Konflik istilah suatu jenayah?

Pernah suatu ketika, kira-kira dua tahun lepas, guru kami yang dimuliakan, Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengeluh tentang kebiasaan masyarakat kita sekarang dalam menyalahgunakan istilah atau perkataan tertentu ketika memperihalkan sesuatu perkara.

Terutama dalam hal-hal yang bersangkutan dengan hukum syarak atau permasalahan agama, kebiasaan itu semakin hari semakin ketara dan berleluasa diulangsebut oleh masyarakat kita.

Menurut Ustaz Zulkifli, jenayah istilah yang berlaku itu harus diingatkan atau diperbetulkan kerana dikhuatiri akan mengundang salah faham dan kekeliruan berpanjangan di kalangan generasi akan datang.

Beliau memberi contoh, istilah zina sudah digantikan dengan ungkapan 'persetubuhan haram', 'bersekedudukan', 'seks luar nikah', 'hubungan sulit' dan 'sumbang mahram'. Implikasinya, khalayak awam kelihatan sudah tidak gerun lagi dengan perlakuan keji zina, dan menganggapnya semata-mata kesalahan moral yang tiada kaitan dengan hukum agama.

Menanggapi pandang alam Islam

Mungkin dalam hal sebegini, kelompok fundamentalis terutamanya yang menekuni disiplin bahasa dan falsafah Islam, beranggapan jenayah istilah yang menular ini telah menyebabkan pencemaran makna yang serius dalam konteks pandang alam (worldview) Islam.

Masyarakat akan mula kebingungan tatkala berdepan dengan masalah mencari tafsiran sebenar bagi setiap tindakan dalam ruang lingkup ilmu Islam terutamanya. Perkataan zina tadi misalnya, sekiranya dialihkan dan diganti dengan perkataan lain yang kononnya untuk dilunakkan bagi tujuan pengkisahan bahan berita dan cerita, akan mewujudkan ketirisan memahami inti sebenar perlakuan zina itu sendiri.

Dalam Al-Quran, Allah SWT memerihalkan zina sebagai suatu jalan yang keji dan 'faahisyah' (buruk laku, terkutuk, seteruk-teruk perbuatan), dan larangan untuk mendekati zina adalah menunjukkan perlakuan zina adalah perbuatan yang langsung tidak boleh berlaku kerana amaran untuk mendekati zina adalah bersifat pencegahan (deterrence), dan bukannya dalam konteks pemulihan, atau perkara yang perlu berlaku dahulu barulah diperbetulkan.

Jelas, penggunaan istilah bukan sembarangan. Jika tidak, masyarakat akan mula menanggapi sesuatu isu moral dalam keadaan separuh sedar. Membenci dan memarahi perbuatan tersebut, namun menganggap ia suatu yang normal dan tidak apa jika masih lagi berlaku.

Mungkin ada yang berpandangan, tidak mengapa kita tidak memahami konotasi dan denotasi asal yang dibawa oleh istilah tersebut, kerana makna di sebalik istilah tersebut telah diubah dan diperoleh menjadi sesuatu yang cocok untuk tatapan masyarakat masa kini.

Bahkan, ada yang lebih berpandangan lunak, sekurang-kurangnya ungkapan pengganti masih bersifat neutral vis-a-vis kepada nilai-nilai Islam, contohnya ungkapan 'sembahyang' yang digantikan dengan perkataan 'solat'. Pengaruh literasi kuasa dewa hindu (sembah-Yang) mungkin tidak tertancap dalam fikiran kita bila menyebut perkataan tersebut, kerana rupa cita yang terpamer oleh istilah tersebut telah berubah. Kita masih melaksanakan solat dalam pengertian 'aqiimuss-sholaah' meski menggunakan perkataan sembahyang, kerana asas pandang Islam lebih diutamakan melalui pengawasan diri yang bersifat tindakan.

Namun, konteks tersebut berbeza seperti perihal istilah zina tadi. Percanggahan sangat ketara jika zina digantikan dengan ungkapan 'bersekedudukan', 'seks luar nikah' atau 'hubungan sulit'.

