Merindui kalam Haba'ib

Jika Ramadhan hadir menjengah sanubari agar setiap hamba Allah kembali mensucikan jiwa, Syawal jangan berterusan dibejatkan dengan amal-amal yang membinasakan hati. Sayugia ia diraikan dengan rasa syukur tidak kira dalam lafaz atau diam, dalam lena atau jaga. Ujudkan cinta dalam lubuk keikhlasan; semata-mata demi Tuhan.

Melewati penghujung Syawal, bahang nafsu yang menikam dan membakar terkadang meresahkan hati-hati yang ingin bernikmat dengan Tuhan. Apatah lagi, dunia yang melingkari saban hari membuatkan hati kita kian berjauhan dengan Nabi. Jika seorang kekasih Allah yang utama tidak pernah lekang mengingati dan merindui umatnya, bagaimana pula kita berperanan sebagai umat kebanggaan Baginda?

Demi Tuhan, aku berlindung daripada penyakit ghaflah. Aku mohon kurniaan Allah untuk redupkan hati dengan teduhan 'ubudiyyah dan mahabbah. Semoga ia mententeramkan hati kita yang sering berkeluh-kesah, mententeramkan hati kita yang sering berhasad dengki, mententeramkan hati kita yang sering menggemari qadab dan syahwat.

Sungguh-sungguh aku ingin katakan, betapa rindu hati ini pada simbahan kalam para haba'ib! Semoga Allah memelihara sekalian ulama yang muqarrabin; kerna merekalah wakil-wakil yang mewarisi akhlak, ilmu dan thoriqah Nabi Sallallahu 'alaihi wa aalihi wasallam.

Habib Umar bin Hafidz, kehadiran beliau begitu dinanti dan dirindui...

Mulai 9 Oktober sehingga 24 Oktober 2010, siri-siri Majlis Haul Al-Imam Abdullah ibn Alawi Al-Haddad akan diadakan di bandar-bandar utama seluruh Malaysia. Jika sebelum ini, kemuncak majlis Haul diadakan di Baitul Aman, Kuala Lumpur, pada tahun ini ia ditukar ke Masjid Negeri Shah Alam yang bakal berlangsung pada 16 Oktober mulai 5 petang.

Antara tetamu terulung dari golongan ulama’ antarabangsa yang akan hadir adalah Al-Allaamah Al-Habib Zein bin Ibrahim bin Semait (Madinah), Al-Allaamah Al-Habib Umar bin Muhammad bin Hafidz (Yaman) dan Al-Habib Abdullah Attas Al-Habshi (Makkah).

Selain mereka, beberapa lagi ulama’ dari Malaysia dan rantau nusantara akan menyampaikan kata-kata hikmah dan bicara nasihat, sebahagiannya dari kalam Imam Al-Haddad berkaitan dengan tajuk tema tahun ini iaitu ‘YAKIN’ dengan selingan ghasidah dan nasyid masyhur dari ratusan syaĆ­r nukilan Al-Imam.

Semoga Allah memberi rezeki kepada kita untuk sama-sama berada dalam taman-taman syurga tersebut!