wa.kena.beb.


Entah mengapa aku secara tiba-tiba terkesan dengan bait-bait lirik ni. Terasa lagu ni dengan 'selamba badak'nya menyindir aku bila mendengarnya. Macam kena tembak. Dush..

Rancang dengan apa yang ada di tangan * Bukan yang kita angan-angankan
Kita membina cita dan harapan * Bukan mimpi dan igauan
Perancangan perlu diperhati * Agar tertib rapi dan teliti
Matlamat dan caranya selari * Masa pun harus diambil kira

Dan kemudian, secara 'tak sengaja dalam sengaja'nya pula tatkala menjengah blog rakan sekolah lama aku, Mr Ridhuan, aku ditampar pula dengan begitu empuk sekali oleh sesuatu kata-kata.
"at home, first priority is revising." ..Hurm?

Aduh, kena lagi!
# Bacaan motivasi santai daripada mantan Ydp MPP, saudara Hariri Daud di sini.

* Hebahan - Daurah Bersama Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki pada 6-12 Disember di Pondok Lubuk Tapah, Kelantan. Aturcara dan butiran lanjut daurah di sini. Sahabat yang berkesempatan waktu dan punyai ruang, amat dianjurkan mengikutinya. Insya-Allah setiap pengajian bersanad membawa barokah yang berkekalan.

Kunjungan ke Haul

Petang tadi aku menerima khabar dari Kota Bharu. Majlis Haul al-Haddad telah selamat diadakan di kediaman Dato' Husam Musa yang dikelolakan oleh para habaib di sana. Menurut sahabat aku, majlis tersebut turut dihadiri oleh Tuan Guru MB.


Barangkali sebilangan sahabat tertanya-tanya apa itu majlis Haul. Program tersebut adalah bertujuan memperingati pemergian Al-Imam Qutub Al-Irshad Al-Habib Abdullah bin Alawi bin Muhammad Al-Haddad, seorang ulama besar dan mujaddid di zamannya di Hadhramaut. program ini diadakan saban tahun pada awal Zulkaedah dan disambut di kalangan para Ba' Alawi(atau lebih dikenali dengan Alawiyyin).

Majlis Haul Al-Haddad kebiasaannya menjadi tumpuan lantaran ramai ulama' seantero dunia yang turun ke majlis ini, antaranya dari Indonesia, Yaman, Mesir, Singapura dan sekitar Nusantara. Ia dijayakan di seluruh negara dari 13 hingga 25 Nov. Kemuncak program pula telah diadakan di Masjid Baitul Aman, Jalan Ampang pada Sabtu lalu.

Dengan izin Tuhan, aku diberi kesempatan untuk sama-sama mengikuti kemuncak Haul tersebut. Kebetulan pula sehari sebelum itu, baru sahaja usai bergelut dengan kertas ujian terakhir. Maka, 'hari kemerdekaan' seeloknya tidak dipersiakan begitu sahaja. Tambahan pula, peluang berada di majlis sebegini jarang kedapatan dan wajar dialami sendiri.


Seketika tatkala berada di sana, melihatkan sambutan menggalakkan daripada khalayak yang hadir, membuatkan hati ditimpa sayu merumbu-rumbu. Cukup mengharukan kala menyaksikan menebalnya kecintaan mereka terhadap golongan ulama'. Hadir mereka atas dasar kasih sayang, menuruti jalan para 'alim rabbani yang berpandu Al-Quran dan Sunnah.

Mereka bertunjangkan matlamat yang satu; Cinta Allah. Mereka mendambakan sinar hikmah dan mutiara iman yang bernilai untuk diisi dalam bejana hati, agar tambah akrab jiwa mereka dengan Tuhan. Ya Allah, rahmatilah majlis ini!

Sepanjang beriktikaf dan mengikuti majlis tersebut, dapat dirasai pencerahan demi pencerahan hadir menerangi kotak fikiran. Dihiasi dengan untaian hikmah-hikmah para ulama'. Juga saat bersyahduan dengan alunan qasidah munajat mengagungkan Allah dan memuji kekasih-Nya, begitu indah menampan kalbu.

