Turun KB-BRI

Hajat mahu turun ke Kelantan sudah lama dipendam. Segala puji bagi Allah, aku akhirnya berhasil dalam permusafiran selama dua hari ke sana. Sekali-sekala peluang bertandang semestinya bisa mendatangkan sesuatu yang bermanfaat...

Pagi Jumaat di Kota Bharu.Suatu agenda yang tak kan dilepaskan. Kebetulan penginapan aku betul-betul di hadapan Medan Ilmu, iaitu suatu tempat yang dipersiapkan dan disediakan khusus untuk kuliah Tuan Guru pada setiap Jumaat.

Suasana sudah menampakkan kemeriahannya seawal lapan pagi lagi. Gerai-gerai jualan berjejal-jejal di kaki jalan. Kenderaan pula berpusu-pusu, sedikit macet menuju ke pusat Bandar Raya Islam. Para pengunjung pula ripuh berkitaran seketika sementara kuliah belum bermula.

Kalau di Terengganu, suasana sebegitu boleh dirasai di Rusila. Cuma yang membezakannya ialah di Kota Bharu, diadakan di pusat bandar dan Menteri Besar sendiri yang turun memberi kuliah. Mekar bunga tarbiyah kian harum mewangi.

Majlis ilmu di hujung minggu sebegini tidak boleh disia-siakan. Golongan tua dan dewasa, kaum ibu dan wanita, tak terkecuali remaja serta anak-anak kecil, hadir dengan matlamat yang satu. Ingin menelinga dan menekuni bicara ilmu dan nasihat daripada seorang pemimpin Islam yang cukup dihormati ini.

Hati siapa yang tidak terharu apabila melihatkan seorang ketua pemimpin negeri dengan penuh rasa rendah diri dan warak turun padang mencurahkan mutiara ilmu dan nasihat kepada rakyat saban minggu.

Bukan suatu yang menghairankan apabila rakyat Kelantan daripada golongan kaya dan juga miskin, turut sama berkuliah di dataran. Apa yang dipamerkan oleh pemimpin menjadi contoh buat mereka.

Kesederhanaan dalam ketrampilan Tuan Guru menampakkan contoh seorang pemimpin berjiwa Islam yang sangat cakna terhadap bekalan jiwa dan pembangunan rohani yang berterusan dalam diri rakyatnya. Tidak dinafikan, Tuan Guru begitu memandang berat amanah yang dipikul mengetuai tampuk pemerintahan negeri Kelantan.

Menyitir kata-kata beliau dalam kuliah yang diikuti, Dalam keluarga, ibu bapa yang bertanggungjawab terhadap anak-anak. Di sekolah, cikgu bertanggungjawab terhadap murid mereka. Dan dalam negeri, pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Maka, saya ni yang bertanggungjawab kalau ada rakyat yang tak solat, tak boleh mengucap.” Kesedaran seorang pemimpin yang mengharukan.

Tidak lekang dengan senyuman, manis menguntum menambahkan lagi rasa kasih rakyat. Bahkan, mereka di kalangan bukan Muslim sekalipun turut berkunjung ke Medan Ilmu dan beramah mesra dengan pemimpin mereka, juga sesama rakyat yang Muslim.

Malahan, dapat lihat satu gambaran yang cukup harmoni antara kaum. Muslim tidak berasa jijik untuk minum di kedai orang Cina. Begitulah yang ditarbiyah oleh Tuan Guru kepada rakyatnya. Toleransi yang menyerlahkan betapa cantiknya syiar Islam.

Cuba khabarkan, Menteri besar mana lagi agaknya di Malaysia ni, yang setiap minggu turun padang menasihati rakyat-rakyatnya supaya sentiasa berpegang dengan akidah Islam dan prihatin dengan nasib rakyat yang sering dahagakan pengisian rohani. Semoga MB-MB di negeri lain akan menuruti jejak Tuan Guru.

Kasih rakyat bukan kerana wang ringgit, material dan kemodenan tetapi kerana dalamnya kecintaan agama dan kesedaran menebal pemimpin yang mahukan Islam berdaulat dalam diri setiap rakyatnya...Alangkah!

Seketika, lekas benak kepala terhimbau suatu malam semasa mengikuti Khidmat Negara lalu. Terbitnya pro dan kontra tatkala perkongsian terbuka berkisar topik ‘Hari Jumaat lebih relevan sebagai hari minggu berbanding hari Ahad’. Aku tiada toleransi agama? Terima seadanya…

Sejenak di Ijok

Kecoh di akhbar dan TV dengan laporan semasa proses penamaan calon bagi PRK Ijok Khamis lalu. PKR bikin provokasi ! Taktik yang mengotorkan ! dan bermacam-macam lagi.
Sandiwara terbaru berjaya dilakonkan di Ijok. Apa yang sebaliknya tidak ramai yang cuba ambil tahu. Tahniah buat Hishamuddin serta Khairy. [klip video daripada MalaysiaKini]

p/s: Meluat tengok lagak menantu PM mengunyah gula-gula getah semasa temubual TV3 di tempat kejadian. Langsung tak beradab !

Tiada ulasan: