Kunjungan ke Haul

Petang tadi aku menerima khabar dari Kota Bharu. Majlis Haul al-Haddad telah selamat diadakan di kediaman Dato' Husam Musa yang dikelolakan oleh para habaib di sana. Menurut sahabat aku, majlis tersebut turut dihadiri oleh Tuan Guru MB.


Barangkali sebilangan sahabat tertanya-tanya apa itu majlis Haul. Program tersebut adalah bertujuan memperingati pemergian Al-Imam Qutub Al-Irshad Al-Habib Abdullah bin Alawi bin Muhammad Al-Haddad, seorang ulama besar dan mujaddid di zamannya di Hadhramaut. program ini diadakan saban tahun pada awal Zulkaedah dan disambut di kalangan para Ba' Alawi(atau lebih dikenali dengan Alawiyyin).

Majlis Haul Al-Haddad kebiasaannya menjadi tumpuan lantaran ramai ulama' seantero dunia yang turun ke majlis ini, antaranya dari Indonesia, Yaman, Mesir, Singapura dan sekitar Nusantara. Ia dijayakan di seluruh negara dari 13 hingga 25 Nov. Kemuncak program pula telah diadakan di Masjid Baitul Aman, Jalan Ampang pada Sabtu lalu.

Dengan izin Tuhan, aku diberi kesempatan untuk sama-sama mengikuti kemuncak Haul tersebut. Kebetulan pula sehari sebelum itu, baru sahaja usai bergelut dengan kertas ujian terakhir. Maka, 'hari kemerdekaan' seeloknya tidak dipersiakan begitu sahaja. Tambahan pula, peluang berada di majlis sebegini jarang kedapatan dan wajar dialami sendiri.


Seketika tatkala berada di sana, melihatkan sambutan menggalakkan daripada khalayak yang hadir, membuatkan hati ditimpa sayu merumbu-rumbu. Cukup mengharukan kala menyaksikan menebalnya kecintaan mereka terhadap golongan ulama'. Hadir mereka atas dasar kasih sayang, menuruti jalan para 'alim rabbani yang berpandu Al-Quran dan Sunnah.

Mereka bertunjangkan matlamat yang satu; Cinta Allah. Mereka mendambakan sinar hikmah dan mutiara iman yang bernilai untuk diisi dalam bejana hati, agar tambah akrab jiwa mereka dengan Tuhan. Ya Allah, rahmatilah majlis ini!

Sepanjang beriktikaf dan mengikuti majlis tersebut, dapat dirasai pencerahan demi pencerahan hadir menerangi kotak fikiran. Dihiasi dengan untaian hikmah-hikmah para ulama'. Juga saat bersyahduan dengan alunan qasidah munajat mengagungkan Allah dan memuji kekasih-Nya, begitu indah menampan kalbu.

Apa yang menarik bagi aku tentang majlis ini adalah dari segi bentuk pengisian yang benar-benar mengesankan jiwa yang hadir. Serta perjalanan program yang lancar dan teratur meskipun hanya sekitar satu malam. Paling mengujakan, berpeluang untuk bersemuka dan berkucupan tangan mengambil berkat dengan para 'alim dan ulama yang dikasihi Allah. Maha suci Engkau Tuhan, menempatkan hamba untuk bersama golongan soleh meski seketika.

Antara yang hadir dan diingat; Syeikh Afeefuddin Gaylani(nasab ke-17 waliyuLlah Syeikh Abdul Qadir Jailani), Habib Jindan, Habib Munzir, Habib Zain Al-Habshee dan Shaikh Dr. Saad bin Saad Jawish(Al-Azhar). Juga diserikan dengan kehadiran para 'alim ulama tempatan, antaranya Syeikh Fuad Kamaluddin Rembau, Tuan Guru Syeikh Fahmi Zam Zam (Pondok Derang), Tuan Guru Muhammad Hafiz Selamat dari Pondok Jenderam dan ramai lagi yang kebanyakannya adalah Haba'ib sadah alawi dan dari pondok-pondok semenanjung.

Tiada apalah sangat apa yang ingin aku khabarkan. Cukup sekadar ingin berkongsi pengalaman dan perasaan syukur diberi kesempatan sebegini oleh Allah. Sungguh majlis itu begitu berbekas dalam jiwa. Bila dikenang-kenang kembali, hati kembali diruntun sayu.

Jiwa mana tak keruan bila terkenang akan ramai di luar sana yang masih buta hatinya untuk melihat raut tenang para ulama' dikasihi Allah dan sudi mendengar mutiara kalam mereka. Jiwa mana tak dihambat sayu tatkala mengamati muda-mudi sekarang yang masih tercengang melongo bila disebut nama para 'alim, sedangkan bila ditanya tentang yang lain - pantas terhambur dari mulut nama-nama pelakon Korea dan bintang bola sepak Inggeris. Aku sendiri sebegitu. Aduh. jauh..jauh..

Rupa-rupanya kita ini banyak benar terpaut pada dunia. Nafsu sering dibiar mengendalai hidup. Takut-takut diri tetap sama, mendatar iman. Lebih gusar, makin menjunam hati ini ke lubuk maksiat, lantas makin menjauh dari Tuhan. Hanya secebis harap, moga diterbitkan rasa agar menjadikan pengalaman menghadiri majlis ini bisa menjadi tazkirah hidup untuk kemudian hari.

Semoga apa yang ditulis ini, mendorong ke arah ketukan hati. Kerna hidayah itu laksana simbahan cahaya. Tak akan disapa kamar yang tak dibuka jendelanya.
Mohon hidayah-Mu...
p/s: Penghargaan dan terima kasih kepada sahabat Badrul Hisham(abufaqir) atas pelawaan dan meraikan kehadiran aku ke majlis. Juga terima kasih kepada Nazmi(UIA) dan Umar Mukhtar kerana sudi menjadi teman mengecap nikmat Cinta.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam. sayang majlis sedemikian hebat sukar wujud untuk memperingati pemergian Imamul 'Ulama' yakni Nabi Muhammad s.a.w sendiri.