Apa yang menarik bagi aku tentang majlis ini adalah dari segi bentuk pengisian yang benar-benar mengesankan jiwa yang hadir. Serta perjalanan program yang lancar dan teratur meskipun hanya sekitar satu malam. Paling mengujakan, berpeluang untuk bersemuka dan berkucupan tangan mengambil berkat dengan para 'alim dan ulama yang dikasihi Allah. Maha suci Engkau Tuhan, menempatkan hamba untuk bersama golongan soleh meski seketika.

Antara yang hadir dan diingat; Syeikh Afeefuddin Gaylani(nasab ke-17 waliyuLlah Syeikh Abdul Qadir Jailani), Habib Jindan, Habib Munzir, Habib Zain Al-Habshee dan Shaikh Dr. Saad bin Saad Jawish(Al-Azhar). Juga diserikan dengan kehadiran para 'alim ulama tempatan, antaranya Syeikh Fuad Kamaluddin Rembau, Tuan Guru Syeikh Fahmi Zam Zam (Pondok Derang), Tuan Guru Muhammad Hafiz Selamat dari Pondok Jenderam dan ramai lagi yang kebanyakannya adalah Haba'ib sadah alawi dan dari pondok-pondok semenanjung.

Tiada apalah sangat apa yang ingin aku khabarkan. Cukup sekadar ingin berkongsi pengalaman dan perasaan syukur diberi kesempatan sebegini oleh Allah. Sungguh majlis itu begitu berbekas dalam jiwa. Bila dikenang-kenang kembali, hati kembali diruntun sayu.

Jiwa mana tak keruan bila terkenang akan ramai di luar sana yang masih buta hatinya untuk melihat raut tenang para ulama' dikasihi Allah dan sudi mendengar mutiara kalam mereka. Jiwa mana tak dihambat sayu tatkala mengamati muda-mudi sekarang yang masih tercengang melongo bila disebut nama para 'alim, sedangkan bila ditanya tentang yang lain - pantas terhambur dari mulut nama-nama pelakon Korea dan bintang bola sepak Inggeris. Aku sendiri sebegitu. Aduh. jauh..jauh..

Rupa-rupanya kita ini banyak benar terpaut pada dunia. Nafsu sering dibiar mengendalai hidup. Takut-takut diri tetap sama, mendatar iman. Lebih gusar, makin menjunam hati ini ke lubuk maksiat, lantas makin menjauh dari Tuhan. Hanya secebis harap, moga diterbitkan rasa agar menjadikan pengalaman menghadiri majlis ini bisa menjadi tazkirah hidup untuk kemudian hari.

Semoga apa yang ditulis ini, mendorong ke arah ketukan hati. Kerna hidayah itu laksana simbahan cahaya. Tak akan disapa kamar yang tak dibuka jendelanya.
Mohon hidayah-Mu...
p/s: Penghargaan dan terima kasih kepada sahabat Badrul Hisham(abufaqir) atas pelawaan dan meraikan kehadiran aku ke majlis. Juga terima kasih kepada Nazmi(UIA) dan Umar Mukhtar kerana sudi menjadi teman mengecap nikmat Cinta.

Cuti


Antara rutin bagiku kala pulang ke kampung adalah berkunjung ke pantai berhampiran rumah aku. Bersendirian di sana lebih baik untuk selesa aku bergumam dalam keasyikan bertemankan alam ciptaan Tuhan. Mata dipejam dengan himbauan kisah yang hadir berpuput.

Pastinya, pantai banyak merakamkan kenangan manis sedari kecil hingga aku meningkat usia kini. Memori bermesraan dengan ombak yang gelora dalam tenang, bertemankan bayu laut lembut membelai pipi, juga pasir pantai persih yang suci terhampar sukar diluntur dalam benak ingatan.

