Percikan 'kuasa perubahan' Al-Fateh

Apa faktor utama yang mendorong begitu ramai mahasiswa USIM hadir ke program ini?

Soalan ini ditanya oleh Ustaz Syaari sewaktu bersama-sama dengan beliau di bilik menunggu sebelum ceramah bermula. Barangkali terbit rasa hairan dari lubuk hati beliau sebaik meninjau dari dalam betapa hangatnya sambutan daripada mahasiswa di Nilai pada program bercorak ilmiah sebegini, lebih-lebih pula diadakan di dewan sebesar DKP.

Adakah subjek yang memfokuskan sejarah Islam menjadi tarikan mereka? Barangkali nilai inkuiri yang tinggi untuk menyelami kupasan secara strategik berkenaan peristiwa pembukaan Constantinopale? Atau mungkin juga mahasiswa sebenarnya 'rela-paksa' untuk hadir kerana dahagakan program-program di awal semester?


Secara peribadi, aku berpandangan sebenarnya telah wujud suatu kecenderungan secara halus di kalangan mahasiswa di sini yang ingin melihat sesuatu yang bersifat baharu, praktikal dan bersifat segar. Mungkin ada yang mengatakan, kelompok sebegini tidak mewakili majoriti siswa di sini. Namun harus diingatkan, kuantiti tidak begitu relevan untuk menjadi kayu ukur sebenar, kerana 'gelombang' sebegini kini makin membesar begitu cepat.

Tidak dinafikan faktor-faktor sampingan seperti tidak dikenakan bayaran yuran, kekurangan program di awal semester, serta kelainan tajuk yang dibawakan pada malam tersebut, menjadi daya penarik untuk mereka hadir. Apapun, di sebalik semua itu pada hakikatnya telah terzahir suatu bentuk paradigma baru yang begitu bermakna.

Minda orang muda semestinya inginkan sesuatu yang tidak terlalu 'mengikat' mereka(kurang formaliti atau protokol), lancar dan bersifat cergas dalam penyampaian serta paling penting, mampu mengopak minda dengan berkesan dan membina.

Tahniah kepada sahabat pelaksana program tersebut. Kalian adalah pasukan terbaik dalam mencetak perubahan landskap mahasiswa di USIM. Jangan menanti perubahan daripada orang lain, melainkan diri kita sendiri yang tangkas dan kreatif membina anjakan yang realistik.


Suatu perkara yang aku kagum dengan penyampaian dan pengisian dalam ceramah tersebut, apabila menyaksikan bagaimana keazaman Ustaz Syaari mengolah daya intelektual secara matang dan dikongsikan bersama kepada orang lain.

Daya keinginan yang tinggi untuk mencabar diri sendiri melakukan kajian dan penelitian ilmiah dengan begitu terperinci patut dicontohi. Membedah buku, menjalin rapatkan kajian teks daripada ilmuan dan sejarawan untuk mencetus idea baharu dalam persembahan yang mengujakan khalayak.

Mudah-mudahan semangat keintelektualan sebegitu wajar dibudayakan di kalangan kita. Kemuncak waktu bagi menikmati cetusan gila adalah di usia muda. Semoga manfaat daripada 'kuasa perubahan' Sultan Al-Fateh tersebut dapat memberi sinar baharu kepada mahasiswa Usim.


p/s: Musim pilihan raya kampus USIM bakal bermula. Selamat maju jaya kepada semua calon kepimpinan MPP sesi 09/10.

1 ulasan:

adele berkata...

selamat berjuang sahabatku.. (rentak lagu brothers) :)