ISA : Menyempurnakan Kezaliman


Seminggu yang lalu, kisah ini mungkin bukan menjadi paparan utama akhbar arus perdana. Stesen-stesen TV juga tidak berminat untuk memuatkan kisah yang meruntun perasaan sebegini dalam paparan slot berita. Apatah lagi sekalian pemimpin-pemimpin negara ini yang semestinya tidak mahu ambil tahu. Isu lobi jawatan dan hentam pembangkang lebih 'menghiburkan'.

Bergenangan air mata kesemua yang berziarah sebaik melihat kasih ayah yang terzahir di saat anaknya sudah pun menghembuskan nafas yang terakhir. Kucupan diberi ke dahi anaknya itu sepuas-puasnya seolah-olah enggan menerima perpisahan akibat tujuh tahun keluarga beliau dipisahkan oleh tempoh kem tahanan secara zalim.

Pilu benar yang menyaksikan, perit lagi yang merasa. Kesengsaraan keluarga ini masih belum berkesudahan. Jalan hujungnya masih samar. Mereka dan mangsa-mangsa lain akan terus merana. Inilah bahana apabila akta untuk menghadapi komunis terus-menerus digunakan sewenang-wenang untuk menzalimi rakyat marhaen.

Kisah ini barangkali satu daripada himpunan kisah tentang nasib rakyat yang dizalimi di tanah air sendiri. Keluarga, isteri dan anak-anak menjadi mangsa penindasan undang-undang rimba. Menjaga keselamatan dan kemananan negara bukan lagi suatu alasan yang relevan jika keharmonian keluarga dan jalinan kasih sayang menjadi taruhan.

Memang tidak menghairankan. Mereka yang punyai pangkat dan kuasa, beranggapan mereka punyai segala-galanya. Keluarga bahagia. Kroni berjujuk. Aset berbillion-billion. Pedulikan rakyat yang merintih dan menangis, asalkan pemimpin kenyang dan tertawa. Realiti negara umat Islam akhir zaman.


p/s: Takziah kepada Shahrial Sirin sekeluarga. Pemergian puteri tercinta, Allahyarhamah Aina Mardiah adalah saat-saat yang memilukan sekali bagi yang memahami penderitaan keluarga mangsa kezaliman ini. Al-fatihah.

Filem yang 'mencerahkan'...

Indonesia tak pernah ketandusan karya seni bernuansa Islam. Lagu-lagu misalnya, meski tampak moden tetapi bersantun. Masih disaluti nafas spiritual dan bait-bait yang meruntun jiwa hamba. Penggiat sinetron di sana juga cukup terbuka untuk menyampaikan nilai-nilai agama meski diakui liberalisme sememangnya masih menebal di kalangan khalayak umum dalam republik itu.

Sang Murabbi satu lagi bikinan yang ditunggu-tunggu penggemar filem Islami. Kisah yang jika ditonton sedutan daripada filem tersebut, mempunyai kelainan tersendiri berbanding filem-filem Islami yang lain.

Jika sebelum ini ramai berpendapat filem AAC agak 'lesu' dengan nilai dakwah, Sang Murabbi tampil dengan layar tarbiyah secara total. Beralih dari terikat dengan tema 'klise' cinta adam dan hawa atau kisah lelaki baik-baik untuk perempuan baik-baik.

Sang Murabbi satu manifestasi penghargaan kepada guru pentarbiyah dan pelopor gerakan dakwah Partai Keadilan Sejahtera di Indonesia. Keperibadian dan ketokohan almarhum Ustadz Rahmat Abdullah sebagai pendakwah menjadi tunjang bagi paparan dalam filem ini.

Mudah kata, filem ini tidak cocok sekali untuk dilabel filem yang bersifat komersial, sebaliknya ia hadir sebagai satu penghargaan yang dizahirkan semata-mata untuk memberi taujihat kepada penonton betapa akhlak dan ketrampilan seseorang sudah cukup memberi kesan mendalam dalam kerja dakwah.

Mudah-mudahan lebih banyak lagi filem seperti ini dihasilkan. Sekurang-kurangnya dengan memperbanyakkan kisah hidup ulama, para wali, mujaddid dan pendakwah agung, mampu mendekatkan masyarakat dengan kehidupan Islam.

Penggiat filem Malaysia, ada sesiapa berani mencuba?

"Mereka yang keruh nurani, selalu melihat dengan angan-angan panjang. Seakan kematian hanya berlaku atas orang lain. Orang-orang seperti itu harus kerap diajak menurunkan jenazah ke liang lahat, melepas kerabat di akhir nafas, atau berbiduk di lautan dan gelombang yang ganas. Bila tak mempan, takbirkan empat kali bagi kematian hati nuraninya" - K.H. Rahmat Abdullah, Beternak Mimpi

p/s: Terbayangkan kisah almarhum Ustaz Fadzil Noor dijadikan filem, pasti penuh inspirasi.

Bila anak-anak itu berdakwah...

Awal-awal lagi aku pasakkan niat. Dalam hati, diqasadkan penglibatan dalam program perkaderan ini sekadar satu ruang dan peluang untuk aku menambah pengetahuan. Juga pengalaman bermutu yang bakal dilalui diharap menjadi koleksi makna dalam memahami erti hidup sebenar.

Sesudah tiga hari berteori dan berdiskusi, program dilanjutkan pula dengan praktikal dakwah. Kumpulan kami seramai enam belas orang. Ditugaskan ke pusat perlindungan kanak-kanak, barangkali tugasan lebih berbentuk 'amal kebajikan' ala-ala bakti siswa. Apapun, uslub dakwah itu luas, sekali-kali jangan disempitkan.

Misi kami adalah membantu mereka yang terdiri daripada anak-anak dari usia lapan bulan hingga empat belas tahun mempelajari ilmu kehidupan. Segala modul dan aktiviti dibincang dan sudah disiapkan. Pengisian alternatif untuk empat hari juga dirancang.

Aku pula memaksa diri untuk bertenang dan menceriakan hati. Angin apa entah yang melanda, hati jadi gusar diterpa andaian melulu. Risiko? Pedulikan. Apa yang patut dibuat, memohon agar dituluskan hati untuk membawa diri ke sana.

Tetamu Istimewa Untuk Yang Teristimewa

Siapa sangka, kedatangan kami disambut dengan sangat mesra. Masing-masing mengulum senyum manis, menghulur tangan bersalaman erat, hingga meresap ke dalam naluri. Sungguh, kami telah diraikan oleh hati-hati yang suci mengharap. Dan tidak teragak-agak untuk kami menghulur kasih berkongsi tawa dengan mereka. Hati sudah tertawan. Kami terus berkasih-kasihan. Perasaan itu mulai menyusup halus.

Sepanjang empat hari, kami menjadi anak-anak kepada Mama. Empat hari itu juga kami menzahirkan persaudaraan dengan adik-beradik kami. Tidur bersama, makan bersama, mengemas rumah bersama dan segalanya dibuat secara bersama, di bawah teratak yang menjadi perlindungan kanak-kanak jalanan, anak terbuang, yatim piatu dan kanak-kanak penghidap HIV/AIDS.

Memandangkan kami hadir bukan sebagai tetamu tetapi selaku 'penghuni', tidak begitu ketara program yang diatur dapat dilaksanakan. Sekalipun begitu, ada ketika yang sesuai, kami sempat juga memuatkan pengisian terancang secara tidak langsung. Pendek kata, di situ kami berusaha mendidik dan turut terdidik. Sama-sama mentarbiyah dan ditarbiyah. Saling mengajar dan belajar. Suatu proses amali yang cukup bernilai.

Di Sebalik Wajah Ceria Itu

Hari pertama pada awalnya, kami tidak mengetahui mana satu yang 'tidak sihat'. Di sini, kami dimaklumkan bahawa hanya empat orang kanak-kanak terkena jangkitan HIV. Dua daripadanya berada di wad sedang mengharungi AIDS yang kini berada pada saat kritikal dalam meneruskan saki-baki hidupnya.

Aku berkesempatan melawat mereka di Hospital Kuala Lumpur. Salah seorangnya bernama Murni, anak kecil berusia lapan tahun. Murni, kini tak seperti kanak-kanak perempuan lagi. Keguguran rambut dan hampir botak. Seluruh badan kedapatan parut dan kudis-kudis lama. Bila menyentuh lengannya, terasa kulitnya yang sedikit kasat. Juga ada bahagian yang melepuh.

Meski fizikalnya tampak tidak bermaya, dapat dirasakan jauh dari dalam diri anak kecil itu tertanam kecekalan yang sangat ampuh. Tatkala bertentang mata dengannya, hati sama-sama berkongsi sayu. Pandangannya lemah dan jujur menceritakan perit yang ditempuh. Wajahnya tetap tenang walaupun kehibaan itu cukup menyelubungi.

Aku tidak tahu cara terbaik untuk memberi respon balas melainkan dengan mengusap-ngusap tangan Murni. Dengan harapan ia sedikit berhasil menyakinkannya bahawa masih ada yang kasih dengannya.

Sememangnya dia sangat istimewa. Allah begitu mengasihinya. Diajar kepayahan hidup sejak awal berbanding dengan diri kita. Bersenang sedari kecil hingga besar, mengendong dosa yang bertimbun.

Ya Allah, Engkau sahaja yang tahu betapa pilunya hati pada pandangan sepasang mata yang redup berkaca, memandang kosong ke arah kami. Seolah-olah menceritakan kepada kami bahawa inilah kehidupan baginya, anak yang tak berdosa.

Murni mungkin beranggapan dirinya tidak beruntung seperti orang lain. Kalaulah Murni mengetahui betapa ramainya di luar sana yang berterusan mengecap nikmat sihat dan keriangan tetapi ranap akidah, hancur akhlak dan hanyut dengan maksiat.

Kalaulah dia mengerti hakikat itu, pasti Murni bersyukur kerana dia menjadi pilihan Allah untuk keistimewaan ini. Allah yang maha penyayang. Hanya doa munajat, sokongan moral dan belaian mereka yang bersifat pengasih yang mampu membugarkan semangatnya.

Tersangat biadablah bagi mereka yang kononnya mahu menjadi masyarakat prihatin tetapi merasa jijik dan tidak mempedulikan kanak-kanak seperti mereka. Lebih teruk hingga tahap menghukum dan mencaci. Ramai pandai berkata-kata, namun tidak ramai meluahkan rasa dan menjelmakan sikap seperti apa yang dibicarakan.


Sepanjang ber'mesra' dengan mereka, aku mengagumi kecekalan insan yang menggelar dirinya Mama. Anak-anak itu sebahagian daripada masyarakat. Mama berhasil membuktikan bahawa ahli masyarakat yang bermaruah tidak akan mensia-siakan kehidupan anak-anak istimewa seperti mereka. Mereka bukanlah kanak-kanak bermasalah melainkan kita menimbulkan masalah dengan mengabaikan mereka dan menganggap mereka bermasalah.


Kebanyakan mereka tahu mereka sakit dan berpenyakit. Mereka tahu lorong gelap sekitar Chow Kit pernah jadi kediaman mereka. Mereka tahu sejarah hitam keluarga mereka. Mereka juga sedar mereka bakal menjadi bahan ejekan di sekolah dengan kutukan sebagai anak pungut. Mereka sememangnya kenal siapa diri mereka. Tapi perlukah mereka melayani semua itu? Emosi tak pernah memberi kejayaan dalam kehidupan, apatah lagi kebahagiaan.

Hakikatnya, kanak-kanak inilah pendakwah sebenar kepada kami. Merekalah yang mengajar kami apa itu erti hidup. Mereka mempamerkan kepada kami bahawa jiwa-jiwa mereka hebat dan besar menongkah arus kehidupan meski usia mereka masih muda. Aku mengagumi mereka, menginsafi dan mentadabbur perjalanan hidup mereka.

Semoga kalian senantiasa tegar dalam semangat dan kuat dalam perjuangan meneruskan kehidupan. Terima kasih adik-adikku. Rindu dan sayang tetap kekal dalam sanubari. InsyaAllah kami pasti mahu berakrab dan bermesraan lagi dengan kalian, kalau boleh untuk selama-lamanya.



p/s: sahabat-sahabat lelaki masing-masing nampaknya seronok menjadi ayah. tak mengapa, rezeki Tuhan itu tetap dan pasti. Sabar la naa...


Erti Hidup


Manusia ini fitrahnya adalah memberi. Memberi mendorong kepada suatu makna kehidupan yang mendalam. Hidup ini mesti berhala tujukan sesuatu yang jelas dan terang. Hidup berpaksikan retorik dan bayangan takkan ke mana. Begitulah erti sebagai khalifah. Memahami rahsia hidup adalah keperluan yang hakiki.

Sifat khalifah salah satunya adalah berkasih sayang. Hilang rasa penyayang petanda jiwa dahagakan belaian iman. Maka, tuntunlah hati berpedomankan cinta. Cinta Tuhan. Cinta Rasul. Cinta ibu bapa. Cinta teman. Cinta ummah. Cinta berpandukan sumber segala cinta.

Reguklah jiwa dengan gelas kasih. Redupkan hati dengan selubung rindu. Agar diri kenal siapa kekasih dan siapa pengasih.
Buat sahabat-sahabat SPMM, selamat berkasih sayang. Moga-moga perasaan ini berterusan dalam jiwa kalian sebagai daei.

Barisan anggota Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia USIM.