Berada di pesisir pantai, terbentang lukisan alam menghimpun layar rencam sang makhluk yang berupaya membenih inspirasi, membuah rasa. Mata terasa segar seiring hati yang nyaman dilolos angin menyusup masuk. Gelora lautan luas sayup kejauhan membawa badai ombak mesra mencumbui pantai. Hati pun tersenyum. Rasa terhibur menyaksikan dua makhluk Tuhan tak terpisahkan itu, bercanda riang.


Seketika, terlintas di hati akan beruntungnya seandainya diri ini adalah pantai dan ombak. Hidup diatur Tuhan menjadi latar dunia yang indah. Hidup berperanan mengimbangi hiruk-pikuk jalur kemodenan yang melemaskan. Biarlah seperti ombak, bersungguh menghempas pantai untuk mencuci nista kotor di pesisir. Pantai tidak pula beriak marah bahkan menerima sapaan badai dengan hamparan terbuka, tanda setia menjadi teman buat selamanya.

Alangkah damainya terasa hidup sebegitu, ditambah dengan hadirnya sahabat seumpama bayu. Tak kelihatan tapi senantiasa berbakti dan kekal dirasai untuk dinikmati manusia. Mandala ciptaan Ilahi begitu menganugerahkan kedamaian jiwa dalam diri.

Aku kekal di situ. Berhening dengan alam. Mata terus tertancap pada panorama alam menakjubkan. Sesekali desupan angin semilir lembut mengulit rasa, mengocak keheningan hati. Dari seluas saujana pemandangan lautan, sayup kedengaran bayu pantai berbisik, "Cinta.. Cinta.. Cinta..."

Sungguh, pantai sesuai menjadi tempat meluah rasa. Pantai berupaya menjadi pengubat resah hati yang rusuh. Pantai mengajar banyak erti kehidupan. Bertapak di tepian samudera mendorong diri untuk merenung dan menginsafi hakikat hamba. Wajiblah ke atas diri untuk mengimani maksud kalam Tuhan yang menyarankan hamba-Nya agar berfikir, merenung alam kejadian, bertadabbur iktibar dan hikmah aturan kejadian alam.


Tuhan,
izinkan aku bertapak berdekat,
mahu menghirup manis damai-Mu,
mekar sukma dalam lautan Cinta,
bersulam indah dengan sinar pawana.

Tuhan,
izinkan aku mengharung badai,
mendakap erat dengan fitrah alam,
berkongsi luhur rasa dan meluluh dosa,
biar terhakis palitan kotor duniawi menghina.

Tuhan,
izinkan aku menyelam ke dasar,
menyelak tabir maknawi cinta-Mu,
meski tidak mudah bagi seorang hamba,
menggapai manikam tak terungkapkan.

Tuhan,
izinkan aku merapat berkasih,
bukan bersama bekal jiwa pendusta,
tapi hadirku dengan pawana hidayah-Mu,
agar dikurnia pengertian hakiki.

Tuhan,
hamparan lautan-Mu ingin aku selami,
bersama gelora Cinta hadir menguji,
berendam berdingin dalam maghfirah,
biar hati kudus amal badani pun tulus.

Tuhan!
Maha suci Engkau,
Sesungguhnya hamba-Mu ini di kalangan orang yang zalim.

# Hebahan - Program Pengajian Tradisional(kitab turath) dan Pondok Intensif akan diadakan selama 2-3 minggu sepanjang cuti sekolah/cuti semester IPT hujung tahun ini, yang dianjurkan dan dikelolakan oleh Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumboh. Sahabat-sahabat yang berkelapangan dan berkemampuan adalah disarankan untuk turut serta dalam program tersebut. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi web http://aki2004.tripod.com/.

'exam mood'

Sekarang ni musim periksa. Maka ber'uzlah'lah sekalian pelajar dalam menekuni buku dan nota, sehingga ada bersengkang mata, menahan kantuk dek asyik berteleku di meja belajar. Harapnya dalam kita sibuk membangunkan potensi akal, jangan lupa membugarkan ruh dengan ketaatan dan keheningan jiwa untuk berdekat dengan-Nya.

