Bila manusia tiada mahabbah...


"Bila berlaku kes macam ni, tak payah cari Cina. Tak perlu siasat India. Ini semua kerja orang kita yang mengaku dirinya Islam."

Kata-kata yang terpacul dari mulut seorang ustaz sewaktu bersama-sama dengan beliau menonton laporan berita di televisyen. Meski terkejut, tapi harus mengeyakan kenyataan itu.

FAKTA:
Statistik daripada Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam, pada tahun 2008. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

Kes buang bayi.

Fenomena yang meruntun perasaan sebegini semakin menjadi-jadi. Disusuli perasaan marah dan geram bersilih ganti mengenang betapa terkutuknya tindakan sebilangan manusia yang sudah lenyap sifat kemanusiaan.

Wujudnya kes-kes sebegitu seolah-olah memberi petanda masyarakat kita ingin kembali ke zaman kecelakaan. Era jahiliyyah moden yang gelap membukat mula menyelubungi umat manusia. Budaya berseronok, berlazat dengan nafsu dan bertuankan iblis memandu gaya hidup yang akhirnya meranapkan generasi yang sepatutnya menjadi kebanggaan ummat Muhammad sallallahu 'alaihi wa aalihi wasallam.

Apa punca sebenar ?

Manusia hidup bersendikan syariat; yakni segala apa yang sedia termaktub dalam dustur Quran dan khazanah Sunnah yang sahih.
Manusia juga hidup berserikan adab; setiap apa jua yang disantuni akhlak dengan asas mahabbah, redha dan syukur.

Itu sepatutnya wujud dalam diri manusia. Namun, manusia lupa semua itu.

Ramai manusia mengaku hidup bersyariat, tapi mereka sendiri sebenarnya tidak mengenal Tuan kepada syariat. Tidak mengenal Pencipta kepada penghulu segala adab, Rasulullah sallalahu alaihi wa aalihi wasallam.
Lantas jiwa mereka langsung terhijab. Tenggelam mereka dalam hidup kepura-puraan.

Sungguh-sungguh, tiada yang utama dalam hidup ini melainkan mengenal Allah; ia awal agama.

Manusia yang memahami hakikat, sekalipun melakukan maksiat akan bersyukur kepada Allah dengan cara bertaubat nasuha, zahiriah dan batiniah.
Manusia yang memahami hakikat, jika mengecap nikmat dunia akan redha dengan pemberian Allah dengan cara istighfar dan munajat ampun.

Manusia yang memahami hakikat, jika berkelana di dunia ciptaan Allah, akan melebarkan seluas-luasnya mahabbah dan ikatan Cinta kepada sekalian manusia, Muslim atau Kafir, munafik atau zindiq, hidup atau mati, hatta hidupan lain seperti haiwan dan tumbuhan.

Itulah cara hidup manusia yang mengenal Allah. Jiwa mereka halus dan penuh cahaya. Bicara mereka adalah zikir yang melantun-lantun kepada hati terus ke hati mereka yang mendengar, lalu remuk-redam hati zulumat yang berkesumat dengan daki-daki mazmumah.

Hakikatnya, mereka gersang mahabbah. Jangan semata-mata menyalahkan kaum wanita atau ibu yang melahirkan zuriat dan mencampak ke longkang, tong sampah dan belukar, lalu digonggong anjing liar atau dihurung lalat.

Salahkan jiwa-jiwa yang ada dalam masyarakat, termasuk diri kita. Selagi mana kita meletakkan ke'aku'an dalam diri, dan membiarkan qalbu malap dan gelap tanpa usaha suluhan makrifat, selagi itulah kebejatan kekal subur dalam masyarakat.

Selagi itulah tiada wujud mahabbah yang hakiki dalam hati manusia. Kasihanilah jiwa kita.


p/s: Berangkat pulang ke kampung halaman sambil menekuni maksud 'keberkatan' dalam erti kefakiran seorang insan yang berjalan menuju Tuhan. Selamat menelaah ilmu pelajaran.

1 ulasan:

Umar Mukhtar Bin Mohd Noor berkata...

salam.

Ulama bahagikan marah kepada dua, syarie dan tidak syarie. InsyaAllah, makalah enta ni penuh dengan kemarahan yang syarie terhadap pelanggaran2 hukum Tuhan...

Ana tak sanggup perhatikan gambar2 ngeri tu..

Semoga Allah mengurniakan syurga kepada anak2 itu dan membalas dengan setimpal para pembuang mereka..inshaAllah