagai umat Islam, bagaimana Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada umatnya yang meniru atau mencontohi sesuatu kaum dari segi perilaku, budaya dan penampilan.



من تشبه بقوم فهو منهم

"Barangsiapa meniru sesuatu kaum maka dia adalah sebahagian dari mereka."




Direkodkan oleh Abu Daud, diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a, Sunan Abu Daud, no: 4031; Ibn Hibban, no: 437 dalam Bulughul Maram, hadith ini sahih; Zaila’ie dalam Nusub ar-Rayah, 4/347; Haithami, Majmak Zawaid, 10/274; Fathul Bari, Al-Hafidz al-Asqalani, 6/166, 10/282 – darjat hadith: hasan; Al-Albani, Ghayatul Maram, no: 198, darjat hadith: Sahih.

Tepuk dada, tanyalah iman!