Masyarakat akan mula mengambil ringan dan melihat "Oh tidak mengapa. Nanti bernikah, selesailah." atau "Adatlah. Zaman sekarang, ramai jahil agama." 

lama-kelamaan, konteks zina seperti yang dimaksudkan dari sisi pandang sebenar Islam sudah tidak terlintas lagi. Jika diamati dengan sedalam-dalamnya, larangan mendekati zina lebih menjurus kepada konsep pemurnian hati dan akhlak manusia.

Manusia yang berzina sukar untuk dirawat kerana sekali melakukan perbuatan terkutuk itu, hari akan serta-merta menjadi gelap dan dijauhkan cahaya iman kepada diri mereka. Jika yang berzina itu tidak solat pula, sudah pasti semakin teruk implikasi pada hati mereka.

Justeru, bagaimana mahu membaiki masyarakat jika konotasi yang digunakan pun sudah membingungkan mereka? Bagaimana mahu memahamkan mad'u jika kekeliruan makna sudah berlaku awal-awal lagi(ab-initio)?

Tanggungjawab Penulis dan Jurnal

Zaman sekarang merupakan zaman kepesatan teknologi dan media. Pengaruh media cetak dan elektronik tidak boleh dinafikan, terutama dalam konteks menyalurkan maklumat dan berita semasa. Namun, sangat-sangat penting untuk diingatkan, peranan media juga dalam mendidik masyarakat tentang suatu perkara yang memerlukan penelitian rapi.

Konflik dalam pemilihan diksi, istilah atau kata-kata dalam menyampaikan makna sebenar akan terus berlaku jika tiada pemantauan dan pengawasan yang sewajarnya dibuat oleh pengkritik bahasa, penggiat media, pencinta literasi dan ahli akademik.

Konflik sebegini boleh saja menjadi jenayah yang jika dibiarkan berleluasa, akan meranapkan pemikiran dan sudut pandang masyarakat sedikit demi sedikit. Lebih membimbangkan, budaya 'tak mengapa' semakin mengakari dan meresapi daya taakulan masyarakat apabila menilai suatu kemelut sosial yang berlaku.

Banyak lagi ungkapan yang semakin dipinggirkan konteks makna yang sebenar terkandung di dalamnya. Mengambil kata-kata Prof. Muhammad Naquib Al-Attas dalam satu penulisan beliau, apa yang diperkatakan bukanlah purisme bahasa atau kata-kata, tetapi purisme dari segi makna.


p/s: Pesanan untuk para pendakwah juga. Pengertian 'daawah bil hikmah' harus diperhalusi dengan penuh cermat. Terus belajar dan berjuang.

Hadiah Cinta daripada Allah

Beruntunglah bagi mereka yang merindui Ramadhan. Terbitkan rasa syukur dengan bemunajat di awal Ramadhan, dengan harapan yang penuh kehambaan. Beberapa titipan nasihat oleh guru yang dikasihi, Al-Fadhil Ustaz Mustaffa Kamal.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang kita bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah agar diampunkan segala dosa kita dengan Allah. Jika dosa kita berkaitan dengan manusia, maka mohonlah kemaafan daripada mereka yang berkenaan. Jangan biarkan amal kita tergantung dek kerana malu untuk memohon maaf dengan orang lain.

Banyakkan berzikir, beristighfar berselawat dan seumpamanya, kita tetapkan zikir kita umpama ingin berzikir 10 ribu sehari atau mengikut kemampuan masing2.

Bangunlah pada waktu malam bertahajjud dan munajat di malam hari kepada Allah. Banyakkan bertafakur dan berkhalwah dengan menumpukan tawajjuh kepada Allah agar hati kita tunduk kepada-Nya.

Jagalah anggota kita daripada maksiat terutama maksiat mata dan lidah. Infaklah harta pada jalan Allah dalam keadaan ikhlas. Berbuka dan bersahurlah dalam keadaan mengikut sunnah dan jauhkan daripada pembaziran.


Jangan abaikan ilmu dengan mendengar tazkirah dan seumpamanya.