Tinggal tiga kertas lagi yang bakal aku duduki. Seminggu berjeda tanpa sebarang ujian perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Bertangguh dalam ulang kaji sakit akibatnya. Mudah-mudahan diberi ruang yang mencukupi untuk dihadami dengan baik segala apa yang dihadap.

Ada kala saat-saat sebegini, tatkala masing-masing khali dengan urusan mempersiapkan diri, kita terlupakan sesuatu. Suatu yang jika diabaikan teramatlah celaka baginya. Maaf jika bunyinya kasar, tapi itulah yang selayaknya dinyatakan.

Hakikat ubudiyyah yang jarang sekali manusia pegangi dan amati. hakikat ini memberi suatu faham yang bermakna, iaitu seorang hamba tidak melihat setiap apa yang Allah berikan kepadanya adalah miliknya sendiri. Mengapa begitu? Kerana hamba seperti kita ini tiada hak milik.

Kita bukanlah kekal abadi. Segala apa yang kita peroleh dan miliki semuanya milik Allah. Dalam konteks seorang pelajar, ilmu itu adalah milik Allah. Bukan milik mutlak diri pelajar itu sendiri. Dengan mengimani hakikat ubudiyyah ini, maka jelaslah pendirian dan perjuangan seseorang pelajar itu. Sedia maklum apabila ada sebilangan pelajar yang sugul bila tidak sempat membuat ulangkaji. Juga gundah dan sedih bila gagal menyudahi sesuatu jawapan dalam periksa. Bahkan ada yang lebih teruk mencemuh dan menyumpah semata-mata kerana kegagalan diri dalam suatu ujian dan pelajaran. Bukan sebab di malas atau sambil lewa, tetapi kerana gagal dalam memahami hakikat ubudiyyah.

Ilmu pada hakikinya tidak akan diperoleh hanya dengan proses belajar. Ilmu itu adalah cahaya, sinar petunjuk. Untuk mendapatkan ilmu perlulah terlebih dahulu memahami hakikat ubudiyyah. Apabila seseorang itu menghayati dan mengamalkan kehambaan dalam dirinya, barulah ilmu menjunam dan melekat di sanubari. Dan kemudian Allah pun akan memberi pengertian penuh maknawi.

Faham sebeginilah yang perlu disuguh dan dicerna dengan baik kepada diri pelajar. Natijah daripadanya agar seseorang pelajar itu beroleh pencerahan dengan ilmu yang ditekuni. Bukan semata-mata mengejar anugerah dekan atau skor markah tertinggi, tapi dengan ilmu yang dipelajari menjerumuskan diri pelajar itu kepada hakikat seorang hamba.

Alangkah hebatnya jiwa ketika itu. Hati tiada resah. Jiwa tiada gundah. Ketenangan turun menggerimis menjadi gebar salju jiwa hamba. Terasa begitu hening dan mendamaikan sekali.

Aku menulis ini dengan harapan dapat membawa manfaat kepada diri aku sendiri. Adat seorang muda betah, besar di bawah tebu berlingkar, perlu sokongan dan bimbingan yang rapi. Aku pinta agar sahabat-sahabat yang berhati bersih dan alim bisa memberi ruang tunjuk ajar untuk aku dalam proses pencerahan hikmah.

Sekalian sahabat seperjuangan, aku doakan semoga selamat menyudahi hari-hari getir perjuangan ini dengan kesungguhan amal di samping kebergantungan yang tidak putus kepada Allah. Kerna rabitah antara Tuhan dan hamba-Nya teramatlah tinggi dan suci.

"Ya Ilaahi anta maqsudii wa ridho kamatlubi"


# Kala minggu rusuh sebegini, teruja seketika bila Sultan Alaudin datang menggamit, seakan mahu meredakan rasak tekanan di hati. Paling melucukan, baginda tiba tak tersangkakan bersama-sama manikam dan juga bedar sukma. Terima kasih Tuhan!