Ramadhan adalah hadiah cinta daripada ALlah. Sambutlah Cinta itu dengan kegembiraan. Balas Cinta dengan ketaatan dan kehambaan. Menangislah dengan kasih sayang, kerna Ramadhan itu nikmat tak terungkapkan.

Dunia hitam putih

Dua minggu berpraktikum di firma guaman kurang mengujakan.

Memenuhi keperluan kursus latihan industri yang berbaki sebulan lebih, harap-harap ia segera berlalu. Bukan tidak menggemari tugasan yang diberi. Apatah lagi dengan pendedahan kerjaya yang diperoleh, ia suatu pengalaman yang menyenangkan hati.

Pun begitu, mengenangkan prospek yang samar-samar, ia sedikit menjejaskan minat untuk meneruskan hasrat ke dalam karier ini. Jika ada rezeki, segala puji bagi Allah. Jika tidak, hanya Allah jua yang maha mengetahui dan sebaik-baik pengatur rencana untuk hamba-Nya.


Barangkali ini sedikit menghiburkan hati. Tatkala pulang dari rutin harian di firma, menonton siri drama TV ini tidak menjemukan dan terasa 'bijak'. The Suits, kisah menarik dua rakan di sebuah firma guaman. Seorang peguam yang handal dan sentiasa terkehadapan, seorang lagi lincah sebagai pembantu dan pintar.

Tiba-tiba teringat satu siri drama urban Melayu, yang disiar lima tahun lalu. Malaysia jarang ada drama siri yang cerdik pengisiannya seperti ini. Mungkin lepas ni perlunya profesional yang sudah kaya-raya pergi membantu pembikin filem berkarya dan menulis skrip yang boleh memandaikan rakyat.


Aku, meneruskan baki hari-hari di Alias Abdullah & Co. dengan terus menghadap fail-fail kes jenayah. Cepatlah berlalu.

p/s: Mahu jadi pengamal undang-undang dan usahawan Muslim. Doakan, insha-Allah.

Sehari di Penang

Salah satu kesukaan aku adalah tatkala berpeluang untuk berkelana di tempat orang dan mengenal hati budi manusia yang ada di situ. Masih tertancap dalam ingatan sewaktu usia menganjak 17 tahun, tekad yang tinggi untuk berjumpa dan mengekori seorang penulis buku mendorong aku untuk berpergian ke Kuala Lumpur seorang diri semata-mata untuk tujuan itu sahaja. Dan ternyata, ia memberi kepuasan yang berbeza.

Secara jujur, berpergian seorang diri lebih aku gemari. Bukan sengaja mengingkari sunnah yang menggalakkan berjemaah dalam permusafiran, tetapi ia lebih memuaskan hati, bebas dan selesa kerana tidak perlu terikat dengan mana-mana teman yang mungkin berbeda hadaf. Pertemuan dengan kenalan baru, meneroka tempat yang kurang dikunjungi dan mengutip hikmah pengalaman di sebalik musafir.

Selesai melunasi tanggungjawab untuk peperiksaan akhir semester, aku bersama-sama teman sempat menyusun sedikit masa berziarah dalam musafir ke Pulau Pinang. Hajat memenuhi undangan perkahwinan sahabat kami terlaksana jua. Masa senggang yang ada terisi dengan satu kunjungan ke rumah teman sekuliah.

Tak terduga, kunjungan sore itu disambut baik oleh seorang lelaki lewat 60-an, namun raut wajah yang bersih dan segar masih terserlah, membuatkan kami terasa diraikan dengan penuh mahabbah. Tahulah kami lelaki yang juga bapa kepada teman sekuliah kami itu merupakan ahli akademik dan penulis buku yang prolifik.

Kami tidak sahaja dijamu dengan santapan petang yang enak, bahkan cepu fikir kami berjelira meratah inti bicara beliau yang begitu bersemangat memberi perkongsian ilmu. Beliau boleh aku kata memiliki ketokohan yang baik dalam bidang sejarah dan tamaddun Islam nusantara. Pelbagai percambahan idea dikongsikan lewat kupasan buku-buku karangan beliau sendiri yang sempat ditunjukkan kepada kami.

Dr Abdul Rahman Abdullah, antara panel akademik yang aktif menerbitkan penulisan buku dan makalah berorientasikan Islam dalam konteks ilmu sejarah dan ketamadunan. Karya dan naskhah beliau banyak menyinggung isu-isu pemikiran umat Islam, sejarah gerakan dakwah dan perkembangan tamadun Islam. Sesekali, isu-isu politik, tarbiyyah siyasi dan kritikan terhadap isme dalam berjemaah dibincangkan dalam suasana penuh ilmiah.

Pertemuan tersebut berlangsung lebih satu jam. Siapa menyangka, kami diberi peluang untuk bersemuka dan mendengar ocehan beliau yang berinti maklumat dan membuncah kefahaman yang kritis untuk kami hadami. Secara peribadi, aku mengagumi konsistensi beliau dalam memperkaya khazanah intelektual Melayu Muslim. Sayangnya, banyak buku beliau sudah tidak lagi diterbitkan atau diulang cetak. Namun, tidak terbit riak untuk beliau berhenti memberi sumbangan kepada dunia keilmuan tanah air.

Seperti ilmuan-ilmuan yang pernah aku kenali, salah satu kekuatan yang ada pada beliau adalah kesungguhan MEMBACA dan MENULIS. Dua disiplin keilmuan yang wajib bagi mereka yang beriltizam dengan ilmu dan amal.

Terima kasih sahabat-sahabat yang sudi berkelana bersama-sama. Semoga Allah menyebar rahmat ke dalam jiwa kita semua atas asbab taufik yang ditunjukkan kepada kita.

Dalam perjalanan pulang ke kampung halaman, aku dipertemukan dengan seorang lelaki berusia 40-an. Seorang tabligh dengan perawakan yang ringkas, seperti kebiasaan yang terlihat pada ahli jemaah tersebut. Kelewatan bas yang tertangguh jadual perjalanan selama sejam, terisi dengan perbualan bermanfaat bersamanya. Beliau dalam usaha keluar dua bulan berdakwah di sekitar Perak.

"Isteri abang sakit, ditahan wad. Risau dengan keadaan dia dan anak-anak, abang kena balik," ujarnya. Aku menghormati dan mengagumi beliau. Dakwah itu wajib bagi umat Islam, dan melaksanakan tanggungjawab bekeluarga itu wajib bagi setiap lelaki Muslim. Dan dia seboleh-bolehnya tidak mengabaikan kedua-dua peranan itu.

Abang Awang namanya, berasal dari Tepoh. Aku menyantuni beliau dengan mesra. Semestinya kita terasa seronok bila tatkala bertemu dengan orang yang hatinya sentiasa tenang dengan zikir, tiada guris gundah terukir di wajah atau remuk benci dalam hati untuk menyapa berbual akrab bersama orang yang baru dikenali. Beliau seronok berkisah pengalamannya berkelana penuh cabaran dalam dunia dakwah hampir 20 tahun. 

"Mudah-mudahan usaha kecil para pendakwah yang bermujahadah berjalan sepanjang hari dapat meredakan murka Allah atas segala kemaksiatan yang dilakukan oleh hamba-Nya di atas muka bumi ini."

Aku bersetuju dengan titipan nasihat yang sempat dilontarkan kepadaku. Sebelum beredar, Abang Awang menghadiahkan sebotol minyak atar sebagai tanda persahabatan kami. Aku dengan senang memberikan nombor untuk dihubungi.

Sungguh, aku menyukai orang sebegini kerana keikhlasan dan istiqamah dalam merealisasikan kesaksian iman pada diri. Barangkali pesimis wujud di kalangan masyarakat akan usaha beliau. Namun, siapalah kita untuk mengukur darjat dan menilai usaha murni melainkan Allah juga yang menghitung setiap amal hamba-hamba-Nya.

Semoga kita dijauhi dari fitnah munafik dan penyakit al-wahn yang menjadi punca hati mati.

p/s: cuti terisi dengan latihan praktikum dan beberapa pelan yang dirancang. Semoga dipermudahkan oleh Allah.